Opinion

Ber‘so-li-da-ri-ti’ untuk Malaysia bukan sekadar Umno

Berakhirlah Perhimpunan Agung Umno 2014 di PWTC dengan laungan Hidup Umno, Hidup Melayu serta Maju Malaysia oleh Presiden Datuk Seri Najib Razak dan sama ada lebih 5,000 perwakilan Umno dan kira-kira 3 juta ahli parti menyedari apa sebenarnya tujuan berhimpun saban tahun ini, terpulanglah kepada mereka.

Yang pasti perhimpunan 2014 akan membuka lembaran dan tatabahasa baru dalam kamus Umno dengan perkataan ‘So-li-da-ri-ti’ yang diungkap berulang kali Datuk Seri Najib dalam ucapan dasar serta penggulungannya, mampu diterjemahkan jentera Umno dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) 14 atau tidak, juga terpulanglah kepada ahli Umno.

Ramai mungkin tidak ingat suatu ketika dulu sebuah kesatuan sekerja di Poland bernama ‘Solidarity’ berjaya menumbangkan kerajaan komunis di Poland, mungkin atas semangat itulah yang dimahukan presiden kepada Umno dalam usaha untuk memastikan sokongan rakyat kembali beralih daripada pembangkang.

Yang pasti juga Datuk Seri Najib bertindak lebih berani dalam ucapan penggulungannya selepas membuat pusingan ‘u’ ketika ucapan dasar untuk mengekal serta menambah baik Akta Hasutan 1948 apabila mahu menghalalkan akta yang dicipta pada zaman penjajah dengan membawanya ke Parlimen tahun depan.

Sejak awal lagi saya terus berpendirian Akta Hasutan perlu wujud dan dikekalkan tetapi saya turut menegaskan akta ini perlu bersikap mendidik dan mencegah bukannya menghukum atau lebih teruk berlaku penghukuman terpilih.

Inilah antara sebab utama mengapa pembangkang boleh terus memutarbelitkan akta ini kononnya bertujuan melindungi status quo Umno bagi terus berkuasa memerintah di negara ini kerana ia banyak dikuatkuasakan kepada pemimpin pembangkang atau mereka yang mempunyai pemikiran lebih radikal atau ektsrem.

Sebab itu juga penerangan mengenai mengapa Akta Hasutan ini perlu ada dan dikekalkan harus diperhebatkan bagi memastikan rakyat berbilang agama dan bangsa memahami kepentingan kewujudan akta pencegahan ini.

Bagi saya jika kita tidak berniat menghasut untuk menimbulkan huru hara atau bertindak mengecam agama atau kaum lain, mengapa perlu takut terhadap akta ini kerana semua pihak faham tiada orang yang tidak boleh dikritik termasuk kerajaan dan pemimpinnya tetapi janganlah mengkritik dengan cara untuk menimbulkan ketegangan sesama kaum.

Pengulangan lebih 10 kali perkataan solidariti dalam ucapan dasar dan penggulungan presiden parti membawa makna yang mendalam kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam menyiapkan diri menghadapi PRU14.

Jika PRU13 dikatakan sebagai ‘ibu kepada segala pilihan raya’, saya boleh mengkelaskan PRU14 sebagai ‘bapa kepada segala pilihan raya’ kerana ia adalah pilihan raya yang menentukan survival BN dan Umno yang kini jelas gagal mendapat sokongan rakyat terutama sekali di kawasan bandar serta separuh bandar termasuk orang Melayu sendiri.

Tayangan slaid ketika ucapan penggulungan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menunjukkan BN hanya akan memperoleh 102 kerusi jika sokongan rakyat turun kepada 2%, seharusnya menggerunkan semua yang ada dalam Dewan Merdeka PWTC.

Dalam keadaan lanskap politik rakyat di kawasan bandar dan separuh bandar yang menolak BN dan Umno, kenaikan 2% sokongan bukan perkara mudah untuk dicapai tetapi ia tidak mustahil jika ada tindakan dan kaedah tersusun dilakukan.

Ia ditambah pula perangkaan Naib Presiden Datuk Seri Shafie Apdal dengan data pengundi baru yang didahului DAP begitu jauh jika dibandingkan dengan Umno sendiri dan lebih sedih jika dibandingkan dengan parti komponen BN MCA, MIC dan Gerakan.

Perkataan solidariti itu perlu diambil serius kerana ia bukan hanya mencakupi muafakat atau perpaduan di kalangan ahli Umno tetapi juga merangkumi BN apabila parti komponen terus dilihat semakin lemah.

Apa yang Umno perlu lakukan adalah tidak terus menyalahkan kaum Cina dalam hal ini apabila menolak parti komponen dan tidak juga menyalahkan parti komponen BN kerana ia langsung tidak membawa sebarang keuntungan sebaliknya akan membawa kepada jurang perpecahan yang lebih besar.

Jika DAP dilihat terus membuli PAS dalam pakatan pembangkang, Umno tidak seharusnya mengambil pendekatan serupa sebaliknya menggunakan jentera parti untuk mendekati kaum bukan Melayu.

Kita perlu menunjukkan Umno walaupun terasnya adalah perjuangan untuk agama Islam, bangsa Melayu tetapi yang akhirnya perjuangan untuk tanah air turut membawa maksud Malaysia yakni keseluruhan rakyat tidak kira bangsa dan agama.

Sebagai ahli Parlimen dan ketua Umno Bahagian Pulai, yang mempunyai sejumlah kira-kira 42% pengundi Cina terus terang saya katakan mereka sebenarnya tidak menolak Umno dan BN secara terus.

Walaupun dalam PRU13 lalu, kira-kira 70% pengundi Cina dalam Parlimen Pulai bertindak mengundi Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub tetapi saya dan jentera Umno selepas PRU13 tidak pernah bertindak membalas dendam kepada mereka.

Bermuhasabah dan mengambil sikap objektif serta positif terhadap penolakan kaum Cina dalam Parlimen Pulai ketika PRU13 lalu, saya membawa masuk aktiviti dan kegiatan daripada kaum Cina atau India diadakan dalam bangunan Umno bahagian Pulai supaya mereka benar-benar merasai Umno sama sekali tidak pernah mengabaikan atau mahu membalas dendam.

Bagaimanapun mendengar ucapan perwakilan ketika membahaskan ucapan dasar presiden atau ketika membawa ucapan usul ekonomi, pendidikan dan agama, saya masih sedih kerana ada perwakilan Umno yang tidak mahu lagi berubah dan tidak menyedari pentingnya solidariti antara kaum di Malaysia dipelihara di bawah bendera BN serta Umno.

Timbul juga kekesalan kerana tiada mana-mana perwakilan termasuk daripada pucuk pimpinan parti menyentuh mengenai mengapa orang Melayu di kawasan bandar dan separuh bandar menolak Umno.

Seharusnya, perhimpunan agung 2014 digunakan bagi menerangkan apa yang Umno mahu buat dan lakukan bagi mengembalikan sokongan orang Melayu di kawasan bandar dan separuh bandar kepada parti, bukannya terus beretorik dengan kegagalan orang Melayu dalam bidang ekonomi.

Saya menginsafi Umno gagal membawa kepada kejayaan ekonomi orang Melayu tetapi kegagalan itu juga sebenarnya berpunca kepada pemimpin Umno yang berada dalam kerajaan.

Di sinilah Umno dan pemimpinnya perlu berhati-hati kerana jika terus menggunakan wang rakyat untuk memperkasakan ekonomi Melayu dan Bumiputera sudah pasti timbul persoalan apa yang terjadi kepada segala dasar dan inisiatif kerajaan kepada orang Melayu selama ini yang didokongi pemimpin Umno.

Ketika perwakilan Umno melaungkan mahukan itu dan mahukan ini daripada kerajaan untuk memperkasakan orang Melayu tidakkah mereka sedar betapa berbilion atau mungkin trilion ringgit sudah dilaburkan untuk orang Melayu selama ini tetapi terus tidak mencapai sasaran yang dimahukan.

Jadi di manakah salah dan silapnya? Inilah yang harus dijawab Umno serta pemimpinnya dan dalam masa sama tidak mengenepikan kaum bukan Melayu yang juga memerlukan bantuan daripada kerajaan kerana ia adalah hak mereka sebagai rakyat Malaysia.

Sebab itu sudah sampai masanya segala apa yang dilakukan Umno melalui kerajaan BN untuk memperkasakan agenda dan ekonomi Bumiputera diberikan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) dengan adanya kayu pengukur ini barulah kita mengetahui di manakah silapnya.

Bukan bertindak terus memberi dan memberi tanpa ada sebarang KPI ditetapkan kepada setiap sen wang rakyat yang digunakan bagi membantu orang Melayu sehingga dilihat orang Melayu itu sendiri sebagai meminta-minta atau lebih teruk terus menagih sedekah sedangkan ia amat bertentangan dengan syariat Islam itu sendiri yang menjadi teras perjuangan Umno.

Sebenarnya, bagi pemahaman saya perjuangan Umno sentiasa difokuskan kepada perkara pokok bagaimana hendak menggunakan kekayaan negara untuk diberikan lebih kepada orang Melayu tanpa kaum bukan Melayu menyedari mengenainya.

Kaedah ini dilakukan pejuang kemerdekaan dan allahyarham Tun Abdul Razak selepas peristiwa 13 Mei 1969 dengan pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan diterima kaum bukan Melayu dan orang Sabah serta Sarawak atas nama kontrak sosial.

Apa yang berlaku pada masa kini sebenarnya adalah sesuatu yang malang buat Umno kerana golongan ini sudah sedar dan mula mempersoalkan kontrak sosial dengan menuntut perubahan kepada apa yang dilakukan parti kepada orang melayu.

Lebih menyukarkan Umno lagi apabila 46% daripada pengundi Melayu yang tidak mengundi BN pada PRU13 lalu juga menuntut perubahan kerana berpendapat ia hanya menguntungkan kroni tertentu dalam Umno.

Atas sebab itu, dalam Umno terus berusaha menggunakan pendekatan kontrak sosial bagi meningkatkan tahap ekonomi orang Melayu, parti turut perlu berubah dengan memastikan agihan kekayaan negara seimbang bagi mengekalkan keharmonian kaum.

Ugutan menggunakan imej tragedi hitam Mei 1969 berulang semula tidak lagi berjaya kerana ramai orang Melayu kini termasuk ahli Umno terdiri daripada golongan kelas menengah dan bimbang kehidupan mereka musnah disebabkan kacau bilau politik negara.

Umno seharusnya menyedari jumlah rakyat termasuk di kalangan orang Melayu yang menolak daripada berlaku semula peristiwa 13 Mei 1969 adalah lebih ramai daripada mereka yang mahukannya.

Bagaimanapun saya tidak menolak kemungkinan strategi ini akan diterima ramai sekiranya ekonomi negara lemah disebabkan pentadbiran kerajaan BN sendiri yang gagal...nauzubillah

Saya juga mendapati perhimpunan tahun ini serius membincangkan mengenai peremajaan parti, suatu perkara yang saya sudah perkatakan sejak 2008 dan ia bukan hanya bermaksud menarik orang muda untuk kembali menyokong parti.

Peremajaan parti juga bermaksud parti perlu menjadi lebih progresif dan didokongi dengan pemimpin baharu yang membentuk adunan kepada pucuk pimpinan Umno bagi memberikan nafas baru kepada parti.

Jika dilihat kepada barisan Kabinet atau Majlis Tertinggi (MT) Umno sendiri, berapa ramai muka baru diketengahkan bagi memberikan pilihan baru kepada rakyat untuk melihat pemimpin yang bukannya dilihat sejak 10 atau 20 yang lalu.

Di sini juga semangat solidariti dituntut daripada pucuk pimpinan sedia ada yang sudah menyedari mereka sudah berkhidmat cukup lama bagi memberikan laluan kepada orang baharu menyumbang nafas serta idea baharu.

Jika masih ada pemimpin Umno lama ini yang terus bergayut kepada koridor kekuasaan bagi menjamin kekayaan dan status quo mereka dalam golongan elit Melayu ia pasti menyebabkan rakyat menyampah dengan parti kerana tidak mahu berubah atau meremajakan parti.

Namun saya juga dapati soal ketirisan dalam perbelanjaan kerajaan yang sebenarnya amat dekat dengan rakyat tidak kira Melayu atau kaum lain amat kurang atau langsung tidak disentuh dalam perhimpunan 2014.

Umno seharusnya menyedari sebagai cermin kepada kerajaan, parti perlu memastikan wang rakyat dibelanjakan secara berhemah serta tidak membazir bagi memastikan parti tidak terus terpalit dalam soal penyelewengan kuasa dan rasuah.

Ketika rakyat semakin terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup, pemimpin Umno perlu menyedari perlunya kenyataan tegas dan tindakan konkrit diberikan kepada kerajaan bagi menunjukkan parti benar-benar peduli dan kisah dengan wang rakyat yang tidak dibelanjakan dengan berhemah.

39 bulan lagi Umno dan BN akan berdepan dengan rakyat dalam PRU14 dan ketika pembangkang berusaha sedaya upaya menunjukkan kepada rakyat mereka perlu diberi peluang untuk memerintah, Umno dan BN tidak mempunyai banyak masa lagi untuk berubah.

Jika apa yang disimpul, dirumus dan direncana dalam perhimpunan ini lambat dilaksanakan, sudah pasti rakyat akan terus melihat Umno sebagai sebuah parti yang retorik hanya pandai berkata-kata dalam kepompongnya saja.

Sedangkan ia tidak mencakupi apa sebenarnya dimahukan rakyat secara keseluruhan termasuk orang Melayu yang sokongannya kepada Umno terus menurun di seluruh negara. Umno perlu ber’so-li-da-ri-ti’untuk rakyat dan Malaysia bukan sebaliknya. – 2 Disember, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments