Pada minggu lalu, muktamar Parti Islam Se-Malaysia (PAS) berlangsung di Batu Pahat, Johor, dan berakhir dengan kata-kata caci maki, puak sana tuduh puak sini, dan saling berbalah.
Saya bukan ahli PAS, saya tidak pernah memangkah logo bulan. Malah, ada juga dasar-dasar parti itu yang saya tidak sokong.
Orang kata, siapalah saya – orang luar parti untuk bercakap apa-apa tentang PAS. Konflik dalaman parti, biasalah – apa kena mengena dengan saya.
Tapi semasa saya kecil – apabila saya mencarut dan memaki hamun, ibu saya akan cili mulut saya.
Di sekolah rendah agama pula, ustazah akan rotan saya atau henjut ketampi jika saya memaki hamun.
Tapi apabila orang macam Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang sesetengah pengikut 'kultus'nya sebagai orang yang warak, dan berilmu agama tinggi – tiba-tiba memaki hamun, memanggil orang 'barua' dan macam-macam lagi, nak kata apa ni?
Ya, saya tahu lah beliau sedang marah – tapi bukankah marah itu sifat syaitan, kata golongan ulama ni?
Saya tak tahu sifat syaitan tu macam mana, saya tak pernah jumpa syaitan.
Sudahlah memaki hamun, disambut pula dengan takbir. Apakah dalam ajaran Islam ada mengajar penganutnya memaki hamun sambil diselang-seli dengan memuji Tuhan?
Ini macam Pete Doherty masuk Islam dan bagi kuliah subuh.
Tapi Hadi manusia biasa. Sifat marah itu memang sebahagian daripada sifat manusia. Tidak mengapa dengan kekhilafan itu.
Apa yang menjengkelkan saya ialah apabila Hadi bercakap tentang soal syurga neraka.
"Lalu dilantik seorang kerana kecenderungan bukan kerana amanahnya. Saya tidak bersedia bawa ahli PAS ke neraka jahanam," kata Hadi dalam ucapan penggulungannya minggu lalu.
Saya ada satu soalan: macam mana beliau boleh tahu ahli-ahlinya masuk neraka kalau membenarkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar?
Isunya bukan soal Dr Wan Azizah jadi menteri besar – tapi macam mana Hadi tahu soal syurga neraka ni?
Adakah dia berhubung dengan penjaga syurga, penjaga neraka? Dia dah ada senarai nama siapa masuk syurga, siapa masuk neraka ke?
Atau sengaja menggunakan syurga-neraka ini untuk menakut-nakutkan ahli dengan perkara yang dia sendiri pun tak pasti?
Saya selalu menyampah bila orang bercakap pasal syurga dan neraka seolah-olah mereka dah tahu isi di dalamnya serta perangai 'holier-than-thou' mereka yang seolah-olah berasa diri mereka sudah menempah syurga.
Dan menggunakan neraka untuk menakutkan orang-orang biasa, orang-orang kecil, pengikut – untuk buat mereka terus patuh dan takut dengan ketua.
Saya belum dilahirkan lagi ketika Hadi menyampaikan Amanat Haji Hadi di Banggul Peradong, Terengganu.
Tapi saya tahu, pada masa itu – soal kafir-mengkafir sesama umat Islam bermula – jadi saya fikir - wah, Hadi boleh menentukan siapa kafir siapa Islam ke?
Melihat sifat-sifat begini dan pengikutnya – saya melihat ini sama seperti kumpulan kultus yang kata puak dia je betul dan tak sefahaman akan dituduh kafir, akan disumbat api neraka.
Saya meminta penyokong-penyokong PAS yang membaca tulisan ini – untuk memikirkan dan mempertimbangkan kewarasan akal saudara-saudari sekalian.
Cuba fikir, kalaulah dakwah Islam ini dimulakan dengan maki hamun dan saling cerca-mencerca, adakah Islam akan berkembang sampai sini?
Jangan asyik salahkan Zionis, salahkan Freemason, salahkan idea sekular Barat, jangan salahkan Islamophobia – kalau orang yang mendakwa dirinya ulama' – tok guru agama – mencarut dan memaki hamun, hanya nak menakut-nakutkan orang dengan api neraka, semata-mata kuasa politik. – 27 September, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments