Pertama sekali, saya ingin mengucapkan selamat menyambut Ramadan al Mubarak dan selamat berpuasa kepada seluruh umat Islam, sama ada di negara ini ataupun di seluruh dunia.
Tahun ini nampaknya sambutan Ramadan, rata-ratanya kurang meriah berbanding sebelumnya, mengikut pandangan saya pada hari pertama berpuasa yang lepas.
Peniaga bazar Ramadan pun mengenakan harga makanan yang agak mahal, mungkin kerana peningkatan harga yang ketara disebabkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang sudah hampir 2 bulan setengah ini.
Mungkin Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan perlu lagi mengeluarkan resipi terbarunya selain nasi goreng susun timun dalam kualinya kepada rakyat jelata yang terhimpit akibat cukai ini.
Pada fikiran saya, mungkin ini satu hikmah kerana selama ini ramai orang membazir terutamanya makanan setiap kali tiba bulan Ramadan.
Setiap tahun apabila tibanya bulan Ramadan, kadar kutipan sampah meningkat hampir 50%, dan sampah yang dibuang itu kebanyakannya makanan yang tidak habis.
Ini menjadi ironi kerana dalam ajaran Islam mengajar supaya tidak membazir dan menghargai rezeki terutamanya dalam bulan Ramadan, bulan yang dituntut untuk bersederhana.
Selain itu juga, ketaksuban orang Melayu, untuk menyambut Ramadan seperti orang Arab juga agak ketara terutamanya pada dekad ini.
Proses Talibanisasi yang berlangsung secara perlahan-lahan, bermula sejak 10 tahun yang lepas ketika era Tsumawi Akademi Fantasia juga kini sudah semakin menebal di kalangan masyarakat Melayu.
Semakin ramai yang mula merasakan untuk menjadi lebih Islamik, kita perlu menjadi lebih Arab.
Akibatnya banyak juadah berbuka puasa untuk orang Melayu seperti tapai, kuih koci dan makanan-makanan tradisional Melayu semakin berkurangan.
Selain itu juga, kegilaan terhadap keju juga semakin ketara dalam dekad ini. Bermula dengan pisang goreng keju, kemudiannya hampir semua benda nak diletak keju.
Maaf, bagi saya ini sudah keterlaluan dan saya tidak boleh menerima perubahan ini.
Ternyata bulan Ramadan yang saya lalui sekarang sangat berbeza berbanding semasa saya kanak-kanak dahulu.
Semakin saya melihat perubahan ini, semakin saya sedar, banyak benda sudah kita tinggalkan, dan masa cepat berlalu.
Entah macam mana Melayu berpuasa 20 tahun dari sekarang agaknya. – 20 Jun, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments