Opinion

Kisah si makmum yang menampar imam

Minggu ini kita ada bermacam-macam berita yang mengejutkan dan membuatkan kita berfikir, apa sudah jadi dengan negara ini.

Minggu ini berlangsungnya Art For Grabs di mana ramai golongan "so-called liberal" ini tidak putus-putus menghentam filem dan drama Melayu yang mula diresapi unsur-unsur Islamisasi.

Minggu ini juga berlangsungnya demo Maruah Melayu, di mana kira-kira 20,000 orang berdemo dan berkata untuk mempertahankan Melayu Islam daripada diserang "so-called anasir jahat" ini.

Tapi saya tak mahu tulis semua itu. Barangkali sudah ramai yang menulis artikel tentang itu, jadi saya terfikir tentang kejadian yang berlaku pada solat Jumaat tadi.

Seorang lelaki warganegara India, datang ke arah imam Masjid Negara, dan menampar imam itu.

Sebab-sebabnya pula tidaklah saya ketahui, tetapi apa yang saya nak ceritakan ialah reaksi selepas peristiwa itu.

Menurut video yang saya tengok di Facebook, lelaki yang menampar imam tersebut dihalau keluar dan beramai-ramai dipukul makmum yang berada di luar.

Saya tidak tahu apa yang berlaku seterusnya, tetapi saya fikir mungkin lelaki itu dibawa terus ke balai polis.

Dalam pada itu, yang menampar imam ditahan pihak berkuasa, makmum beramai-ramai yang memukul lelaki itu, adakah turut didakwa?

Alasan, kononnya lelaki itu melakukan tindakan biadap, menampar seorang imam Masjid Negara.

Jadi, apakah tindakan memukul lelaki tersebut juga satu tindakan yang betul?

Bukankah kalian semua selalu kata, Islam itu agama yang damai.

Damai apa kalau ramai-ramai pergi memukul lelaki itu?

Mungkin dia mengalami masalah mental. Mungkin dia rasa khutbah yang dibaca mengguris hatinya lalu lepas geram dan terus menampar imam itu.

Mungkin dia merasakan umat Islam di sini menindas golongan imigran sepertinya. Saya mengandaikan bermacam-macam faktor.

Tapi dalam kita melihat ini ke satu sudut yang lebih luas, sebenarnya masyarakat kita ini sedang mengalami depressi.

Contohnya, dalam hal forum Art For Grabs di The School, Jaya One awal minggu ini, saya melihat golongan liberal ini tidak habis-habis menghentam golongan konservatif, terutamanya Melayu.

Dan pada 16 September lalu, golongan “baju merah” pula menghentam kaum bukan Melayu dengan kata-kata kesat.

Ketiga-tiga kejadian ini, saya rangkumkan menjadi satu – masyarakat kita sedang tertekan dengan cara negara ini berjalan.

Kawan saya ada berkata ini adalah "The Great Depression of all sense," baik ekonomi, politik, agama atau budaya.

Rakyat tak kira apa fahaman dia pun, sedang diasak dan ditekan dengan daulah.

Dalam filem Fight Club, dialog watak Tyler Durden lakonan Brad Pitt berkata, "we don't have The Great War, or Great Depression. Our great war is spiritual war, our great depression is our lives."

Jadi, pertembungan spiritual, mental, kelas ekonomi, dan sosial yang semuanya ditekan ini membentuk satu kemarahan yang berterusan berlaku.

Kita melihat Islamisasi makin kembang pesat di media perdana serta liberalisasi juga berkembang pesat di arus alternatif.

Pertembungan ini mencetuskan satu peperangan mental dan ideologi, antara logik dan dogma, dan antara daulah dan rakyat biasa.

Forum liberal pun syok sendiri menghentam golongan lawannya, ceramah agama pun syok sendiri menghentam lawannya, dan semua kekalutan dan keserabutan ini, dan semua pertembungan dan saling cabar mencabar ini.

Peristiwa lelaki India itu menampar imam Masjid Negara adalah seperti satu letusan awal, sebelum letusan yang lebih besar bakal berlaku.

Saya bukan Nostradamus, tapi kalau inilah patennya, inilah coraknya, saya khuatir, 20 tahun dari sekarang, mungkin akan ada perang saudara.

Teruk sangat ke apa yang saya fikirkan ini? Tapi setiap peperangan besar itu berlaku apabila semua masyarakatnya ditekan dari segala aspek, dari ekonomi hinggalah ke seksualiti, maka bersedialah untuk menghadapi pertempuran ini.

Siapa yang tersepit? Orang yang tidak menyebelahi mana-mana pihak, yang hanya mahu meneruskan kehidupan. – 19 September, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments