Opinion

BN perlu bersiap sedia hadapi ‘mahkamah rakyat’ Anwar

Jika seseorang menyelusuri sejarah politik Malaysia, nama Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah satu-satunya ahli politik negara yang paling banyak bertanding dalam pilihan raya termasuk pilihan raya kecil (PRK).

Anwar satu-satunya, ahli politik Malaysia yang mempunyai pengalaman luas dalam PRK selepas menang dalam PRK Permatang Pauh pada Ogos 2008, selepas isterinya, Datin Seri Wan Azizah meletak jawatan sebagai ahli Parlimen bagi memberikan laluan kepada suaminya menjadi ahli Parlimen Permatang Pauh.

Kini, selepas lima tahun, Anwar sekali lagi memasuki gelanggang PRK dan kali ini di Kajang, Selangor bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang (N25).

Mungkin ia satu kebetulan atau tidak, ketika ketua umum pakatan pembangkang ini, bertanding dalam PRK, beliau sedang menghadapi kes mahkamah atas tuduhan liwat.  Jika pada 2008, Anwar berdepan dengan tuduhan meliwat, kini pada 2014, beliau sekali lagi berhadapan dengan kes liwat 2.

Saya mungkin akan 'dibelasah' teruk penyokong pembangkang dengan menimbulkan mengenai kes liwat Anwarini, tetapi fakta tetap fakta. Walaupun, ada yang beranggapan bahawa kes-kes berkenaan adalah 'ciptaan' BN semata-mata.

Namun, kebetulan kedua-dua PRK terjadi iaitu di Permatang Pauh pada 2008 dan kini, di Kajang, Anwar sedang menghadapi kes mahkamah berkaitan liwat dan ia sememangnya satu fakta yang perlu diteliti mengapa Anwar beria-ia sanggup berhadapan dalam pilihan raya kecil.

Walaupun, dalam artikel saya sebelum ini, bertajuk BN perlu uji strategi baru hadapi PRK Kajang, saya menyatakan bahawa strategi BN menyerang keperibadian Anwar dengan kes liwat tidak akan berkesan, tetapi di sini, saya ingin huraikan mengapa PRK Kajang ini, begitu penting bagi Anwar dalam berdepan dengan tuduhan kes liwat.

Sebagai pemimpin politik yang mempunyai aura tersendiri dalam meraih simpati sokongan rakyat, Anwar akan menggunakan pentas kempen PRK Kajang ini, bagi menjelaskan segala-galanya mengenai pertuduhan kes liwat beliau yang sedang berlangsung di mahkamah selain membelasah BN.

Bagi beliau, segala-galanya buruk dan teruk mengenai BN dan Umno, tidak seperti dua dekad lalu, di mana Umno dan BN adalah 'bulan serta bintang' baginya seisi keluarga.

'Mahkamah rakyat' itu perkataan paling tepat yang boleh digunakan bagi menggambarkan strategi Anwar dan PKR untuk berhadapan dengan tuduhan kes liwat ini dengan menggunakan pentas PRK Kajang. 

Rakyat akan mendengar daripada mulut tertuduh sendiri bagaimana beliau perlu berdepan dengan tuduhan yang sebenarnya, tidak habis-habis sejak hampir sedekad lalu.

Hipotesis serta penerangan daripada pemimpin tertinggi pakatan terutama sekali PKR bahawa Anwar terlalu diperlukan di Selangor bagi 'menyelamatkan' negeri paling kaya di Malaysia daripada BN terutama sekali Umno adalah sesuatu yang begitu mendangkalkan buat rakyat yang boleh berfikir dengan waras.

Segala-gala andaian sama ada daripada segi politik, ekonomi serta sosial digunakan PKR dalam meng'halalkan' PRK Kajang serta menyakinkan pengundi N25 bagi membolehkan Anwar bertanding di kawasan berkenaan.

Sebenarnya, jika rakyat mahu berfikir dengan lebih mendalam serta panjang, segala sebab musabab dan alasan yang diberikan itu, berkisar kepada perbalahan yang berlaku antara dua pemimpin tertinggi dalam PKR Selangor.

Pertelingkahan Azmin-Khalid (Mohamed Azmi Ali dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) itu, yang merebak hingga menjadi barah dalam PKR Selangor dan boleh melumpuhkan pentadbiran kerajaan negeri, adalah juga antara punca utama mengapa ketua umum Pakatan terpaksa bertanding.

Dua faktor utama ini, iaitu kes liwat serta perbalahan Azmin-Khalid, menyebabkan Anwar memerlukan pentas untuk rakyat mendengar segala-galanya dan sebab itu, PRK N25 menjadi 'mahkamah' rakyat kepada Anwar serta PKR.

Alasan bahawa BN akan 'merampas' kuasa melalui darurat berikutan ketegangan kaum serta agama yang meruncing akibat tindakan BN, seperti yang didakwa pengarah strategi PKR, suatu ayat politik yang paling mudah dalam senario politik negara pada masa kini. 

Mengeksploitasikan perasaan dan 'mencuci' fikiran rakyat dengan pelbagai tuduhan, fitnah dan persepsi negatif terhadap BN serta Umno adalah kerja yang paling mudah.

Namun jika difikirkan dengan mendalam adakah BN yang sudah memimpin negara sejak 57 tahun lalu, akan menggunakan langkah paling keji itu semata-mata untuk merampas kuasa daripada kerajaan Pakatan.

Menggunakan contoh apa yang berlaku di Kelantan pada 1977, adalah perbandingan 'langit dan bumi' tetapi bagi mereka yang berusia 40 tahun dan tidak mahu meneliti semula sejarah, tuduhan berkenaan akan diterima secara bulat-bulat tanpa mahu membuat penyelidikan mengapa ia berlaku.

Sebagai sebuah parti yang berjasa kepada pembangunan negara hingga mencapai tahap yang ada sekarang, BN tidak pernah terfikir untuk melaksanakan tindakan berkenaan yang akan mempunyai kemudaratan besar bukan sahaja kepada Selangor tetapi juga kepada negara.

Malah, jika tindakan itu pernah terlintas dalam fikiran pemimpin BN adalah lebih baik, perkara berkenaan dilaksanakan di seluruh negara dan ketika itu, BN bukan sahaja dapat merampas semula Selangor malahan Pulau Pinang dan Kelantan.

Sebab itu, rakyat perlu sedar bahawa betapa terdesak PKR serta Anwar untuk mengekalkan kuasa dengan sentiasa menyalahkan dan menyerang BN dalam segala perkara yang berlaku tanpa mahu mengakui bahawa mereka sebenarnya, memang berdepan dengan masalah besar.

Pemimpin, penyokong Pakatan bertepuk tangan gembira terhadap langkah Anwar untuk bertanding di Kajang dengan memberikan pelbagai nama seperti 'Langkah Kajang', 'Rancangan Kajang' dan pelbagai lagi tetapi tanpa disedari seorang pemimpin mereka bakal dikorbankan dan tidak lain adalah Tan Sri Khalid Ibrahim.

Atas semua faktor inilah, yang menyebabkan mengapa perlunya PRK N25 diadakan dalam tempoh 10 bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 13, semata-mata untuk mengekalkan kuasa dan bukan perjuangan untuk rakyat.

Di sebalik semua ini, jentera BN sama ada di peringkat pusat dan negeri juga dilihat seakan-akan bersikap tidak proaktif dalam menghadapi PRK Kajang ini, sekali gus menyebabkan Anwar serta Pakatan berterusan menyerang parti, kerajaan pusat serta pemimpinnya terutama sekali Datuk Seri Najib Razak.

Mungkin mereka tidak mahu mengikut rentak Pakatan atau bersikap 'malas' melayan segala cacian yang dilemparkan kepada BN dan kerajaan pusat namun sikap berkenaan sememangnya akan memberikan kesan buruk kepada kerajaan BN dan Umno dalam penggal pemerintahan ini.

Di manakah peranan yang seharusnya dimainkan penasihat-penasihat perdana menteri, 'war room' BN dan Umno dalam memberikan nasihat kepada Najib mengenai langkah terbaik yang perlu diambil dalam menghadapi 'mahkamah rakyat' di Kajang.

Jika dilihat langkah menyerang Pakatan dan Anwar serta mempertahankan kerajaan serta parti melalui kenyataan melalui media arus perdana sememangnya, langsung tidak memberi kesan kepada masyarakat secara am serta pengundi Kajang khususnya.

Malah sehingga ke hari ini, BN tidak menyatakan secara terang-terangan sama ada secara rasmi akan bertanding dalam PRK Kajang atau tidak kecuali kenyataan daripada Timbalan Pengerusi parti,  Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa calon akan diletakkan bagi menghadapi Anwar di Kajang.

Strategi apakah yang hendak digunakan BN dalam menghadapi Anwar di Kajang? Jika masih berterusan menggunakan kaedah konvensional yang terbukti sudah basi dalam menghadapi pilihan raya iaitu dengan memberikan janji pembangunan serta peruntukan kepada masyarakat serta pengundi, ia adalah tindakan yang secara langsung memberikan 'kemenangan' percuma kepada Anwar.

Pengundi N25 tidak memerlukan lagi peruntukan pembangunan daripada kerajaan pusat dengan jaringan MRT yang berakhir di Kajang serta kemungkinan 'bakal' menerima seorang Adun berjawatan menteri besar, segala-galanya sudah cukup untuk mereka.

Kemenangan sesuatu yang mustahil bagi BN dalam situasi sekarang namun rakyat perlu mendengar secara terus apa yang akan dilakukan kerajaan BN dalam terus memperjuangkan dan membela nasib mereka.

Pemimpin BN terutama sekali barisan menteri Kabinet perlu turun padang berjumpa dengan pengundi Kajang secara terus dan mengenepikan segala protokol ketika berkempen nanti.

Penjelasan mengenai segala isu dan tuduhan terhadap BN perlu dijelaskan sebaik mungkin dan tiada orang lain yang lebih sesuai untuk menjelaskan mengenai isu yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) atau kepincangan ekonomi dalam pentadbiran kerajaan Selangor daripada barisan menteri Kabinet.

Memang benar barisan menteri Kabinet sibuk dengan urusan pentadbiran negara tetapi juga mereka adalah ahli politik dan disebabkan politiklah yang meletakkan mereka ke tempat yang ada sekarang.

Jadi sudah sampai masanya, mereka turun semula ke padang berjumpa dengan golongan akar umbi sebagai ahli politik dan menanggalkan 'topi' menteri yang penuh dengan protokol sehingga mengakibatkan ada rakyat yang membuat tanggapan bahawa mereka sudah sombong dan sukar didekati.

Jika tugas itu, gagal dipenuhi sepenuhnya oleh barisan menteri Kabinet, barisan Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno perlu turun padang membantu jentera kerajaan BN memberikan penjelasan.

Walaupun, tidak ramai di kalangan MT bukan berstatus menteri atau timbalan menteri, sekurang-kurangnya 'nama' mereka dikenali masyarakat tempatan yang kini, saban malam dapat berjumpa dengan nama-nama besar ahli politik dalam Pakatan.

Sebenarnya, Pakatan bukan gabungan parti yang lebih baik daripada BN, apa yang mereka bagus lakukan adalah membangkang, mempertikai dan mencipta persepsi negatif rakyat terhadap BN.

Tambahan pula di negara ini, persepsi lebih diterima daripada fakta, ia suatu hakikat yang tidak boleh disangkal sama sekali oleh rakyat Malaysia. – 20 Februari, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments