Opinion

Rogol, seksisme dan fanatikus hudud

Baru-baru ini saya mendengar satu kes rogol beramai-ramai melibatkan dua orang wanita dan 38 orang lelaki di sebuah rumah kosong di Ketereh, Kelantan.

Kejadian ini mencetuskan satu kesedaran bagi saya untuk menulis tulisan ini. Bukan kerana kejadian tersebut tetapi reaksi orang ramai selepas mendengar kejadian tersebut.

Bagi fanatikus hudud – inilah saat-saat dan detik paling membuatkan mereka tersenyum kerana sesuatu yang menggemparkan telah berlaku pada masyarakat.

Pada masa ini, mereka mula menyalak dengan berkata "kalau ada hudud, perkara seperti ini tidak akan berlaku di negara ini."

Salakan mereka ini juga bersalutkan unsur seksisme, dan merendah-rendahkan martabat perempuan seolah-olah mereka lupa, mereka dilahirkan dari rahim wanita.

"Jika anda dedahkan aurat di khalayak ramai, anda tidak layak buat laporan polis jika dirogol #JomTutup Aurat", kata @NaimAncik dalam kenyataannya tentang kejadian ini.

Jelas sekali lelaki – terutamanya lelaki Melayu – masih ramai yang melihat mangsa rogol sebagai sengaja meminta diri mereka dirogol jika mendedahkan aurat.

Masih segar dalam ingatan saya, pada 2000 – mangsa bernama Noor Suzaily Mokhtar dirogol dan dibunuh ketika mangsa di dalam bas untuk ke tempat kerja.

Melihat pada gambar Noor Suzaily Mokhtar, beliau dirogol walaupun mangsa menutup aurat dan berpakaian sopan.

Jadi, dalil apakah lagi nak kata kalau menutup aurat, mampu mengelakkan diri daripada dirogol?

Berbalik kepada pengalaman rakan saya, seorang perempuan, ketika beliau melawat sebuah negara di Scandinavia.

Di negara ini, kebanyakan warga wanitanya tidak menutup aurat tetapi kes rogol di negara tersebut jauh lebih rendah daripada negara-negara Islam.

Adakah negara ini mengamalkan hukuman hudud? Sudah pasti tidak.

Tapi, adakah jenayah rogol dapat dihapuskan? Mungkin tidak tetapi sekurang-kurangnya tidak setinggi kejadian di sini.

Menurut kawan saya itu, dia berasa lebih selamat berjalan pada waktu malam di tengah kota di sana berbanding di sini.

Tetapi yang membezakan negara itu dengan negara ini ialah mereka mengajar kanak-kanak mereka tentang pendidikan seks.

Sejak kecil mereka diajar tentang apa itu seks dan apa perlu dilakukan sekiranya diserang secara seksual.

Dan pada akhirnya, mereka diajar tentang menghormati sesama gender dan daripada situlah jenayah rogol ini dapat dikurangkan.

Di negara ini, sementara itu – fanatikus hudud lebih gemar menekankan soal hukuman daripada soal pendidikan.

Apabila ada cadangan pendidikan seks di kalangan kanak-kanak, mereka merasakan ini merosakkan – kerana kononnya mengajar kanak-kanak membuat hubungan seks.

Tetapi apabila kanak-kanak ini membesar menjadi dewasa, mereka melihat lelaki dewasa juga tidak menghormati wanita – menyebabkan mereka mengulangi perkara yang sama.

Pada akhirnya masalah tidak selesai juga. Kejadian rogol semakin menjadi-jadi, dan golongan misoginis dan seksis semakin tidak malu mengkritik wanita kerana tidak menutup aurat.

Lelaki yang hulurkan "punai" mereka, wanita yang salah?

Kenapa tidak disalahkan lelaki yang menghulurkan "punai" itu? Kenapa nak salahkan wanita yang mendedahkan?

Jenayah merogol sudah cukup membuatkan emosi mangsa tercalar, tidak cukup lagi bila lelaki misoginis ini meletakkan kesalahan di bahu mereka.

Cuba berfikir sejenak dan buangkan minda reptilia dan egois lelaki anda? Cuba belajar menghormati wanita – dengan sedar hakikat bahawa anda berasal dari rahim wanita. – 7 Jun, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments