Opinion

Selamat Hari Wilayah Persekutuan: Percukaian tanpa perwakilan

Esok ialah 1 Februari, Hari Wilayah Persekutuan yang disambut oleh warga di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. 1 Februari adalah tarikh di mana wilayah-wilayah ini tidak lagi bernaung dengan negeri-negeri (Selangor dan Sabah), sebaliknya ia di bawah kerajaan persekutuan.

Pada 1974, kawasan di negeri Selangor seluas 243 kilometer persegi diserahkan kepada kerajaan persekutuan dan dikenali sebagai Wilayah Persekutuan, manakala Pulau Labuan, yang asalnya milik Sabah, dipindah milik kepada kerajaan persekutuan pada 1984. Sementara Putrajaya sekali lagi “dipotong” daripada wilayah Selangor, diserahkan kepada kerajaan persekutuan pada 2001.

Sebelum 1974, Kuala Lumpur merupakan ibu negara Malaysia dan ibu negeri Selangor dalam masa yang sama. Sejak tragedi berdarah 13 Mei 1969, kerajaan pada masa itu memikirkan negeri Selangor mungkin akan jatuh ke tangan pembangkang kerana sokongan kuat masyarakat Cina pada masa itu terhadap pembangkang.

Maka, untuk menyelamatkan hegemoni Umno dan Perikatan yang kemudiannya bertukar menjadi Barisan Nasional (BN), kawasan perbandaran Kuala Lumpur itu diasingkan daripada negeri Selangor, menyebabkan Selangor kekal menjadi kubu kuat BN sehingga 2008.

Sejak 1974, Kuala Lumpur menjadi bandaraya "percukaian tanpa perwakilan".

Saya berpendapat begini kerana tidak seperti negeri-negeri lain di Malaysia, di mana ketua kerajaan negerinya dilantik oleh rakyat, tetapi tidak di Wilayah Persekutuan.

Ini kerana Wilayah Persekutuan – mengikut kefahaman ramai, adalah bukan sebuah negeri.

Di negeri-negeri di Malaysia, kita boleh memilih parti yang kemudiannya akan memilih seorang daripada Ahli Dewan Undangan Negerinya sebagai menteri besar atau ketua menteri.

Tetapi di Wilayah Persekutuan, penduduk di tiga wilayah ini tidak ada kuasa itu.

Di Kuala Lumpur misalnya, semua dasar ditentukan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang diketuai oleh seorang datuk bandar (yang kebanyakan warga di sini tidak kenal, dan kalau kenal pun, hanya sekadar 'ooh, ini datuk bandar rupanya).

Dan datuk bandar Kuala Lumpur ini tidak dilantik oleh rakyat.

Tidak seperti bandaraya di negara lain (negara yang tidak mengamalkan demokrasi seperti Korea Utara, China atau Myanmmar lain kes), seperti di London, United Kingdom, New York, Amerika Syarikat atau Paris, Perancis, datuk bandarnya dipilih oleh rakyat.

Di Washington DC, slogan "Taxation Without Representation" dilaungkan kerana mereka tidak diberi kuota dua orang senator seperti negeri-negeri lain di Amerika, walaupun penduduk di Washington DC boleh memilih datuk bandar mereka.

Sebab dasar-dasar yang dibuat oleh seorang datuk bandar akan memberi kesan kepada penduduk kota tersebut.

Lain pula dengan penduduk di Kuala Lumpur, sebuah bandaraya yang berpenduduk 1.8 juta orang ini.

Sudahlah datuk bandarnya tidak dipilih rakyat, kemudian DBKL boleh suka-suka hati sahaja melakukan segala dasarnya tanpa memikirkan perasaan dan fikiran penduduk di Kuala Lumpur.

Contoh yang berlaku di Kampung Chubadak, di mana kawasan perkampungan di pinggir Sungai Gombak itu dilanggar oleh pemaju dan DBKL jelas memihak kepada pemaju dan tidak bersama rakyat.

Dan beberapa lagi contoh, seperti kenaikan cukai pintu yang pernah cuba dilakukan oleh DBKL satu masa dahulu, mendapat bantahan orang ramai tapi oleh kerana penduduk kota tidak memilih datuk bandar, penduduk kota tidak mempunyai suara untuk menentang dasar-dasar datuk bandar kecuali kepada ahli Parlimen pembangkang yang meluahkannya di Parlimen.

Sembilan daripada 11 kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ialah kawasan Pakatan Rakyat (PR), tetapi segala dasar-dasar yang berlaku di Kuala Lumpur hanya diputuskan oleh kerajaan persekutuan yang dikuasai oleh BN.

Saya juga tidak bersetuju sekiranya katakan PR memenangi kerajaan persekutuan, tetapi penduduk di Putrajaya memilih BN, dan segala dasar kerajaan persekutuan yang ditadbir oleh PR akan menindas suara penduduk Putrajaya, sebagai contohnya.

Apa yang saya mahukan – sebagai penduduk di Kuala Lumpur, ialah dalam pada sama penduduk kota ini membayar cukai untuk kemakmuran kota ini, penduduk ini memiliki hak untuk memilih datuk bandar seperti penduduk di negeri-negeri lain di Malaysia yang memiliki hak untuk memilih parti yang akan memilih menteri besar atau ketua menteri.

Jika tidak, apalah gunanya penduduk warga kota terus membayar cukai, kalau suara mereka ditidakkan oleh seorang datuk bandar yang tidak dipilih rakyat?

Selamat Hari Wilayah Persekutuan, hari percukaian tanpa perwakilan. Hari di mana penduduk di tiga wilayah ini kehilangan hak untuk memilih pemimpin untuk wilayah mereka sendiri, tetapi terus membayar cukai. – 31 Januari, 2015.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments