Opinion

Kenapa nak halang orang benci kerajaan?

Saya percaya, setiap manusia, akan ada sebabnya yang tersendiri untuk menyukai sesuatu, dan membenci sesuatu.

Saya juga percaya setiap sebab yang ada, tidak kira ia munasabah atau tidak, ialah kerana berdasarkan pengalaman dirinya sendiri sebagai seorang manusia.

Bagi saya, perasaan saya, apa yang saya fikir, apa yang saya pandang, apa yang saya rasa - adalah bukti kewujudan saya dalam dunia ini.

Ada sesetengah orang akan membenci pandangan saya, dan ada sesetengah orang akan membenci saya, dan saya terima hakikat itu.

Dan saya tidak ada masalah tentang hal itu. Kerana itu perasaannya, serta ia datang dari pengalamannya, dan menandakan kewujudannya di dalam dunia ini.

Soalan eksistensialis diri seperti yang ditanya oleh Paul Gauguin "dari mana kita datang, kita ini apa, dan ke mana kita akan pergi" ini adalah soalan jujur dalam hati.

Baru-baru ini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengugut orang ramai agar tidak membuat lawak tentang 1MDB kerana ia mungkin boleh dipenjarakan.

Ini kerana para Netizen, terutamanya di Twitter (termasuk saya sendiri) membuat lawak ke atas isu 1MDB ini dengan hashtag #1MDBMovies yang menjadi trending baru-baru ini.

Ada berpuluh ribu orang dalam Twitter itu, sama ada tweet, retweet, favourite atau sekadar reply, "HAHAHAHA" dalam Twitter, apakah SKMM mahu penjarakan semua orang itu?

Hey! Hendak gelak ketawa pun dah tidak boleh ke? Takkan semua kena sokong kerajaan, takkan semua orang kena senyap dan berdiam diri?

Suka hatilah hendak cakap apa? Takkan kami hanya boleh bersembang tentang drama swasta, retweet gambar kucing atau tweet pasal menu berbuka puasa sahaja?

Takkan semua benda kerajaan hendak kawal? Takkan semua benda dia hendak beritahu ini tidak boleh, ini jangan?

Kerajaan, terutamanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kena terima hakikat, yang ada sesetengah orang, akan terus membencinya walau apa jua dia cuba lakukan.

Takkan kerajaan hendak paksa kami akyat Malaysia untuk suka perdana menteri kita macam Korea Utara?

Ini bukan negara Stalin hendak ugut-ugut orang hendak gelak ketawa pun tidak boleh.

Dah orang tidak suka dengan kerajaan, “so deal with it!”

Lalu ada la “macai” mereka ini bercakap, "kalau tidak suka kerajaan kamu boleh keluar dari negara ini".

Hey! Negara ini milik kami semua. Negara ini bukan milik parti tertentu yang memerintah negara ini, negara ini bukan milik Najib.

Jadi kalau kami rasa tidak berkenan di mata kami tentang apa yang kerajaan buat, kami suarakan sahaja.

Kata ini negara demokrasi, bahkan Najib berkali-kali berkata yang dia dilantik secara demokratik sebagai perdana menteri.

Jadi, suka hati kami lah menggunakan hak demokratik kami untuk ketawa dan berjenaka, takkan itu pun tidak boleh?

Terimalah hakikat yang orang dah memang benci, hendak ugut-ugut penjara apa hal?

Kewujudan Internet dalam dunia ini adalah benteng terakhir kebebasan fikrah manusia untuk terus berfikir.

Selama ini dalam sejarah, akhbar, buku, majalah, lukisan, filem – semuanya pernah disekat dan dihalang.

Apa lagi yang bangsa manusia tinggal kalau Internet ini juga hendak dikawal oleh daulah? – 11 Julai, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments