Kehidupan bujang terutamanya yang baru memulakan hidup sendiri di tengah kota amat menyukarkan.
Isu yang menjadi perkara paling mustahak dan adakalanya membebankan ialah mengenai rumah sewa.
Mencari rumah sewa ini susahnya satu hal, mahalnya pun satu hal.
Lalu kerajaan kata mereka prihatin dengan golongan anak muda yang kebanyakannya golongan masih belum berkahwin.
Di Terengganu, kerajaan negeri memberi kuota 10% PPR yang dibina di negeri itu untuk golongan bujang yang layak.
Di Kuala Lumpur pula, Dewan Bandaraya mengadakan Skim Sewa Belia/Beliawanis untuk mereka yang belum berkahwin.
Dan menurut Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan pula berkata kerajaan mengadakan rumah transit golongan bujang di PPR Bukit Jalil untuk membantu golongan bujang yang kesukaran mencari rumah sewa.
Semua ini memang baik, saya tidak nafikan tetapi persoalannya, kenapa masih ramai lagi golongan bujang, khususnya mereka yang baru bekerja masih sukar mendapatkan rumah?
Saya difahamkan ramai orang bujang tidak tahu dengan insentif baik yang dilakukan kerajaan ini.
Ada juga rungutan tentang karenah birokrasi dan banyak kesulitan dalam menguruskan hal ini memandangkan rumah-rumah sewa ini juga terpaksa direbut dengan mereka yang berkahwin.
Dan ada juga kalangan mereka yang berjaya mendapatkan rumah ini, bertindak dengan menyewakan kepada orang lain (sublet), lalu meningkatkan harga sewa rumah kerana penyewa asal bertindak sebagai orang tengah.
Ini menyebabkan harga sewa rumah meningkat kadang-kadang sampai ke harga yang tidak mampu disewa orang bujang yang baru bekerja, walhal ia adalah perumahan awam.
Malaysia kini mempunyai jumlah penduduk seramai 30 juta orang dengan golongan bujang berusia 15 tahun ke atas ialah seramai 8 juta orang atau 40%.
Dengan angka sebegini, jika tidak bertindak cepat akan mengakibatkan lebih ramai yang tidak mampu menyewa rumah, lalu menjadi miskin kota tanpa rumah.
Pernah dengar kisah rumah bujang disewa sehingga berbelas-belas orang dalam satu unit rumah yang kecil?
Mereka ini terpaksa berhimpit-himpit dan mengorbankan privasi msemata-mata tidak mampu menyewa rumah dengan kapasiti yang selesa, menyebabkan mereka terpaksa beramai-ramai berkongsi dalam unit rumah yang kecil.
Dengan cukai GST yang akan dilaksanakan tahun depan, serta kenaikan harga barang, ia bakal menyukarkan lagi golongan ini meneruskan kehidupan di kota.
Mungkin penyelesaian terbaik ialah berkahwin, memandangkan golongan ini lebih mudah mendapat rumah di PPR ini berbanding orang bujang.
Tapi, kalau kos perkahwinan pun naik, dengan hantaran kahwin yang kadar inflasinya lebih menakutkan – ini satu lagi masalah.
Saya masih menantikan apa yang dijanjikan Barisan Nasional dalam manifesto pilihan raya tahun lalu yang berjanji akan membina 1 juta unit rumah mampu milik di bawah Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA).
Itu belum cerita kedudukan perumahan yang jauh dari kota serta ketiadaan rancangan untuk membaiki pengangkutan awam di kawasan “ceruk” yang menyebabkan orang bujang terpaksa mengikat perut untuk memiliki kenderaan sendiri untuk berulang-alik bekerja.
Itu belum cerita harga minyak yang terus meningkat dari semasa ke semasa lagi.
Jadi, tulisan ini memberi pandangan kepada kerajaan, apa salahnya kalau naikkan lagi kuota perumahan untuk orang bujang serta perbaiki keadaan perumahan awam yang ada sekarang.
Dalam hal berkaitan, projek-projek perumahan mewah yang semakin rancak sekitar Lembah Klang. Selalu juga golongan yang tidak berada dan setinggan dipindahkan ke PPR setelah kawasan mereka hendak diambil untuk dibangunkan semula. Apakah ini fungsi utama PPR?
Betapa sukarnya golongan yang tidak berada sama ada yang bujang, keluarga setinggan dan warga kota tanpa rumah mahu meningkatkan taraf hidup. Mana tidaknya, bantuan untuk hak asasi seperti tempat tinggal dan makan minum pun begitu sukar untuk diberikan. Sampai ada saya terdengar ungkapan bahawa, "menjadi orang miskin di Malaysia adalah satu kesalahan". – 20 September, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments