Opinion

Surat terbuka untuk Tee Chuan Seng (dikenali sebagai Ridhuan)

Ke hadapan saudara Tee Chuan Seng,

Apa khabar saudara Tee di sana? Diharapkan saudara Tee di sana sihat hendaknya.

Saya terbaca satu laporan di media mengenai kenyataan saudara Tee yang mengecam seorang peguam yang merupakan aktivis Lawyers of Liberty, Eric Paulsen.

Pada masa saya membaca laporan tersebut, saya percaya saudara Tee memang betul-betul memarahi Paulsen sehingga menggelarkan peguam tersebut sebagai "seorang peguam bernama orang putih tapi bermata sepet" kerana Paulsen mengkritik Jakim tentang teks khutbah Jumaat.

Baiklah Tee, pertama sekali, secara jujurnya apabila kali pertama saya mendengar nama Eric Paulsen ini, saya membayangkan Paulsen ini bermata biru, berambut blonde serta berasal dari Denmark.

Tetapi akhirnya saya mengenalinya dan dia seorang rakyat Malaysia yang bermata sepet, jadi saya berfikir, "ah, ada apa dengan nama? Nama Muhammad pun berasal dari Arab, tapi kenapa ramai Melayu memakai nama tersebut. Jadi apa salahnya dia bernama begitu?"

Saudara Tee juga sejak berpindah agama, saudara menukar nama saudara kepada Ridhuan, nama Arab juga, walhal saudara daripada kaum Tionghua.Jadi, tiada salahnya bukan?

Jadi, kenapa nak marah Eric Paulsen dengan panggilan "seorang peguam yang bernama orang putih tapi bermata sepet"?

Adakah saudara Tee lupa yang saudara juga bukan seorang yang berasal daripada keturunan Arab atau Melayu?

Itu satu hal. Hal lagi satu ialah kenyataan saudara Tee mengenai gerakan "ultra kiasu" yang tidak habis-habis menyerang Melayu dan Islam.

Dari dulu lagi saya perhatikan kenyataan saudara Tee tentang ini. Saya dari dulu lagi nak tanya, "ultra kiasu" ini sebenarnya siapa? DAP? Orang kafir? Orang liberal? Orang atheis? Orang yang tidak suka dengan ketuanan Melayu dan Umno?

Seolah-olah saudara Tee mahu memberitahu kepada orang Melayu dan Islam "ultra kiasu" ataupun orang-orang yang bukan Melayu dan Islam ini sedang mengancam kaum dan agama mereka.

Saudara Tee ada menyebut tentang "ultra kiasu dan konco-konconya semakin berani mencampuri urusan agama Islam, sedangkan kita tidak pernah mencampuri urusan mereka."

Saudara juga pernah mencadangkan supaya "kita" menyamar masuk ke gereja dan dengar khutbah mereka pada hari Ahad.

Pertama sekali, siapa cakap pihak yang saudara Tee sebelahkan itu tidak pernah mencampuri urusan orang bukan Islam?

Pertama, kes rampasan Bible oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), adakah itu bukan bersikap campur tangan?

Kedua, apabila saudara Tee berkata golongan "ultra kiasu" ini tidak habis-habis menyerang Melayu dan Islam, saya nak bertanya, yang selalu menyerang ni siapa? Siapa yang memiliki kuasa dalam tampuk pemerintahan sekarang?

Bagi saya, penghormatan tidak datang dengan paksaan, tapi saling memahami.

Macam mana puak yang saudara Tee ni kata "ultra kiasu" ini nak berdiam diri kalau kerajaan/daulah yang ada pada hari ini tidak sudah-sudah mengacau kebebasan mereka?

Dan ketiga, apabila saudara Tee mencadangkan orang-orang saudara menyamar masuk ke gereja dan mendengar khutbah mereka pada hari Ahad, apakah saudara Tee rasa ada orang "ultra kiasu" ini sanggup menyamar masuk masjid dan mendengar khutbah pada hari Jumaat?

Zaman sekarang semuanya viral, Tee Chuan Seng. Apabila saudara bercakap sesuatu dan ia dirakamkan dan dimuat naik ke ruang siber, secara automatik benda itu akan tersebar, dan akan menerima pelbagai sudut pandangan dari apa yang dikatakan itu.

Saya percaya saudara Paulsen juga menerima kritikan yang hebat apabila dia berkata sedemikian, tapi saudara Tee pula enggan untuk menerima kritikan apabila ada khutbah Jumaat yang disediakan Jakim menyinggung perasaan bukan Islam.

Saudara Tee Chuan Seng,

Perkara yang terakhir sebelum saya mengakhiri surat terbuka ini, ialah saya ingin bertanya soalan yang benar-benar jujur dan tulus ikhlas daripada diri saya kepada saudara Tee.

Apa yang membuatkan saudara Tee ini sangat membenci kepada orang bukan Islam? Apa yang mereka dah buat sampai semua benda menimbulkan kebencian kepada saudara Tee?

Adakah semasa saudara masih bernama Tee Chuan Seng, saudara berasa betapa hinanya nama itu sehingga apabila sudah bertukar nama, terus saudara nak menyerang orang di sebelah sana?

Berlaku jujur pada diri sendiri, apakah saudara rasa dengan berbuat begitu, keMelayuan saudara akhirnya lengkap, seterusnya berjaya membuatkan saudara merasa lega tidak lagi dikaitkan dengan sejarah lama saudara?

Jika itu jawapannya, maka saya dengan ini berbesar hati untuk terus mengingatkan diri saudara, yang saudara ini namanya Tee Chuan Seng, dan seorang Tionghua.

Tolong ingat nama ini, nama saudara sendiri. Tolong ingat, saudara bukan orang Melayu yang tak sudah-sudah nak menyerang "ultra kiasu" yang nak mengancam "orang kita".

Saudara bukan "orang kita". Saudara bukan orang Melayu. Tolong sedar dan insaf tentang hakikat itu.

Sekian,

Nomy Nozwir.
Ibu keturunan Jawa, ayah keturunan Minang. – 24 Januari, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments