Opinion

Kidex bukti suara rakyat tiada makna dalam kapitalisme

Saya pernah menghuni di Petaling Jaya, sebuah bandaraya yang saya fikir paling harmoni dalam diri saya dalam mana-mana tempat yang saya pernah tinggal.

Ramai kawan-kawan saya tinggal di Petaling Jaya, bangga tinggal di bandaraya itu dan ada sesetengah daripada mereka, tinggal di situ hampir keseluruhan usianya.

Petaling Jaya, atau lebih mudah dipanggil PJ – adalah bandar terancang yang dibina pada zaman British sekitar 1952, merupakan bandaraya yang kebanyakan masyarakatnya bercampur gaul dengan berbilang kaum.

Semasa tinggal di Petaling Jaya, saya suka merayau-rayau berjalan di sekitar Old Town, atau di sekitar kawasan Jalan Othman kerana pelbagai makanan enak dijual di situ.

Tetapi semua ini akan berubah – sebaik sahaja projek Lebuhraya Kinrara-Damansara atau lebih dikenali sebagai Kidex akan mula dibina.

Rata-rata orang Petaling Jaya membantah projek Kidex ini. Lihat di peti surat atau di pintu pagar mereka, mereka tanpa rasa takut menunjukkan bantahan terhadap Kidex dengan menampal pelekat "Say No To Kidex".

Saya berani cakap jika keputusan membina lebuh raya ini ada referendum, saya yakin majoriti rakyat Petaling Jaya akan membantah pembinaan Kidex ini.

Tetapi, kerajaan negeri Selangor seolah-olah tidak mempedulikan suara penduduk Petaling Jaya yang membantah projek ini, dan seboleh-bolehnya mengeluarkan kenyataan untuk mewajarkan projek menguntungkan para cukong yang laparkan duit tol daripada orang ramai.

Kenyataan daripada ahli-ahli politik terutamanya Pakatan Rakyat Selangor tentang Kidex ini, cukup menyakitkan hati saya selaku rakyat Selangor.

Seolah-olah semua kata-kata manis dan berbunga-bunga sebelum pilihan raya itu sudah bertukar menjadi raksasa jahat dan merodok bandaraya ini ke pusatnya.

Ini bukti dalam demokrasi era kapitalisme, suara rakyat tidak ada makna langsung. Rakyat hanya memilih kerajaan seperti untuk memilih sabun basuh atau minuman berkarbonat.

Tidak ada maknalah kalau kita turun mengundi, tapi pada akhirnya wakil rakyat yang dipilih tunduk kepada kehendak cukong yang hanya memikirkan nafsu kekayaan mereka semata-mata.

Mungkin sudah sampai masanya rakyat untuk sedar daripada fantasi yang demokrasi ini adil untuk semua. Sebenarnya demokrasi ini cuma permainan orang kaya-kaya untuk menjadikan rakyat terbanyak – sebagai buah catur mereka. – 8 November, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments