Opinion

Ola Bola, candu sejarah tatkala kemerosotan bola sepak negara

Saya datang ke panggung wayang untuk menonton sebuah filem yang sejak akhir-akhir ini diberi pujaan melambung orang ramai.

Berasaskan pujaan melambung itu, saya mengambil keputusan menonton filem yang kini disebut-sebut sebagai filem bola sepak yang sangat bagus, Ola Bola.

Dalam hati saya terdetik, apakah ini satu lagi propaganda kerajaan menyuruh rakyat bersatu padu sedangkan pemimpin-pemimpin parti politik sering menghalau orang Cina dan India "balik negeri masing-masing".

Saya mohon maaf, barangkali saya keletihan selepas balik bekerja, dalam masa lebih kurang setengah jam, saya terlelap.

Maafkan saya, kerana saya tertidur dalam wayang. Sejak dua menjak ni macam menteri besar Kedah rasanya.

Saya kemudiannya tersedar balik di pertengahan cerita, saya kemudian ke tandas, basuh muka, dan kemudian kembali ke kerusi untuk menonton semula.

Saya tidak pasti apa yang saya terlepas, tapi saya merasakan saya sudah dapat menduga apa yang berlaku pada penghujungnya.

Selepas saya habis menonton, saya berfikir, apakah ini propaganda seperti saya mula-mula duga?

Tidak. Ini bukan propaganda kerajaan, tapi candu sejarah bagi peminat bola sepak yang mahukan kegemilangan bola sepak zaman itu semula.

Saya suka filem yang bersandarkan sejarah. Tetapi sejarah yang hanya bercerita tentang kegemilangan semata-mata, yang ini saya tidak minat.

Orang ramai keluar dari panggung wayang dan tersenyum, dan ada yang berkata, "kalaulah Harimau Malaya hebat macam zaman dulu-dulu".

Ah, bernostalgia lagi.

Seperti yang saya tulis pada minggu lepas, orang zaman sekarang suka bernostalgia.

Orang zaman sekarang suka bernostalgia tentang kemakmuran dan kemewahan ekonomi negara pada awal 90an sehingga ramai yang mahu Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri semula.

Orang zaman sekarang bernostalgia tentang kehebatan pasukan bola sepak negara menewaskan Korea Selatan dalam pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik di Moscow pada 1980.

Nostalgia berlaku apabila masa ketika ini sangat teruk untuk dilalui.

Ekonomi jahanam, barang naik harga, bola sepak ke laut – segalanya penuh pilu untuk menjadi rakyat Malaysia ketika ini.

Saya faham, kerana saya juga penyokong pasukan Liverpool – yang mengalami situasi lebih kurang macam Malaysia dalam segala hal.

Pada akhirnya saya mengakui saya kurang berminat filem ini, mungkin bagus untuk anda yang mahu bernostalgia.

Bagi saya, mungkin lebih baik jika sekiranya sebuah filem tentang gejala rasuah yang berlaku teruk pada pertengahan 1990an dalam bola sepak negara dan klimaksnya diakhiri dengan pasukan Malaysia dibelasah 0-10 dengan UAE sambil menonjolkan korupsi dan rasuah dalam bola sepak negara ini – mungkin itu lebih menyedarkan.

Lebih baik pisau bedah yang menyakitkan, daripada candu yang hanya mengkhayalkan. – 13 Februari, 2016.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments