Opinion

Kisah segerombolan beruk dan segerombolan macai

Sekumpulan beruk sedang mencari buah-buahan di tengah hutan hujan Khatulistiwa di Pulau Sumatera.

Mereka memanjat pokok buah-buahan hutan yang tumbuh meliar, berhampiran di tepi bukit. Pada musim panas ini, mereka kepanasan dan kehausan, mencari air untuk menghilangkan dahaga.

Apabila mereka panjat pokok buah-buahan, kebanyakan buah masih belum muncul, dan kalau yang sudah berbuah pun, ia masih muda.

Beruk-beruk itu pun hampa, dan terus berjalan mencari sumber makanan dan minuman.

Ketua beruk mengarahkan macainya untuk memanjat pokok paling atas, untuk meninjau kalau-kalau terdapat kawasan yang mempunyai pokok buah-buahan, atau kawasan sumber air.

Macainya mengikut saja arahan, tanpa banyak kata. Dua tiga ekor macai kepada ketua beruk itu memanjat dan tertinjau-tinjau di mana sumber makanan mereka.

Sedang mereka meninjau kawasan berbukit itu, mereka terjumpa kawasan yang subur dengan pokok buah-buahan, dan terdapat sebuah tasik di tengah hutan tersebut.

Macai kepada ketua beruk itu terlompat-lompat gembira apabila melihat kawasan tersebut digenangi air, sumber yang mereka sangat perlukan.

Macai pun turun dari pokok dan memberitahu ketuanya bahawa terdapat satu kawasan yang mempunyai sumber air dan makanan.

Ketua beruk, mengarahkan gerombolannya untuk menuju ke kawasan tasik tersebut.

Tetapi apabila mereka tiba di situ, mereka sudah nampak beberapa ekor kumpulan beruk yang lain sedang menikmati makanan tersebut.

Kawasan ini milik kawasan beruk yang lain.

Ketua beruk pun melihat bilangan kumpulan beruk yang lagi satu itu. Ternyata, bilangan kumpulan beruk yang berada di tasik itu jumlahnya lebih ramai, dan mereka semua agak gemuk-gemuk sedikit berbanding mereka.

Ketua beruk kurus mengarahkan macai-macainya membuat kacau di kawasan tersebut.

Macai-macainya pun berbuat bising dan mengganggu beruk-beruk gemuk tadi. Beruk-beruk gemuk bangkit dan mahu melawan, sayang oleh kerana kegemukan dan selalu selesa, mereka lambat bertindak dan tidak mampu menewaskan beruk-beruk yang berjalan jauh tadi.

Macai-macai kepada ketua beruk tadi menggunakan taktik "sekeh dan lari" – di mana mereka akan menyekeh kepala beruk-beruk gemuk yang sedang enak menikmati buah-buahan tadi, dan berlari untuk mengelakkan diri dari beruk-beruk gemuk berjaya memukul mereka.

Akibat beruk-beruk gemuk kekurangan stamina, ketua beruk gemuk dipukul habis oleh ketua beruk yang mengembara jauh tadi.

Akibat beruk itu dipukul dan dibelasah teruk oleh beruk lain, kumpulan beruk yang gemuk tadi, ada yang lari, dan ada yang meminta perlindungan dengan kumpulan beruk yang baru.

Ketua beruk yang gemuk tadi, mati dibunuh kerana dicampakkan di dalam tasik dan mati kelemasan.

Beruk-beruk gemuk yang lari terus tidak kembali ke kawasan tasik tersebut, sementara beruk gemuk yang belot tadi, menjadi barua kepada beruk yang datang menjajah tadi.

Mulai hari itu, wujudlah satu koloni baru beruk di kawasan tasik itu. New order, kata orang putih. Kumpulan beruk gemuk yang tinggal dijadikan macai-macai baru, sementara macai lama ini sudah menjadi sekumpulan yang lebih elit daripada beruk yang lain.

Beruk-beruk dari kawasan tasik asal, dijadikan hamba, kalau yang jantan dijadikan tukang panjat pokok dan ambil buah-buahan untuk beruk-beruk yang kini menjadi penjajah itu, sementara beruk betina dijadikan santapan nafsu.

Mengikut kajian, spesis H sapiens wujud kira-kira 195,000 tahun yang lalu. Sangat sekejap berbanding pensejarahan alam semesta ini wujud, yang menurut kajian saintifik kira-kira 13.8 bilion tahun.

Manusia mengembara dan berubah mengikut keadaan cuaca, pemakanan, gaya hidup dan juga teknologi. Sepanjang ketuanan Homo Sapiens berkuasa di muka bumi, kita adalah satu-satunya spesis, setakat ini, yang mampu menentukan nasib spesis sendiri, dan spesis yang lain, dengan kemahuan kita.

Perkembangan manusia, sejak mengenali cara untuk membuat alat untuk berburu, sejak mengenali cara untuk membuat api, terus menjadi spesis paling dominan hingga kini.

Cuma satu sahaja yang tidak pernah berubah. Manusia sanggup memperalatkan manusia yang lain, dan ada manusia yang sanggup diperalatkan.

Semuanya kerana mahu terus hidup. Semuanya kerana terus mahu berjalan.

Persoalannya, apakah manusia perlukan lagi beribu tahun lagi untuk keluar dari kepompong "memperalat dan diperalatkan" ini?

Apakah impian Nietzsche dalam Thus Spoke Zarathustra untuk satu hari nanti wujudnya manusia Übermensch akan tercapai, jika manusia berterusan begini?

Sesungguhnya, proses ini tersangatlah panjang. Dari satu sel membentuk menjadi haiwan lain pun memakan masa jutaan tahun, apalah sangat 195,000 tahun, untuk mengubah sifat manusia yang sekian lama terpendam dalam naluri itu.

Jadi apabila saya melihat golongan macai politik sibuk berperang dan menyerang orang lain dalam media sosial, dengan cara 'tag beramai-ramai', 'mention tweethandle menteri' atau 'tweet lynching', jelas sekali Homo Sapiens masih lagi jauh untuk menuju ke Übermensch.

Mungkin manusia yang ada hari ini tidak menggunakan teknik 'sekeh dan lari', atau guna kapak belitung, atau parang - tetapi dengan hanya menggunakan media sosial, macai-macai ini terus membuat kerja - untuk membuli, dan menyerang pihak lain.

Sudah azali. – 26 April, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments