Opinion

Terbaik Dari Langit: Sebuah lagi filem anti-tipikal-filem-Melayu?

Hari Isnin yang lalu, saya bersama seorang kawan menonton filem Melayu berjudul Terbaik Dari Langit, arahan Nik Amir Mustapha.

Sejak filem KIL pada 2013, filem so-called anti-tipikal-filem-Melayu mulai menembusi pawagam seluruh negara.

Ia seolah-olah memberi harapan baru yang filem Melayu tidak semestinya kena bercerita tentang projek juta-juta, bisnes cuba dihancurkan pesaing serta percintaan antara anak Datuk yang akan ada konflik di kereta mahal di tepi bukit Ampang.

Filem-filem tipikal Melayu ini sebenarnya muncul sekitar 70-an, mengambil genre cerita orang-orang kaya, terutamanya drama TV Dallas pada lewat 70-an dan awal 80-an. Ia kemudiannya semakin diperkukuhkan lagi dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sekitar dekad itu untuk memperkukuhkan ekonomi Melayu.

Apabila drama-drama dan filem-filem genre orang kaya ini mula bersiaran pada sekitar tahun tersebut dalam masa sama dasar ini dibuat, maka ramailah orang-orang Melayu berangan-angan mahu jadi kaya seperti dalam filem-filem tersebut.

Terbaik Dari Langit mengisahkan seorang pembikin filem eksperimental bernama Berg (lakonan Bront Palarae), yang cuba membuat filem eksperimennya di samping ketaksubannya dengan teori UFO.

Bersama bekas rakan sekolahnya, Ijam Ashburn (lakonan Iedil Putra) – yang merupakan pelakon popular melakonkan watak imam muda, mungkin ini satu cara pengarah menyindir pengaruh 'lebailisasi' yang semakin menular dalam arus perdana.

Bersama-sama Berg selain Ijam ialah Toyu (lakonan Amerul Affendi), Ali (Megat Sharizal), dan seorang gadis bernama Sofia Jane (Nadiya Nisaa).

Cerita tentang setiakawan, impian seorang pembikin filem dalam menyuarakan suara seninya, serta pertembungan idealisme vs pragmatisme memain peranan cukup kuat dalam cerita ini.

Tidak kurang juga cuitan sedikit dengan isu-isu media sosial seperti Ahmad Idham, retweet pujian artis yang berlegar dalam media sosial seperti Twitter.

Filem ini juga meletakkan semua watak mempunyai kelemahan dan kekuatannya tersendiri, tidak seperti kebanyakan filem yang mana watak hero serba-serbinya seolah macam, sempurna.

Dan pelakon seperti Amerul Affendi, saya berasa dia harus mendapat tempat lebih tinggi kerana bakat lakonannya yang sangat baik.

Aliran filem alternatif Melayu seperti ini bukanlah baru, pada tahun 80an ada filem Kami (lakonan arwah Sudirman) dan Mekanik, yang mengangkat Melayu marhein sebagai subjek cerita.

Tetapi era 1990an kebangkitan genre filem orang kaya Melayu ini ditambah lagi dengan kemakmuran ekonomi pada ketika itu, menyebabkan filem alternatif Melayu semakin lenyap. Yang ada cuma Dari Jemapoh Ke Manchestee arahan Hishamuddin Rais.

Pada satu masa dipertengahan 2000an, scene perfileman Melayu ini begitu membosankan dengan filem Mami Jarum dan era cerita gangster, rempit, seram, dan komedi pun muncul.

Kemudian pada 2010an, mulalah “lebailisasi” yang mula meresap dalam cerita-cerita Melayu, sehinggalah era sekarang di mana drama "suamiku suamiku" ini muncul.

Sebelum drama-drama "suamiku suamiku" ini mula muncul pada dekad 2010an ini, terdapat juga satu aliran alternatif seperti drama bersiri Kami The Series pada lewat dekat 2000an, sebelum entah macam mana, ia jadi sunyi dan sepi.

“Rejim lama” pemikiran lama filem Melayu yang diwarisi dari dekad 70an ini pula kini disalutkan lagi dengan “lebailisasi” yang menyebabkan orang ramai mula tercari-cari apa alternatif daripada drama atau filem-tipikal-Melayu ini.

Kekuatan “rejim lama” masih ada, walaupun kebanyakan orang yang tinggal di bandar sudah mula ada yang memperlekehkan kewujudan drama atau filem seperti ini.

Kini selepas KIL, filem-filem beraliran "lain sikit" daripada filem tipikal Melayu seperti Psiko Pencuri Hati, kemudiannya Kolumpo, Lelaki Harapan Dunia, Ophilia dan kini Terbaik Dari Langit memungkinkan ada sedikit harapan untuk mereka yang mengharapkan pemikiran daripada “rejim lama” mempunyai pesaing yang mempunyai idea lebih segar, dan lebih mendekatkan Melayu dengan realiti sebenar.

Sama ada filem dan drama genre begini boleh menggugat pemikiran 'rejim lama' filem Melayu, saya tak tahu. Kehadiran di panggung wayang boleh saya katakan tak sampai 10% daripada kapasiti pawagam. Sedih juga, tapi nak buat macam mana.

Apapun, saya masih berpuas hati kerana tiada unsur “lebailisme” yang berterusan memaksa orang menjadi 'lebai', dan filem ini boleh saya katakan, ia seolah-olah berkata, "jadilah diri sendiri".

Saya ingin gunakan dialog Berg dalam filem Terbaik Dari Langit ini untuk mengakhiri artikel ini.

"Hidup ini datangnya dari kesedaran, bukan mimpi atau angan-angan." – 10 Januari, 2015.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments