Ke hadapan Presiden Republik Indonesia Joko Widodo atau nama glamornya Jokowi. Saya ingin memberitahu kepada anda jerebu kali ini terlalu teruk dan ramai yang mengalami kesakitan di saluran pernafasan, pada paru-paru dan ramai yang sakit hati.
Jerebu kali ini disebabkan kebakaran besar yang gagal dikawal di wilayah negara anda di Sumatera dan Kalimantan.
Sering kali apabila jerebu yang sudah banyak kali berlaku di Asia Tenggara ini, negara anda menyalahkan para cukong di negara ini dan Singapura kerana syarikat ini yang membuka ladang dan membakar hutan di negara anda sehingga menjadi jerebu sebegini.
Wakil presiden (timbalan presiden) anda Jusof Kalla juga berkata, selama ini negara anda memberi oksigen, apa salahnya jerebu dalam masa singkat ini.
Singkat sungguh akal pemikiran wakil presiden anda.
Hari ini saya menulis surat ini melangkaui sempadan negara, melangkaui nasionalisme dan melangkaui segala permasalahan politik.
Hari ini saya menulis sebagai seorang yang daripada spesis Homo Sapiens, sebagai seorang manusia.
Kanak-kanak, sama ada dari Malaysia, Singapura atau Indonesia menderita kerana sakit jerebu ini.
Orang tua, orang yang mengalami sakit lelah juga begitu.
Kalian kata yang melakukan pembakaran terbuka ini adalah syarikat dari negara kami, maka hukum saja mereka.
Jika saya, warga Malaysia, melanggar peraturan di Indonesia maka saya wajib dihukum, bukan?
Jadi, kenapa tidak dihukum saja cukong-cukong, tauke-tauke kapitalis ini?
Sebab dia cukong? Sebab dia tauke? Sebab mungkin pelaburan dia di negara anda jauh lebih penting daripada jutaan rakyat yang menderita akibat jerebu ini?
Kalau begitulah, baik tuan, atau perdana menteri di negara ini, yang tidak pernah ambil tahu tentang penderitaan rakyat, bersama-sama cukong, tauke dan pemodal kapitalis yang kalian cintai, keluar dari planet ini, kerana bumi tidak perlukan orang seperti kalian.
Bumi ini hancur dan rosak kerana sifat tamak para pemodal ini, dan kalian selaku ketua negara, tidak ambil peduli dan kisah tentang kami.
Setiap kali pemilu kami ditipu, setiap kali bencana kami yang sengsara. – 24 Oktober, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments