Pada 16 Mei lepas, satu laporan berita menggemparkan negara, terutamanya di laman sosial mengenai seekor anjing bernama Brianna mati dipanah dua kali di Taman Sinaran, Balakong.
Berita ini menyebabkan saya sungguh sedih, dan saya teringat kisah seekor anjing jiran mati dibunuh seorang Melayu ketika saya tinggal di Cheras Perdana.
Untuk pengetahuan, Taman Sinaran dan Cheras Perdana tidak berapa jauh dengan Pekan Batu 11 Balakong.
Ketika itu, saya berusia 15 tahun. Saya melihat jiran saya menahan sedih dan pilu apabila anjingnya didapati memakan telur rebus yang dicucuk beberapa jarum halus dan membunuh anjing itu dari dalam.
Saya tahu ia perbuatan seorang Melayu – kerana saya kenal lelaki ini. Dia dengan angkuhnya berkata sudah banyak membunuh anjing-anjing di sekitar kawasan Cheras Perdana dengan teknik yang sama.
Dari luar, orang ramai mengenalinya sebagai seorang yang rajin turun ke surau, dan selalu membantu pihak surau menyembelih korban setiap kali Hari Raya Korban.
Tetapi, dia mempunyai sudut hitam – pembunuh anjing di sekitar Cheras Perdana.
Ketika itu, saya menganggarkan umur dia sekitar lewat 20an, baru berkahwin dan mempunyai dua orang anak, tetapi bukan dia yang saya mahu ceritakan.
Saya mahu menceritakan ideologinya – anjing dan babi adalah musuh Allah – sebab itu mendapat pahala untuk dibunuh.
Saya mencari-cari dalam tafsiran al-Quran tentang bagaimana dia boleh berkata demikian, surah apa, ayat ke berapa, daripada siapa dia mendengar tentang ini.
Di dalam Islam, terdapat tiga kategori najis dan ada tiga kaedah untuk mencucinya, iaitu mukhafafah (najis ringan), mutawassitah (najis sederhana) dan mughallazah (najis berat).
Anjing dan babi – najisnya dikategorikan sebagai najis mughallazah.
Jadi, disebabkan itu, ramai di kalangan umat Islam meletakkan anjing bukan sebagai pilihan utama dalam memelihara haiwan peliharaan, dan ada yang lebih ekstrem, meletakkan anjing sebagai musuh.
Saya sering mendengar kata-kata daripada golongan ini bahawa kenyataan "dog is man's best friend" adalah bersifat dakyah Yahudi dan mahu menyesatkan Islam.
Tapi hanya selepas saya berkawan dengan pelbagai orang, terutamanya yang memelihara anjing sebagai haiwan peliharaan – melihat anjing ini bukan sekadar haiwan peliharaan – tetapi seperti ahli keluarga sendiri.
Mengikut kajian saintifik, anjing merupakan “sahabat baik” kepada manusia kira-kira 10,000-30,000 tahun yang lalu.
Ia bermula daripada spesis serigala yang memburu – tetapi ia mendapati persaingan dalam pemburuan sumber makanan karnivor semakin sengit dengan spesis lain seperti harimau, singa, dubuk, dan spesis terbaru yang menemui kaedah memburu – manusia.
Oleh kerana persaingan ini menyebabkan mereka sukar mendapatkan makanan, mereka cuba merapatkan hubungan dengan manusia.
Manusia mengetahui deria bau mereka tidak setajam anjing, jadi mereka membuat pertukaran.
Anjing akan membantu manusia dalam pemburuan, serta menjaga keselamatan mereka ketika sedang tidur, dan sebagai ganti, anjing akan berkongsi habuan berburu bersama-sama.
Sejak itu, hubungan manusia dan anjing menjadi akrab dan hubungan itu dianggap istimewa bagi mereka yang memahaminya.
Ramai di kalangan orang Melayu hari ini tidak memahami betapa besarnya jasa anjing kepada ketamadunan manusia.
Bahkan penemuan negeri Melaka juga berhubung kait dengan kisah seekor anjing dan pelanduk.
Kisah Ashabul Kahfi di mana anjing melindungi orang-orang yang diburu dikisahkan dalam al-Quran.
Kisah seorang pelacur yang menurut hadis akan masuk syurga kerana memberi anjing minum air pada kasutnya.
Ya, bagi ajaran Islam, najis anjing ialah najis mughallazah, tetapi tidak ada di dalam al-Quran mengatakan anjing itu musuh kepada manusia.
Jadi, bukankah kita selaku spesies yang mampu melindungi semua spesies lain di dunia ini – melindungi anjing yang telah membantu kita dan menjadi sahabat kita puluhan ribu tahun lalu?
Susah sangat ke nak basuh najis dengan air tanah dan bilas tujuh kali air sampai nak membunuh anjing? – 24 Mei, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments