Opinion

‘Tol naik? Ala, orang mesti lupa punya’

"Tol naik? Ala, orang mesti lupa punya!" kata seorang kawan yang datang ke rumah selepas komentar tentang kenaikan harga tol ini diceritakan di rumah sewa saya.

"Manifesto pilihan raya umum 2013 kata harga tol turun, baharu 2 tahun, ramai yang dah lupa, pasrah sajalah," kata kawan saya lagi.

Buat pembaca yang membaca tulisan ini, 2013 adalah tahun di mana bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim punya ceramah masih macam konsert rock, sehingga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terpaksa panggil Psy untuk konsert “Gangnam Style” di Pulau Pinang, termasuk kegilaan rakam video Gwiyomi oleh artis di video Keek. Oh ya, dan juga video YouTube remaja angkat sumpah “couple seminggu”.

Semua itu kedengaran sangat lama dan ramai sudah pun kata ini perkara “has been” (sudah berlalu) tapi ini baharu 2 tahun.

Dua tahun bukan sesuatu yang lama sangat pun tapi orang dah lupa.

Tak payah 2 tahun, kita ambil apa kata menteri komunikasi dan multimedia tentang isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST) ke atas kad tambah nilai prabayar (top-up) yang dikatakan menimbulkan kemarahan kerana isu sama ada perlu atau tidak, caj tambahan 6% dalam nilai pembelian kad tambah nilai itu.

Ini petikan yang saya ambil daripada laporan berita mengenai isu GST dalam kad tambah nilai prabayar, seperti dilaporkan Malaysiakini pada 13 Mei 2015.

Selepas kekusutan berkaitan harga selepas GST, kerajaan hari ini bersetuju dengan formula “beli RM10 dapat RM10” untuk harga tambah nilai prabayar telefon.

Menurut Jabatan Penerangan kabinet meminta syarikat telekomunikasi (telco) melaksanakan kaedah dan pendekatan itu sepenuhnya dalam tempoh 6 bulan.

Menteri bertanggungjawab sebelum ini mengakui wujud kekeliruan dan percanggahan kenyataan dalam isu itu dan memohon maaf.

Pihak kastam sebelum ini mengarahkan telco menetapkan semula harga kad tambah nilai prabayar telefon kepada harga asal iaitu seperti sebelum pelaksanaan GST pada 1 April lepas.

Namun, arahan yang sepatutnya berkuatkuasa 1 Mei ditangguh selepas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuat kenyataan agak mustahil perkara itu dilaksanakan kerana kerumitan untuk membuat konfigurasi semula sistem bagi menyelaraskan harga jualan.

Setakat tulisan ini ditulis, belum ada apa-apa bunyi dari mulut menteri atau pihak berkuasa tentang harga kad tambah nilai ini.

Ini kerana ahli politik, menteri ini semua tahu, rakyat kebanyakannya ada memori macam ikan emas – sekejap saja sudah boleh lupa.

Ini pernah dikatakan oleh seorang pegawai kerajaan Soviet Union, semasa tentera negara komunis itu menembak jatuh pesawat Korean Airlines pada awal 80-an.

Presiden Amerika Syarikat ketika itu Ronald Reagan bising-bising, dunia semua marah-marah, tetapi pegawai itu dengan selambanya berkata, "memori orang ramai ini tak lama, paling lama pun 100 hari."

Sebab itu kes MH17 ini pihak Rusia tak ambil kisah apa pandangan masyarakat dunia, sebab mereka tahu, dunia juga sudah lama lupa tentang kejadian kapal terbang Korea Selatan itu ditembak jatuh di Laut Bering.

Sebab itu ahli politik suka membuat retorik "100 days in office" (100 hari pemerintahan). Barack Obama macam-macam benda dia buat dalam masa 100 hari pertama menjadi presiden. Najib bebaskan tahanan Akta Dalam Negeri (ISA) dalam 100 hari pertama.

Tun Dr Mahathir Mohamad dikatakan perdana menteri “paling demokratik” semasa 100 hari pentadbiran. Tun Abdullah Ahmad Badawi sibuk melawat pejabat kerajaan untuk mantapkan perkhidmatan dalam masa 100 hari pentadbirannya.

Mohamed Azmin Ali sibuk bersihkan longkang, angkat sampah dan tebas rumput dalam tempoh 100 hari pentadbirannya.

Ini kerana selepas itu, bak kata pegawai kerajaan Soviet, mesti orang lupa punya.

Lepas bising-bising harga tol naik ini, saya jamin, dalam masa sebulan dua ini, mesti rakyat akan lupa punya.

Hai, Malaysia yang amnesia. – 16 Oktober, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments