Opinion

Nasib jadi seorang penulis di Malaysia

Ketika semua rakan sekolah saya semuanya mengisi ruangan cita-cita pada kad laporan sekolah - menjadi polis, doktor atau tentera - saya letak di ruangan tersebut dengan menulis ingin menjadi seorang penulis.

Pada hari ini, saya menjadi penulis - sepertimana apa yang saya tuliskan pada kad laporan sekolah lebih kurang 20 tahun yang lalu.

Apabila saya bertemu dengan orang ramai, ada juga yang bertanya, bagaimana untuk menjadi seorang penulis yang berjaya.

Saya tidak tahu apa maksudnya dengan "berjaya" - sebab saya sendiri pun bukan seorang penulis yang berjaya. Saya pun tidak tahu saya ini sudah berjaya atau belum.

Apabila orang mengaitkan "kejayaan" ini dengan materialis - mungkin dalam bentuk wang, saya rasa saya langsung tidak berjaya.

Kecuali jika saya menulis di Amerika dan berjaya menjadi bestseller di sana, atau negara-negara yang budaya masyarakatnya membaca, saya tidak fikir menjadi penulis boleh jadi kaya raya.

Untuk membayar sewa rumah pun susah, hendak teruskan kehidupan yang makin lama makin mahal pun satu hal. 

Selalu saya tidak mengharap banyak sangat - sebab saya tahu, bukan semua akan sanggup keluar wang dan beli buku.

Tetapi ramai yang menganggap kerja jadi penulis sebagai kerja "side income" dan tidak menganggapnya sebagai satu pekerjaan yang serius.

Atau mungkin, bidang seni atau penulisan ini memang tidak diambil peduli masyarakat sebelah sini.

Itu belum lagi isu-isu berat yang lain seperti kadar royalti, atau hal ehwal hakcipta. Tidak pernahnya ada perbincangan secara serius hingga ke peringkat Parlimen dalam hal sebegini.

Seolah-olah penulis ini tidak penting dalam masyarakat, mungkin.

Saya memulakan kerja saya sebagai penulis kira-kira 5 tahun lalu. Bermula dengan menulis novel secara 'indie' - tulis, kemudian cetak sendiri, susun sendiri, jual sendiri - sehingga ke hari ini, dan merupakan satu perjalanan yang amat sukar.

Mungkin "kejayaan" itu diukur daripada segi lain - merubah minda masyarakat misalnya. Atau menjadikan karya yang dihasilkan itu menjadi sebuah yang signifikan terhadap masyarakat.

Tetapi masyarakat hari ini lebih kurang saja dari 5 tahun yang lalu. Tidak ada banyak perubahan pun.

Kadang-kadang apabila ada orang yang berkata saya jadi kaya bila sudah jadi penulis, saya fikir mereka ini sama ada benar-benar tidak faham, atau bersikap sarkastik dengan saya.

Atau mungkin mereka membandingkan orang yang menggunakan kata-kata sebagai punca rezeki seperti saya ini sama seperti para selebriti yang sering keluar di dada akhbar.

Ketika saya kadangkala perit merintih nasib diri, saya terfikir, apalah nasib penulis-penulis sebelum saya.

Ada penulis yang sudah mati baru orang tahu hasil kerjanya dan karyanya akhirnya berjaya.

Tetapi, saya hendak tahu apakah sebenarnya kedudukan penulis dalam masyarakat ? Takkan hanya tulis buku "cara-cara bagaimana mahu jadi kaya" atau "cerita toyol hantu jembalang" baru boleh jadi penulis yang berjaya?

Saya tidak harus komplen, ini jalan yang saya pilih. Saya cuma ingin meluahkan perasaan.

Jadi, kepada mereka yang bertanya tentang "bagaimana untuk menjadi penulis yang berjaya", saya fikir itu soalan yang non-sequitur bagi saya untuk dijawab.

Masih merintih tentang sewa rumah, masih merintih tentang harga barang, masih merintih tentang bil elektrik.

Tahun depan pasti lebih neraka. GST akan datang menjelma, dan terus menyeksa. – 24 Oktober, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments