Opinion

Berakhirnya Pakatan, mimpi indah atau ngeri buat Umno

Tarikh 16 Jun 2015 dipilih Wikipedia, enjin pengumpul maklumat Internet sebagai tarikh pembubaran Pakatan Rakyat (PR), gabungan parti pembangkang PAS-PKR-DAP selepas ditubuhkan pada 1 April 2008 menjelang Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12).

Selama 7 tahun pakatan pembangkang ini dibentuk bermula daripada pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi, perdana menteri ke-5, hinggalah ke era pemerintahan Datuk Seri Najib Razak, tidak dapat dinafikan ia membawa landskap politik baharu Malaysia.

Disebabkan gabungan parti pembangkang yang dinamakan Pakatan Rakyat, ia membawa kepada “turunnya” Abdullah sebelum tamat mandat penggal pemerintahannya, apabila memikul tanggungjawab sebagai pemimpin terhormat Umno selepas Barisan Nasional (BN) apabila parti buat pertama kali gagal mengekalkan majoriti dua per tiga.

Namun, ketika Najib diharap BN membawa ombak baharu bagi menenggelamkan semula PR selepas 2008, PRU 13 menyaksikan harapan berkenaan punah apabila keputusan yang dicatat gabungan parti pemerintah merosot dan buat pertama kali juga kalah dalam undi popular.

Walaupun, Umno berbangga kerana berlaku peningkatan terhadap jumlah kerusi yang dimenangi di peringkat Parlimen pada PRU 13 berbanding PRU 12, hakikatnya, parti pembangkang terus mengekalkan dengan meningkatkan sokongan daripada rakyat terutama sekali di kawasan bandar serta separa bandar.

Dengan mengamalkan dasar bersetuju untuk tidak bersetuju yang digunakan DAP atau tahaluf siyasi yang digunakan Pas, gabungan PAS-DAP-PKR sebenarnya diketahui tidak mempunyai kesepaduan dalam mengikat fahaman serta pegangan sesama mereka.

Kematian Karpal Singh disusuli dengan pemergian ke rahmatullah, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat serta kembalinya semula Datuk Seri Anwar Ibrahim ke penjara untuk tempoh 5 tahun akan datang, sebenarnya sudah memberi petanda betapa kerapuhan gabungan pembangkang ini akan berdepan dengan “kematian”.

Masing-masing dalam PR hanya menunggu masa untuk membelasah satu sama lain terutama sekali PAS dan DAP memberi gambaran betapa peranan mereka tidak dipedulikan sekutu mereka apabila melaksanakan dasar PR.

Bermula dengan Langkah Kajang, strategi PKR yang dilihat jelas membelakangi PAS dalam membuat keputusan menyingkirkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar, parti kedua terbesar orang Melayu itu sudah memberi gambaran jelas betapa mereka dipermainkan di belakang “kuasa-kuasa” dalam PKR dan DAP.

Pada masa sama, kewujudan golongan progresif dan profesional dalam PAS itu sendiri, yang sebenarnya faktor utama parti itu berjaya mendapat undi orang Melayu di kawasan bandar dan separa bandar, menyebabkan hala tuju parti Islam itu semakin kelam kelibut.

Akibatnya, golongan ulama atau agamawan dalam Pas mula merasa terancam kerana perjuangan Pas adalah untuk menubuhkan negara Islam dan melaksanakan hukum hudud sedangkan golongan progresif parti itu lebih memberi tumpuan untuk menguasai Putrajaya bersama-sama PKR dan DAP.

Selama 7 tahun itulah, PAS sebenarnya terus cuba berselindung di bawah pegangan tahaluf siyasi tetapi golongan ulama parti itu menyedari betapa “matlamat tidak menghalalkan cara”, sesuatu yang dilarang dalam ajaran Islam itu sendiri.

Matlamat untuk menguasai Putrajaya tidak sama sekali dapat menghalalkan cara mengorbankan asas perjuangan parti untuk membentuk negara Islam serta melaksanakan hukum hudud, dan akhirnya pilihan perlu dibuat dengan segera.

Atas sebab itu, jelas dapat dilihat dalam Muktamar PAS yang berlangsung baru-baru ini, betapa golongan agamawan tidak lagi berselindung dalam menekan kuasa mereka apabila jelas memutuskan hubungan dengan DAP.

Apatah lagi pemilihan Muktamar PAS kali ini, sedikit sebanyak seakan meniru apa yang selama ini dilakukan dalam pemilihan Umno dengan menggunakan ‘cai’ iaitu senarai ahli yang dipersetujui kem dalam parti.

Akhirnya, golongan agamawan menguasai penuh parti berkenaan dan bermulalah episod baharu dalam parti berkenaan, apabila golongan progresif saban hari mendesak supaya pucuk pimpinan PAS baharu mengotakan janji dengan meletakkan semua jawatan dalam PR.

Ia sebenarnya, adalah perkara yang kelakar daripada segi politik untuk dilakukan memandangkan jika ia dilaksanakan, ia seakan memberi petanda kepada rakyat bahawa kerajaan PR adalah kerajaan yang tidak stabil dan tidak mengutamakan kepentingan rakyat sebaliknya lebih sibuk berpolitik.

Sudah pasti pemimpin PR terutama sekali Menteri Besar Selangor, Azmin Ali tidak akan membiarkan perkara berkenaan berlaku kerana tempoh masa untuk PRU14 sudah memasuki penggal ke-2 dan hanya tinggal tidak sampai 36 bulan lagi untuk diadakan.

Bagi PAS dan DAP, kegagalan dalam PR bukanlah satu cerita baharu atau hikayat dongeng tetapi ia mengulangi apa yang berlaku kepada Barisan Alternatif pada awal tahun 90-an, jadi rakyat Malaysia tidak seharusnya hairan mengapa gabungan parti pembangkang ini akhirnya memilih sekali lagi untuk membubarkan “perkahwinan” mereka.

Kini kaedah paling sesuai untuk membentuk gabungan pembangkang adalah digunakan model Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat yang diperkenalkan ahli Umno, Tengku Razaleigh Hamzah.

PAS bergabung dengan PKR bagi mengekalkan kuasa di negeri yang majoriti orang Melayu manakala PKR pula bergabung dengan DAP untuk mengancam kuasa BN di Sabah dan Sarawak.

Mungkin inilah yang paling sesuai dilakukan parti pembangkang di Malaysia, sekali gus a perlu mengakui tidak boleh lari daripada faktor perkauman dan agama untuk menguasai tampuk pemerintahan.

Apa pun strategi baharu yang akan digunakan parti pembangkang bagi menguasai Putrajaya adalah bagi membentuk keyakinan rakyat terhadap mereka dan dengan situasi yang melanda kini, ia adalah perkara yang sebenarnya sudah diramalkan BN dan Umno.

Namun, adakah BN dan Umno bersedia bagi merebut peluang membina imej dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap pimpinan parti dan kerajaan di Putrajaya dalam terus mengekalkan kuasa pemerintahan.

Jika dilihat pada landskap politik dan pentadbiran yang berada di sekeliling Pusat Dagangan Dunia Putra (PTWC) dan Putrajaya, ia sebenarnya tidak memberikan sebarang janji bahawa BN serta Umno akan dapat mencatatkan kemenangan mudah dalam PRU14.

Wajib diingatkan betapa PRU12 dan PRU13 sudah memberikan petanda kepada BN serta Umno bahawa percakaran dalam parti pembangkang tidak memberikan isyarat kepada rakyat untuk mengundi parti.

Bagi rakyat yang paling utama adalah ketelusan pentadbiran kerajaan, amalan pengurusan kewangan yang amanah dan bertanggungjawab serta tidak berlaku unsur rasuah, salah guna kuasa selain penyelewengan.

Faktor inilah yang sentiasa menjadi topik utama dan laungan parti pembangkang dalam meyakinkan rakyat betapa mereka adalah pilihan terbaik bagi memerintah Malaysia sekali gus mengakhiri pemerintahan BN dan Umno.

Ketika ramai pemimpin Umno yang mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak terkejut dengan perpecahan PR tetapi apa penyelesaian yang dilaungkan kepada rakyat bagi memastikan kemenangan dalam PRU14.

Kenyataan beberapa ahli MT yang mahu melihat kerajaan campuran Umno dan PAS di Selangor sebenarnya, adalah sesuatu yang silap kerana jika itu berlaku, ia jelas membelakangkan semangat BN itu sendiri.

Dalam ketika parti komponen BN di Semenanjung lemah, pemimpin Umno perlu menunjukkan sikap serta tauladan untuk berkhidmat kepada segenap lapisan rakyat tidak kira bangsa dan agama.

Jika Umno terus mempunyai fahaman cetek serta bergantung kepada isu bangsa dan agama selain mengharapkan perpecahan dalam pakatan untuk menang, ia hanya akan membuatkan rakyat terus jauh hati dengan parti kerana ia terbukti Umno hanya sebenarnya lebih mementingkan kuasa untuk memerintah bukan memahami apa sebenarnya dimahukan rakyat.

Kekuatan sebenar Umno yang menjadi tulang belakang BN terbukti selama ini dengan membina negara apabila semua rakyat mengecap hasil kekayaan negara tanpa membelakangkan perjuangan asal parti.

Perpecahan PR sebenarnya membuktikan landskap politik negara ini, tidak akan lari daripada agama serta kaum dan mana-mana parti yang melaungkan bahawa mereka berjuang untuk semua kaum secara sama rata adalah parti yang hipokrit.

Masyarakat Melayu terus membentuk majoriti kira-kira 70 peratus di Malaysia dan jurang perbezaan yang jelas dengan kaum kedua terbesar di negara ini iaitu kaum Cina membuktikan parti berasaskan kaum akan terus menguasai landskap politik Malaysia.

Dan di sinilah akan berlaku perebutan bagi merebut hati masyarakat Melayu dalam mengundi mana-mana parti dan bagi DAP mereka sedar perkara ini, dan tidak boleh mengharapkan PKR untuk mencari undi daripada masyarakat Melayu.

DAP sedar mereka memerlukan sebuah parti yang berasaskan agama Islam tetapi sanggup untuk mengorbankan matlamat membentuk negara Islam serta hukum hudud bagi menguasai Putrajaya, yang mana tidak boleh dikompromi oleh PAS.

Jika itu berlaku dengan penubuhan PasMa nanti, adakah BN dan Umno bersedia sekali lagi untuk berdepan dengan PR yang baharu dan sudah pasti pilihan untuk bergabung dengan PAS sama sekali tidak akan berlaku kerana ia akan mengikis kuasa Umno.

Atau mungkin menjelang beberapa bulan pada tahun 2018 nanti, Pas akhirnya akan kembali ke pangkuan PR serta DAP semata-mata bagi menguasai Putrajaya dengan dasar bersetuju untuk tidak bersetuju serta tahaluf siyasi digunakan sekali lagi bagi mendapatkan sokongan rakyat. – 24 Jun, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments