Opinion

Tahun terakhir Obama dan tiada yang berubah

Pada Selasa lalu, saya mengikuti ucapan State of the Union terakhir Barack Obama sebagai presiden Amerika Syarikat.

Banyak pencapaian yang berlaku sepanjang beliau menjadi presiden Amerika Syarikat, secara domestiknya, tetapi dasar luarnya tiada yang berubah, bahkan semakin buruk.

Lebih buruk dari presiden sebelumnya, George W Bush.

Saya masih ingat satu petang ketika saya di USM, ketika November 2008, ketika beliau baru saja memenangi pilihan raya Amerika Syarikat, Barack Obama berjalan dengan megah sambil berkata, "perubahan sudah datang".

Ya, secara jujurnya jika anda seorang warganegara Amerika Syarikat, dan jika anda seorang penyokong idea liberal, anda mungkin merasa, "ya, ada perubahan yang berlaku".

Obamacare, mahkamah agung Amerika Syarikat meluluskan perkahwinan sejenis, serta di beberapa buah negeri sudah melegalisasi penggunaan marijuana, serta usaha untuk mengawal penggunaan senjata, tetapi ini hanya untuk memuaskan golongan liberal di negara itu sahaja.

Entahlah, sejak perang dunia ke-2 berakhir, siapa yang menjadi presiden Amerika Syarikat, dia secara defacto menjadi “maharaja dunia”. Semua negara yang merdeka hanya merdeka pada nama sahaja.

Tambahan pula selepas jatuhnya Soviet Union dan globalisasi yang berlaku secara besar-besaran sejak 1990-an dan ia berterusan sehingga hari ini.

Dan sejak serangan 11 September 2001, perang ke atas keganasan yang dilancarkan George W Bush, sehingga ke hari ini tidak nampak di mana titik pengakhirannya.

Serangan di Jakarta, serangan di Paris sebelum ini, serta perang di Syria, Libya, Yemen, Nigeria - ia seolah-olah semakin merebak, serta persaingan antara 2 kuasa serantau di Timur Tengah antara Arab Saudi dan Iran, persaingan 2 negara pengeksport minyak ini terus menurunkan harga minyak nampaknya membawa seluruh dunia ini menuju kehancuran.

Barack Obama menang pilihan raya Amerika Syarikat pada 2008 pada ketika zaman The Great Recession, pada zaman pentadbiran Bush mengalami masalah menghadapi krisis subprima terbesar sejak The Great Depression 1930-an.

Tetapi di Amerika Syarikat hari ini, di bawa pentadbiran Obama, pertumbuhan ekonomi di negara Uncle Sam itu lebih baik dari sebelum Obama mengambil alih dari Bush, tetapi seluruh dunia, ekonomi makin meleset dan melarat makin buruk.

Bursa saham di China merudum teruk, begitu juga di Eropah, yang menghadapi krisis kemanusiaan terburuk dari pelarian perang dari negara yang sedang bergolak, dan permulaan tahun 2016 ini sahaja bermacam-macam peristiwa buruk sudah pun berlaku.

Mungkin dekad ini dekad yang lebih baik untuk Amerika, tetapi untuk seluruh dunia, terutamanya di pertengahan dekad ini, ia semakin buruk.

Jadi, melihat ucapan terakhir Barack Obama sebagai presiden dalam State of the Union, ia mungkin berita yang baik untuk para penyokong liberal di sana yang nampaknya akan mendukung kuat Hillary Clinton sebagai penyambung kesinambungan liberal di sana.

Tetapi saya percaya jika Hillary Clinton menjadi presiden yang baharu pada 20 Januari 2017 nanti, keadaan akan menjadi lebih kurang sama di dunia ini.

Sementara itu, saya cuba membayangkan jika Donald Trump yang akan mengambil alih White House, banyak suara liberal di sini yang bimbang dunia ini akan jadi lebih buruk dari apa yang Obama ada sekarang.

Jangan tertipu, Obama, atau Hillary, atau Bush, atau Trump - mereka tetap “maharaja dunia” dan nasib kita sebagai “vassal state” akan tetap sama. Kita cuma negara komprador.

Kita cuma merdeka pada nama, hakikatnya perjanjian antara kerajaan ini dan pentadbiran Washington yang bakal membawa banyak malapetaka pada rakyat, seolah-olah kerajaan ini sudah pun menandatangani perjanjian itu.

Dan sebagaimana Perjanjian Pangkor yang menjadikan negara kita terjajah dengan British, TPPA juga akan bersifat sama.

Slogan Barack Obama seperti "Change" dan "Yes We Can" cuma slogan liberal dan rakyat biasa seperti kita semua, sebenarnya tidak ada apa yang berubah.

Cuma tinggal setahun lagi, Barack. – 16 Januari, 2016.    

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments