Opinion

Saya ‘straight’ tapi tidak ‘narrow’

Minggu lalu, Mahkamah Agung Amerika Syarikat membenarkan perkahwinan antara sejenis jantina, sekali gus menjadikan Amerika Syarikat negara yang ke-23 di dunia yang membenarkan perkahwinan sejenis.

Tetapi perjuangan ini sebenarnya bukannya baru. Perjuangan golongan ini menuntut hak yang sama seperti golongan heteroseksual sudah bermula sejak 1970-an lagi, di mana pejuang utamanya, Harvey Milk bertanding dalam pemilihan jawatan ahli majlis bandaraya San Francisco.

Milk akhirnya mati dibunuh Dan White, seorang lagi ahli majlis bandaraya San Francisco yang menentang hak asasi golongan homoseksual.

Penindasan terhadap golongan ini seringkali dikaitkan dengan agama, yang melarang hubungan sejenis ini kerana ia dikatakan melanggar "hukum alam".

Tetapi ternyata perlanggaran "hukum alam" itu tidak tepat kerana ada sahaja spesis-spesis haiwan yang lain yang mengamalkan hubungan sejenis ini, seperti yang ditulis pengkaji haiwan, Bruce Bagemihl dalam bukunya "Biological Exuberance: Animal Homosexuality and Natural Diversity".

Bahkan saya juga pernah membela seekor kucing yang homoseksual, tetapi saya tidak langsung bersikap prejudis terhadap kucing saya sendiri.

Apatah lagi jika ia seorang manusia. Saya juga mempunyai ramai kawan yang secara terbuka mengaku dia seorang yang homoseksual, dan saya bersahabat baik dengannya.

Lalu bermacam-macam pandangan dan pendapat terus bertembungan – antara mereka yang berfikiran liberal dengan yang konservatif.

Saya, sebagai seorang heteroseksual, saya akui saya mahu bercinta dengan jantina yang berlawanan dengan saya, kerana itu naluri saya.

Bagaimanapun, saya tidak rasa untuk menghalang sahabat saya, atau kucing saya daripada menjadi sama seperti saya, kerana mereka tidak sama dengan saya.

Barangkali dengan lebih mudah, orientasi seksual mereka adalah pilihan mereka sendiri, jadi tidak guna dipaksa-paksa untuk menjadi bukan diri mereka.

Lalu sekali lagi – hujah agama digunakan. Tuhan membenci makhluk yang melakukan hubungan sejenis, katanya.

Kalau benar begitu, kenapa Tuhan ciptakan mereka ini semua? Kenapa Tuhan cipta kucing saya seekor yang mengamalkan homoseksual? Dan begitu juga dengan haiwan-haiwan yang lain?

Apakah sifat Tuhan itu hanya mahu membenci dan hanya menghukum sahaja?

Apakah sifat Tuhan itu bersikap menindas orang lain yang juga mahukan hak yang sama seperti orang lain?

Jika sifat Tuhan begitu, saya fikir alam ini sudah penuh dengan kebencian dan tunggang-langgang.

Alam ini tidak jahat, yang jahat ini manusia. Yang membenci ini manusia.

Lalu hujah berikutnya berkata, sekiranya homoseksual boleh berkahwin sesama sendiri, maka gejala seks rambang akan berleluasa.

Hujah apa macam ni? Adakah bila sebuah negara meluluskan hak kesamarataan kepada golongan ini, maka golongan heteroseksual juga akan menjadi homoseksual? Apa kegilaan ini?

Yang heteroseksual akan terus kekal heteroseksual. Tidak ada siapa yang akan memaksa anda untuk bertukar orientasi seksual anda.

Cuma bezanya penindasan ke atas golongan homoseksual tidak lagi akan berlaku kerana mereka juga memiliki hak untuk bercinta mengikut naluri mereka.

Dalam erti kata lain, "I'm straight, but not narrow". Saya masih seorang heteroseksual, tetapi saya memilih untuk tidak menindas golongan yang orientasi seksualnya tidak sama dengan saya.

Tetapi dalam situasi negara ini, saya fikir untuk "decriminalise" hubungan sejenis pun masih sukar, apatah lagi untuk meluluskan perkahwinan sesama jenis.

Kerana majoriti masih lagi bersifat prejudis, dan sebagai seorang yang memerhatikan masyarakat ini, saya hanya boleh berkata, "nak buat macam mana".

Mungkin sahabat saya boleh berpindah ke-23 negara yang sudah membenarkan perkahwinan sejenis itu untuk hidup bahagia bersama pasangannya tanpa diganggu pihak berkuasa.

Lagipun di negara ini Talibanisasi sedang giat berlaku, ramai pegawai-pegawai kerajaan sekarang datang dari golongan ini.

Harapan sahabat saya untuk berkahwin dengan teman lelakinya itu di negara ini tidak mungkin jadi kenyataan. Mungkin seribu tahun lagi, mungkin. Mungkin tidak. – 4 Julai, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments