Opinion

Polis Malaysia yang saya kenali

Semasa tulisan ini ditulis, saya sedang berada di Bangkok, Thailand untuk makan angin.

Setelah menempuh 9 jam perjalanan bas dari Kuala Lumpur ke Hat Yai, dan menaiki kereta api selama 13 jam, saya tiba di Bangkok buat pertama kali dalam hidup saya.

Jadi, ada banyak benda yang saya tidak tahu, terutamanya jalan dan apa pantang larang yang tidak patut saya buat.

Ketika di Khao San, sebuah kawasan di Bangkok yang lebih kurang macam Bukit Bintang di Kuala Lumpur, saya bertanya kepada seorang pegawai polis untuk ke satu tempat yang hendak dituju.

Polis itu menjawab dengan baik, dan senyum kepada saya.

Impresi saya terhadap polis mungkin berubah sikit apabila saya berada di sini.

Mungkin saya seorang pelancong di sini, sebab itu polis itu melayan saya dengan baik.

Jika saya seorang pelancong di Bukit Bintang dan mencari jalan, saya rasa polis di situ pun akan menjawab dengan baik dan senyum.

Tapi mengapa polis Malaysia (yang saya tahu), dalam imej fikiran saya merupakan mereka yang berwajah ketat, susun kon tepi jalan untuk "cari duit lebih" (ini dah macam open secret, semua orang tahu kenapa kadang kala polis susun kon tepi jalan) dan suka saman dan dakwa orang.

Saya teringat seorang yang menggunakan Facebook untuk mengkritik polis dan terus didakwa Akta Hasutan.

Apa ni? Takkan sikit-sikit nak dakwa, nak saman, nak sumbat orang dalam lokap?

Tidak bolehkah polis ini mesra sikit dengan rakyat sendiri, dan bukan asyik nak dakwa, saman, Akta Hasutan dan benda-benda keras ni?

Polis sepatutnya melindungi rakyat, bukan menakutkan rakyat.

Mungkin ada yang fikir, dengan berwajah ketat, susun kon dan buat sekatan jalan raya dan keluarkan seberapa saman yang boleh, untuk mendapat KPI yang baik.

Apa yang baiknya KPI kalau berlambak-lambak keluarkan saman? Apa yang baiknya KPI dengan tangkap orang ramai yang ada pandangan kritis sikit.

KPI polis sepatutnya ialah mengurangkan kadar jenayah serta mematerikan rasa percaya serta hormat orang ramai terhadap polis.

Bukannya saman, dakwa, akta dan kon dan khemah tepi jalan.

Saya percaya polis Malaysia ini ramai yang baik, dan mereka juga manusia yang mempunyai perasaan.

Saya pun ada berkawan dengan anak polis dan ada berkawan dengan polis, jadi saya faham perasaan mereka yang bergaji rendah, kesempitan ekonomi serta sering disangsi oleh orang ramai.

Sepatutnya menjadi polis ini anda patut dihormati masyarakat, tapi orang sekarang tidak hormat polis, cuma takut saja.

Jadi, kalau orang ramai sendiri tidak hormat dan tidak percayakan institusi polis, saya fikir mungkin polis perlu lakukan sesuatu untuk mendapatkan kepercayaan itu semula dari orang ramai.

Mungkin buat permulaan, saya fikir PDRM patut buat kempen senyum di kalangan anggota, tidaklah orang ramai tengok muka polis ini semua ketat macam Terminator.

Dan kurang-kurangkanlah susun kon tepi jalan dan buat operasi mencari pengguna jalan raya sebagai penjana pendapatan.

Cukuplah dengan harga minyak naik, janganlah saman orang ramai lagi.

Kalau tidak mahu ubah persepsi orang ramai terhadap institusi polis, ia mungkin akan jadi 'bom jangka' terhadap sosial dan masyarakat dalam masa akan datang.

Dan apabila kepercayaan orang ramai terhadap polis hilang sepenuhnya, saya takut akan wujudnya kumpulan 'vigilantes' yang mengambil tindakan undang-undang membabi buta.

Negara akan huru-hara jika tiada polis, tetapi jika polis terlalu keras terhadap rakyat, kita macam berada di Korea Utara.

Saya harap tulisan ini tidak membuatkan para polis marah, tercalar ego lalu mendakwa saya. Berubahlah, demi kebaikan semua. – 11 Oktober, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments