Opinion

Universiti sebagai sebuah ‘mini negara’

Saya kini berada di Bandung, Indonesia – dalam satu rangka lawatan kerja untuk menyiapkan novel saya serta untuk melawat rakan-rakan di sini.

Saya juga berpeluang untuk melawat 2 universiti di sini – Universitas Pasundan (Unpas) dan Universitas Padjajaran (Unpad) dan bertemu dengan Majlis Permesyuaratan Mahasiswa (MPM) mereka serta berbual tentang isu pelajar dan pergerakan mereka.

Ternyata mereka sangat tuntas, cerdas dan cergas pemikirannya, dalam usaha untuk menguruskan universiti mereka sebagai sebuah “mini negara”.

Bahkan mereka juga menguruskan semuanya secara autonomi – tidak tunduk dengan pihak universiti, dan jika pihak universiti tidak bersama mahasiswa, dan jika pihak mahasiswa berpiket dan berdemo,  ahli MPM juga akan turut bersama mahasiswa kerana mereka juga, katanya, walaupun ada kuasa, mereka bertanggungjawab atas kuasa mereka, serta mereka sendiri adalah mahasiswa.

Mereka juga sering mengadakan perbincangan serta turun aksi jika ada isu permasalahan rakyat kerana mereka juga adalah rakyat.

Indonesia pasca reformasi mungkin sedang mencari arahnya, selepas 3 dekad dipimpin oleh autokrat bernama Soeharto.

Ternyata dampak sosial di Indonesia pasca-reformasi telah banyak merubah Indonesia menjadi sebuah negara yang lebih toleran dan mempunyai rakyat yang mempunyai daya kritis yang tinggi, terutamanya jika kerajaan tidak acuh ke atas permasalahan rakyat.

Mereka tidak buang masa menyusun kek lapis terpanjang, atau susun donat terbesar dan perkara bodoh yang tidak menyelesaikan permasalahan rakyat.

Ini kerana, kata mereka, universiti adalah makmal kepada kemasyarakatan, masyarakat yang bertamadun dan berbudaya tinggi adalah datang dari universiti yang memiliki mahasiswa yang mempunyai daya pemikiran mantap.

Universiti juga adalah ruang untuk mahasiswa, terutamanya dalam bidang seni untuk berkarya sebebas-bebasnya, tanpa sekatan dari yang berhormat itu atau yang berhormat ini, atau dari naib canselor.

Mereka juga aktif dalam membantah isu-isu globalisasi seperti Masyarakat Ekonomi Asean (MEA), TPPA (walaupun negara mereka tidak terlibat), serta persaingan kuasa besar Amerika Syarikat dan China di Asia Tenggara ini.

Sekiranya mahasiswa tidak membuang masa menyusun kek lapis atau donat tetapi sebaliknya berfikir dan bertindak dalam kapasiti mereka selaku mahasiswa dalam isu negara, saya fikir negara tidak mempunyai masalah untuk mencari bakal pemimpin negara pada masa akan datang.

Semua ini berlaku, kata mereka kerana Reformasi yang berlaku pada 1998, kerana mereka berfikir kewujudan mereka sebagai seorang mahasiswa adalah untuk menjadi pemimpin masyarakat pada masa akan datang.

Mereka masuk ke universiti bukan untuk jadi pak turut pada penguasa, tetapi melatih diri mereka menguruskan sebuah “mini negara” mereka, sebelum mereka bergraduasi dan berusaha untuk menjadi pemimpin negara mereka.

Bahkan, mereka tidak perlu berlagak bercakap tentang CGPA 3.85 untuk menunjukkan kecerdikan mereka. Mereka masih lagi belajar dalam bidang masing-masing, tetapi masih bersosial, dan masih mampu mengurus universiti mereka.

Mereka tidak perlu pusat pengajian tinggi yang luas dan besar, kawasan universiti mereka hanyalah satu zon yang mempunyai 2 atau 3 bangunan yang berselerakan di sekitar kota, tapi mereka masih mampu mendidik anak bangsa mereka menjadi kritis dan mampu berfikir.

Kalau sekadar nak susun kek lapis atau donat, tak payah masuk universiti pun boleh. – 8 Ogos, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments