Baru-baru ini, seorang Yang Berhormat (YB) yang mewakili Rembau berkata, beliau berharap agar satu hari nanti kumpulan rock British seperti Radiohead atau Coldplay dapat bermain dalam sebuah pesta belia anjuran kementeriannya.
Sekali dengar ia seolah-olah sebuah berita baik, untuk membawa artis yang diminati ramai orang, termasuk saya sendiri.
Saya merupakan peminat kumpulan Radiohead sejak tahun 90an lagi menerusi album “OK Computer”, dan saya sering juga mengikuti perkembangan kumpulan ini sejak sekian lama.
Tetapi apabila YB berkata begini, mungkin sebenarnya dia tidak memahami apa mesej yang dibawa oleh kumpulan dari Britain ini.
Radiohead, terutamanya Thom Yorke, vokalis dan tunggak utama kumpulan ini, menentang dasar negara yang menggunakan hukuman bunuh (death sentence), seorang yang menentang penerokaan hutan besar-besaran untuk tujuan komersial, serta banyak lagi idea-idea "liberal" yang sangat bercanggah dengan pemerintah di negara ini.
Saya tidak mengikuti sangat sebuah lagi kumpulan yang disebut YB Rembau itu, iaitu Coldplay tetapi setahu saya, lagu paling hitnya "Viva La Vida" merupakan lagu anti monarki, pro republikan yang diinspirasikan daripada revolusi Perancis.
Saya fikir, sama ada YB ini menyokong ideologi yang dibawa oleh kedua-dua kumpulan ini, atau dia benar-benar tidak tahu apa mesej yang disampaikan oleh dua kumpulan ini.
Atau mungkin dia sekadar bertanya kepada penasihat-penasihatnya "penasihat sekalian, bagaimana untuk saya dan parti saya (Umno dan Barisan Nasional) kelihatan hip, trendy dan cool untuk menarik undi anak muda?"
Maka penasihatnya langsung berkata "tuan bawa lah Radiohead dan Coldplay ke Malaysia, tuan akan dilihat hip dan trendy".
Kerajaan ini boleh bawa apa sahaja kumpulan rock atau artis untuk menghiburkan anak muda tetapi untuk mengubah pendirian anak muda tentang parti dan kerajaan, bukan begini caranya.
Seharusnya kerajaan berubah sikap, dengan benar-benar mendengar suara anak muda, serta tidak menindas suara mereka yang tidak berpuas hati dengan sistem pemerintahan ini.
Membawa Radiohead atau Coldplay cuma nampak perubahan kosmetik semata-mata dan tidak menunjukkan niat yang serius daripada kerajaan untuk mendengar suara anak muda.
Contohnya, minggu ini seorang aktivis Hong Kong, Joshua Wong dihalau ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang untuk lawatannya di sini.
Jadi, apakah pandangan Thom Yorke yang semestinya juga seorang aktivis sosial, untuk datang dan membuat konsert di sini?
Dalam lirik lagu kumpulan Radiohead yang berjudul "No Surprises", ternyata ia berbunyi, "bring down the government, they don't speak for us."
Saya fikir, apa perasaan YB Rembau nanti apabila lirik lagu ini terpacul daripada mulut Thom Yorke dalam acara pesta belia itu nanti?
Relakah dia nanti?
Saya lebih rela mendengar lagu Radiohead di radio daripada “live” di Malaysia jika perubahan kosmetik begini yang dibawa kerajaan. – 30 Mei, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments