Opinion

Rileks sikit, Khalid Abu Bakar

Tweet Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mengutuk Eric Paulsen.Tweet Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mengutuk Eric Paulsen.Minggu ini adalah minggu pertama persekolahan selepas ditangguh seminggu kerana kejadian banjir besar yang berlaku di negara kita.

Selepas meninggalkan sekolah kira-kira 11 tahun yang lepas (saya menduduki STPM pada 2004), apabila saya menonton berita tentang kanak-kanak pertama kali ke sekolah, ada pelbagai ragam, ada yang menangis, ada yang mencari ibu bapa, ada yang blur, ada yang baru masuk sekolah dah mula membuli, perkara itu jelas sekali di ingatan saya pada mula-mula saya masuk ke sekolah pada 3 Disember 1990.

Bercerita tentang pengalaman saya bersekolah, saya dahulu ada seorang kenalan di sekolah yang bernama Salim.

Salim ini merupakan seorang pengawas sekolah yang skema, yang suka mencari kesalahan dan suka merampas barangan yang tak boleh dibawa seperti liquid paper (pemadam pen) atau pun Gameboy (sejenis permainan kanak-kanak sekitar 90an yang menggunakan bateri).

Sekali pandang, memang mamat ni nampak bagus, baik, patuh kata guru dan pendek kata, segala apa yang digariskan dalam buku Pendidikan Moral, semua dia ikut.

Tapi cara dia mengendalikan kes sangat meragukan. Kalau dia nak rampas pemadam pen atau Gameboy, dia akan rampas sahaja, tanpa belas kasihan.

Tapi tidak kepada mereka yang menjadi 'kroni' si Salim ni. Mereka yang menjadi kroni si Salim ni tidak akan dikenakan apa-apa, bahkan segala harta rampasan barang-barang larangan itu Salim pakai sendiri atau jual kepada rakan-rakannya.

Saya bukan apa, melihat pada isu penahanan peguam dan aktivis Lawyers For Liberty, Eric Paulsen baru-baru ini, saya terbaca tweet dari Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Dalam tweetnya, beliau berkata Eric Paulsen adalah seorang yang angkuh dan menghasut rakyat Malaysia untuk menghancurkan 'semangat masyarakat 1 Malaysia kita'.

Paulsen baru-baru ini menegur Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana mencetuskan semangat ekstremisme dalam khutbah Jumaat.

Bila fikir balik pun, macam mana Paulsen boleh tahu, jawapannya, setiap teks khutbah yang dikeluarkan Jakim boleh didapati di Internet, tapi kalau tak pun, pihak masjid selalu memasang alat pembesar suara untuk orang ramai semua mendengar khutbah.

Bagi saya, saya tak ada masalah kalau khutbah Jumaat bercakap tentang perlunya umat Islam bersatu padu, tapi kadang-kadang melampau juga, dengan menggunakan perkataan seperti "musuh-musuh Islam" dan bermacam-macam lagi.

Jadi, kalau dah asyik nak ajak bergocoh dengan "musuh-musuh agama" selalu diucapkan dalam khutbah, apakah itu bukan ekstremisme?

Khalid ini mengingatkan saya terhadap Salim, seorang pengawas yang dibenci di sekolah saya. Khalid menangkap Paulsen bukan kerana kenyataannya, tetapi sebaliknya kerana Paulsen merupakan seorang yang pro pembangkang yang selalu mengkritik kerajaan.

Kalau kerajaan dan pihak polis benar-benar nak menangani ekstremisme, bukankah sepatutnya kerajaan meneliti semula semua teks-teks khutbah Jumaat yang dikeluarkan Jakim dan membuang semua apa yang tidak patut diperkatakan dalam negara yang berbilang kaum dan agama ini?

Dan semakin Jakim mempunyai kuasa yang banyak, dari meluluskan konsert ke menangkap orang sedang bersekedudukan, mereka seolah-olah angkuh dengan kuasa yang dimilikinya.

Tapi Khalid tidak suka orang mengkritik kerajaan. Atau agensi kerajaan seperti Jakim.

Saya ingin menceritakan apa yang terjadi pada Salim pengawas yang berat sebelah dalam sekolah saya itu.

Semasa di dalam sekolah, ramai yang takut kepada Salim, tetapi langsung tiada hormat kepadanya.

Pada suatu hari apabila Salim sendiri akhirnya ditangkap hisap rokok bersama kroni-kroninya, dia dibuang tugas dari pengawas dan akhirnya menjadi pelajar biasa.

Pada masa itu, Salim baru tahu langit tinggi atau rendah.

Khalid harus ingat, dengan menangkap orang yang bercanggah pandangan, dan kerap menekan kebebasan bersuara (dan berfikir), mungkin orang ramai akan takut pada institusi, tapi menghormati, tentu tidak sama sekali.

Dalam erti kata lain, rileks lah sikit. Saya dalam kolum ni pun hari-hari kena kutuk, tak sama pandangan, tak apa. Tak perlulah semua orang awak heret ke lokap.

Jangan kerana ada kuasa, jadi sombong dan lupa yang satu masa dahulu awak pun rakyat biasa juga. – 17 Januari, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments