Pertama sekali saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga, saudara mara dan sahabat handai kepada Allahyarham Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, bekas menteri besar Kelantan dan Mursyidul Am Parti Islam Semalaysia (PAS).
Peninggalan beliau satu kehilangan besar bukan sahaja pada ahli parti PAS dan rakyat Kelantan, tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia.
Sepanjang hari ini, saya menonton televisyen, baik dari stesen kerajaan atau swasta, semua menyiarkan tentang pemergian Allahyarham ke rahmatullah.
Tetapi mengapa bila Allahyarham sudah meninggalkan kita, media yang selama ini menghentam dan merenyak imejnya tiba-tiba sahaja bercakap tentang kewibawaan Allahyarham?
Saya masih ingat semasa Pilihan Raya Umum 1999, kebanyakan akhbar dan stesen televisyen memburuk-burukkan Allahyarham dengan mendakwanya "lebih rela bekerjasama dengan syaitan dari Umno".
Begitu juga dengan dakwaan pihak media tentang Allahyarham didakwa berkata 'Allah samseng" serta beberapa serangan peribadi dan kariernya sebagai menteri besar Kelantan.
Semasa Allahyarham masih hidup, media perdana mengatakan di bawah pentadbirannya sebagai mundur dan jumud, tetapi tiba-tiba hari ini media perdana mengatakan dia mempunyai jasa yang besar dan bermacam lagi pujian.
Saya faham, apabila kematian seseorang itu, tidak elok untuk kita bercakap tentang keburukan orang itu, tetapi mengapa media perdana hanya memuji Allahyarham hanya selepas beliau meninggal dunia?
Kerana dia seorang tokoh pembangkang, bukan?
Jangan lupa tentang segala maki hamun dan bermacam kata nista yang pernah dikatakan media perdana satu masa dulu.
Jika media perdana mahu berlaku adil, eloklah kiranya kalau mereka tidak sekadar berkata berbunga-bunga bila seseorang itu sudah tiada, tetapi semasa hidupnya pun, paling-paling pun, melaporkan perkara yang benar.
Janganlah hanya kerana dia seorang ahli pembangkang, sepanjang usianya dimaki dicerca, bila sudah meninggal barulah hendak memuji.
Di sini juga saya ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga, saudara dan sahabat handai kepada Allahyarham Hasbullah Awang, seorang lagi legenda terutamanya dalam bidang penyiaran di negara ini.
Semoga kedua-dua Allahyarham dicucuri rahmat. – 14 Februari, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments