Opinion

Perampasan bahasa dan kata demi pengaruh politik

Satu hari ada kawan lama ajak melepak, berbual minum teh tarik di kedai mamak sambil menonton TV besar.

Kawan lama saya ini, seorang penyokong PAS tegar dan merupakan penyokong 'geng berpadu-padu' Hadi Awang dan geng Vellfire.

Apa jua pegangan politiknya, itu tidak menjadi hal untuk saya untuk berkawan, kerana prinsip saya ialah perbezaan politik tidak seharusnya memutuskan tali silaturahim.

Lalu tiba-tiba dia buka cerita tentang politik, saya tadah telinga saja.

"Amanah ni dia ni sanggup gadaikan agama demi pengaruh politik, demi nak menang Putrajaya (memenangi pilihan raya). Orang Amanah ni tak boleh pakai! Sanggup menjual agama demi politik."

Saya senyum saja, tidak mengiakan apa yang dia kata, cuma saya terfikir sesuatu.

Sejak bila perkataan "amanah" ini milik eksklusif parti atau puak politik tertentu saja?

"Perampasan kata" atau bahasa orang liberal Taman Tun, "word hijacking", sudah mula berlaku dalam senario politik negara sekarang.

Dulu, perkataan seperti "keadilan" dirampas pihak tertentu demi politik, menyebabkan orang yang tidak menyukai parti politik ini terus tidak suka perkataan "keadilan" kerana perkataan itu secara tiba-tiba diasosiasikan dengan pergerakan parti mereka.

Sama juga dengan perkataan "bersih", perkataan "rakyat", dan bermacam-macam lagi perkataan, yang sebenarnya tidak perlu dijadikan hak milik eksklusif kepada sesetengah pihak atau parti politik, untuk kepentingan mereka.

Perkataan ini seolah-olah dijenamakan dengan parti mereka, menyebabkan orang yang tidak mahu menyokong parti mereka, dianggap tidak suka dengan bersih, amanah, keadilan dan rakyat.

Takkan seorang ahli parti Barisan Nasional, atau seorang non partisan kepada politik yang maha karut di negara ini, tidak boleh suka kepada bersih, amanah, keadilan, atau rakyat, kerana semua perkataan ini dijenamakan sebagai nama parti politik?

Saya melihat mereka yang merampas perkataan ini sebagai mereka yang cuba melindungi diri dengan perkataan sebegini.

Katakan saya tidak suka kepada Parti Keadilan Rakyat, apakah saya tidak suka juga pada keadilan kepada rakyat? Apakah patut saya tidak suka dengan sifat amanah, jika saya tidak suka dengan Parti Amanah Negara?

Sejak 11 September, 2001 perampasan kata ini berlaku secara meluas oleh pentadbiran George W Bush untuk memperkukuhkan propagandanya dalam menghalalkan serangan dan perang yang dilancarkan Washington.

Perkataan seperti "axis of evil", "war on terror", "freedom", "liberty" dan "democracy" digunakan bagi bertujuan untuk meyakinkan rakyat Amerika pentadbiran Bush di pihak baik dan mereka yang menentangnya di pihak jahat.

Bagaimana orang yang menentang perang Iraq, negara yang termasuk dalam "axis of evil" yang diumumkan Bush? Apakah dengan menentang perang Iraq, kita ini adalah "penyokong paksi kejahatan"?

Tetapi sebelum Bush lagi sudah ada ini. Dulu pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad mula-mula menjadi perdana menteri dulu pun dia menggunakan slogan ''Bersih, Cekap, Amanah".

Apakah puak yang tidak bersetuju dengan Dr Mahathir tidak suka dengan bersih, cekap dan amanah?

Perampasan kuasa dalam kata dan bahasa adalah taktik yang digunakan politikus demi kekuatan sokongan parti. Ini taktik halus yang tidak ada orang sedar, kerana mereka sering melabelkan diri dengan kata-kata ini.

Seperti kawan saya yang sokong PAS tadi, dia tidak suka dengan parti Amanah, tetapi apakah dia perlu juga membenci dengan perkataan "amanah" itu sendiri?

Dan perkataan yang paling dirampas maknanya, "demokrasi", yang datang daripada perkataan Greek bermaksud "kuasa daripada rakyat".

Dalam pilihan raya, para pemodal dan kapitalis melaburkan banyak wang kepada politikus agar melaksanakan dan meluluskan undang-undang yang memihak pada mereka, bukan pada rakyat terbanyak.

Dan demokrasi itu diolok-olokkan dengan kita mempunyai kuasa untuk "memilih" pemimpin 5 tahun sekali.

Akhirnya politikus ini tak berminat pun nak tolong rakyat, hanya mahu menolong para pemodal ini kerana sang kapitalis ini menghulurkan wang untuk kempen dan belanja parti demi mendapatkan kuasa.

Dan, jika saya tidak berminat lagi untuk mengundi dalam pilihan raya, adakah saya tidak berminat lagi dengan "kuasa rakyat" yakni demokrasi? – 14 November, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments