Opinion

Sorotan peristiwa besar sekitar 2015

Saya sedang mengalami krisis “writer's block”, saya tidak mampu untuk tulis apa-apa pun buat masa terdekat ini. Faktor usia serta beberapa isu peribadi menyebabkan saya gagal menghasilkan apa-apa pada masa ini.

Tetapi, saya harus menulis artikel untuk minggu ini. Jadi, selepas berfikir panjang dan lama, saya fikir, saya hanya sekadar mengimbau kembali sepanjang 2015, memandangkan ini adalah artikel Sabtu saya yang terakhir tahun ini.

Pada Januari lalu, kejadian tembak-menembak di ibu pejabat penerbit majalah satira Perancis, Charlie Hebdo dengan 12 orang terbunuh kerana isu menghina Nabi Muhammad, yang kemudiannya 10 bulan kemudian, satu lagi serangan ke atas Paris oleh ekstremis.

Politik Perancis kini bergolak, dengan menyasarkan golongan imigran Arab yang kebanyakannya beragama Islam, dengan parti berhaluan kanan seperti Front Nationale mula menguasai politik negara tersebut.

Pada Februari, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, bekas Mursyidul Am PAS, meninggal dunia. PAS yang dahulunya sebuah komponen kuat Pakatan Rakyat, mula berantakan. Pada Februari juga, bekas ketua pembangkang dan ketua de facto Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan.

Pakatan Rakyat mula berpecah, dan PAS berpecah kepada 2 kem, sebelum kem yang lagi satu menubuhkan Parti Amanah Negara (Amanah) yang bergabung dengan PKR dan DAP, membentuk Pakatan Harapan.

Pada Mac, bekas perdana menteri Singapura yang paling berpengaruh, Lee Kuan Yew, meninggal dunia. Negara republik itu kini dalam dilema – kerana selama ini, Lee Kuan Yew adalah sosok yang paling kuat dan mempengaruhi negara itu. Bagaimana untuk negara pulau itu untuk terus bertahan, bergantung pada generasi barunya.

Pada April, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) mula dilaksanakan. Harga barang mula meningkat dan orang mula berkira-kira untuk berbelanja. Peningkatan mendadak harga barang ini menyebabkan rungutan, dan kemarahan di laman sosial (tidak lebih dari itu). Kemudian kehidupan berjalan seperti biasa semula.

Pada Mei, krisis kemanusiaan berlaku apabila masyarakat Rohingya di dalam bot dihalang untuk masuk ke dalam negara ini. Semua negara seperti Malaysia, Indonesia dan Thailand, yang seolah-olah mahu menjaga hati Myanmar selaku sekutu Asean juga tidak membenarkan mereka mendarat.

Kemudian Acheh yang memiliki kuasa autonomi pada akhirnya membenarkan mereka mendarat. Turki, menggunakan kesempatan ini untuk mendapat pengaruh politik di peringkat antarabangsa dengan mengambil sebahagian daripada jumlah orang Rohingya di atas bot.

Dalam masa sama, polis di Perlis menemui sebuah kem buruh paksa di sempadan dengan Thailand, serta menemui kubur beramai-ramai mangsa kekejaman penyeludupan manusia.

Pada Jun, sebuah gempa bumi berukuran 6.0 skala Richter melanda Ranau, dan rakyat negara ini terkejut, apakah selama ini buku teks Geografi KBSM menipu kita – yang negara ini tidak ada ancaman gempa bumi, dan apabila ia berlaku, ramai yang mula merasakan negara ini juga tidak selamat dengan ancaman gempa.

Pada Julai, rombakan Kabinet berlangsung dengan bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ditukarkan dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, desas-desus kerana isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang melanda negara.

Pada Ogos, lebih kurang 25,000 orang, majoritinya golongan kelas pertengahan dan bukan Melayu berhimpun di Dataran Merdeka dan sekitarnya kerana menyertai demonstrasi Bersih 4.0 – yang menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan.

Spoiler alert: “Najib masih lagi perdana menteri Malaysia ketika tulisan ini ditulis”.

Pada September, jerebu yang melanda di negara ini – yang paling teruk sejak 1997. Kebakaran besar di Kalimantan dan Sumatera serta cuaca kering menyebabkan jerebu kali ini paling tidak menyelesakan.

Dan mesyuarat menteri Asean pun berlangsung lagi setiap kali jerebu berlangsung untuk menyelesaikan masalah yang tidak pernah pun selesai seperti tahun-tahun sudah.

Pada September juga, himpunan Baju Merah untuk membalas kembali perhimpunan Bersih 4.0 – kali ini di kalangan golongan ultra Melayu yang mahu mempertahankan Najib berdemo di sekitar Jalan Petaling dan Bukit Bintang.

Pada Oktober, Bajet 2016 dibentang. Ahli Parlimen pembangkang bertanya kepada perdana menteri "mana perginya RM2.6 billion", berkenaan isu 1MDB, tetapi perdana menteri hanya tersenyum dan melambai-lambai sambil meninggalkan Dewan Rakyat.

Pada November, mula heboh dan kecoh tentang pengharaman vape. Geng perokok masih “steady” hisap rokok walaupun beberapa kali rokok naik harga (tidak apa, rokok seludup masih ada, jangan ditanya mana boleh dapat).

Dan pada Disember, ketika mereka yang acah-acah “movie buff” sibuk mengkritik peminat Star Wars kerana tidak mengutamakan filem Jagat, dan satu lagi drama di Facebook berlegar tentang isu syarikat penerbangan halal Rayani Air, di sebelah pihak memuji dan di sebelah lagi berkata bagaimana agama itu sudah diperdagangkan, saya hanya makan kuaci dan sekali sekala, sambung tidur kembali kerana menunggu kebosanan ini berakhir.

Semoga 2016 tidak sebosan tahun ini. Syukurlah, tinggal ada kurang dari seminggu untuk menghabiskan tahun yang cukup membosankan ini. – 26 Disember, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments