Ketika ini, lebih 200 juta rakyat Indonesia masih menanti keputusan rasmi siapa yang akan menggantikan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono sama ada bekas Gabenor Jakarta yang juga seorang peniaga perabot, Joko Widodo atau ringkasnya Jokowi.
Atau bekas Jeneral pada zaman bekas Presiden Suharto, Probowo Subianto yang dapat memberikan saingan sengit dalam pusingan akhir kempen Pilihanraya Presiden (Pilpres) Republik Indonesia (RI) 2014.
Tidak dinafikan Pilpres 2014 adalah yang paling sengit setakat ini, selepas kejatuhan pemerintahan Suharto serta paling mendapat perhatian masyarakat republik berkenaan termasuk rantau Asia Tenggara atau antarabangsa.
Sepanjang tempoh berkempen Pilpres ini juga dapat disaksikan bagaimana Bapak Probowo dapat mengejar populariti Bapak Jokowi yang sebelum itu, meninggalkan beliau agak jauh.
Dengan debat kedua-dua calon Pilpres ini, disiarkan secara terbuka sebanyak lima kali ia jelas menguji bukan sekadar strategi berkempen yang diatur pakar-pakar strategi pilihan raya kedua-dua calon tetapi juga amat bergantung kepada ketokohan, kredibiliti serta dinamiknya Bapak Jokowi dan Bapak Probowo.
Saya berpendapat persaingan populariti kedua-dua calon presiden RI ini, amat terbuka terutama sekali kerana perlu melalui lima kali pusingan debat serta ditambah dengan fungsi media sosial yang begitu meluas di Indonesia menyaksikan rakyat negara berkenaan begitu teruja menanti presiden baru.
Mungkin sudah sampai masa pimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) mengambil iktibar daripada Pilpres RI dengan tampil berdepan dengan rakyat bagi menjawab segala persoalan secara langsung sekaligus dapat meningkatkan keyakinan rakyat.
Apa yang pasti melalui debat terbuka ini, rakyat RI boleh menerima Probowo dan menganggap beliau antara pemimpin yang mampu menerajui republik berkenaan walaupun, ketika menjadi jeneral TNI, beliau dikatakan mempunyai rekod kurang baik membabitkan hak asasi manusia serta jenayah perang.
Betapa ironi sekali dan bertentangan pemikiran rakyat yang mampu melupakan sejarah buruk seorang pemimpin semata-mata disebabkan ketokohan beliau yang terserlah sepanjang kempen pilihan raya, sesuatu yang biasa juga dilihat dalam kancah politik negara.
Walaupun sebelum ini, pemimpin parti pembangkang terutama sekali Datuk Seri Anwar Ibrahim berulang kali mahukan debat khusus antara beliau dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilakukan, tetapi sehingga ke hari ini, ia masih belum direalisasikan.
Secara peribadi saya sendiri tidak bersetuju jika debat dilakukan antara ketua pembangkang dengan perdana menteri di luar masa pilihan raya atau waktu berkempen kerana ia tidak akan memberikan sebarang keuntungan kepada rakyat selain menimbulkan suasana “over politicking”. Ini kerana waktu paling sesuai dalam menilai ketokohan pemimpin sepatutnya dilakukan ketika waktu berkempen.
Waktu antara pilihan raya perlu digunakan untuk rakyat melihat kejayaan dasar kerajaan yang dibawa oleh parti selepas pilihan raya terutama sekali dalam menunaikan segala janji yang dibuat ketika berkempen.
Namun saya berpendapat sudah sampai masanya Datuk Seri Najib selaku pemimpin nombor satu dalam kerajaan serta BN tampil bersemuka dengan rakyat secara langsung bagi memastikan BN terus mendapat kepercayaan untuk menerajui negara selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Sebagai seorang pemimpin yang sudah “masak” bergelumang dengan padang politik negara lebih 30 tahun, Datuk Seri Najib sebenarnya perlu menyedari majoriti rakyat kini, terutama sekali di kawasan bandar serta pinggir bandar semakin menjauhi BN.
Saya sendiri sebagai pemimpin BN dan Umno di kawasan bandar menyedari perkara ini, kerana segala majlis yang diadakan parti tidak mendapat sambutan daripada rakyat sebaliknya, mereka kini lebih tertumpu dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memperjuangkan nasib mereka.
Lebih menyedihkan jentera BN di peringkat bahagian dan cawangan terpaksa dipikul sendirian oleh Umno tanpa pembabitan menyeluruh daripada parti komponen yang sebenarnya, hanya meriah dan menunjukkan muka ketika ada sambutan atau majlis rasmi.
Atas sebab itu, kewibawaan dan ketokohan Datuk Seri Najib amat diperlukan bagi memikul BN dan Umno secara bersendirian bagi terus menyakinkan rakyat, parti ini, masih relevan untuk memerintah negara.
Sebenarnya, ia bukan suatu perkara baru memandangkan jika dilihat, diteliti dan dikaji ketika kempen PRU13, jentera BN dan Umno amat bergantung kepada populariti Datuk Seri Najib untuk terus “berpaut” pada kuasa memerintah.
Sebab itu, banyak disaksikan “banner” dan “billboard” yang memaparkan Datuk Seri Najib itu sendiri tanpa ada pengaruh meluas daripada parti BN atau Umno.
Slogan-slogan yang menyanjung dan menyokong Datuk Seri Najib digunakan secara meluas sehingga ada pemerhati politik menyatakan BN dan Umno masih menang PRU13 disebabkan perdana menteri.
Jika itu, senjata atau strategi terakhir yang perlu digunakan BN dan Umno bagi terus memenangi PRU14, mengapa tidak daripada sekarang, parti menampilkan Datuk Seri Najib sebagai pemain utama.
Cuma kredibiliti beliau yang sedikit terjejas dengan keputusan PRU13 yang kurang memuaskan perlu disembuhkan dengan suntikan keberanian, kewibawaan yang lebih menyerlah daripada beliau sebagai Jeneral pada askar parti dan “lead from the front” yang boleh menyakinkan pengikut dalam parti.
Untuk tujuan itu, konsep seperti interaksi secara langsung dengan rakyat dan wakil rakyat perlu dilaksanakan mulai sekarang bagi menyakinkan rakyat Datuk Seri Najib adalah pilihan terbaik untuk memimpin negara dan beliau adalah daripada parti BN dan Umno.
Konsep seperti yang diamalkan di United Kingdom iaitu “Prime Minister Question Time” mungkin boleh digunakan bagi menyakinkan rakyat mengendai dasar, visi serta misi perdana menteri serta kerajaan BN.
Mungkin buat permulaan, Datuk Seri Najib tampil di Parlimen selama sejam setiap bulan bagi menjawab persoalan daripada wakil rakyat atau rakyat secara langsung dengan soalan tidak “diketahui” terlebih dahulu.
Ia sekaligus akan menunjukkan kewibawaan, ketokohan serta keupayaan Datuk Seri Najib dan BN dalam menterjemahkan hasrat kerajaan membantu rakyat sekaligus mengelakkan mereka terus terpengaruh dengan dakyah pembangkang.
Tambahan pula, ketika ini, dengan barisan Kabinet yang begitu besar dengan 10 Menteri yang bertanggungjawab terhadap Jabatan Perdana Menteri (JPM), sudah pasti Datuk Seri Najib sebagai perdana menteri mempunyai banyak masa untuk berinteraksi secara ilmiah dengan rakyat.
Satu lagi strategi yang boleh digunakan dalam tempoh empat tahun ini, adalah dengan membentuk Jawatankuasa Pilihan Parlimen (Parliament Select Committee) yang akan membolehkan pembabitan wakil rakyat daripada pembangkang membantu kerajaan melaksanakan dasar untuk rakyat.
Sebabnya pembabitan pembangkang lebih diperlukan daripada awal kerana lanskap politik negara sudah terpisah kepada dua disebabkan undi popular dimenangi pembangkang lebih daripada yang diperoleh BN ketika PRU13 lalu.
Ia menyebabkan keputusan menang majoriti kerusi parlimen tidak lagi bermakna dan penubuhan PSC juga membolehkan kewibawaan seseorang menteri Kabinet diuji secara langsung kerana mereka adalah pendokong kepada perdana menteri.
Melalui PSC ini, kewibawaan menteri dapat dinilai secara lebih saintifik dan barulah KPI yang ditetapkan Pemandu seperti dimahukan perdana menteri benar-benar dapat membuktikan hasil sebenar.
Jika PSC ini dilaksanakan, ia akan membuktikan bahawa Datuk Seri Najib dan kerajaan BN amat terbuka dalam melakukan apa yang terbaik untuk rakyat sekaligus dapat mengelakkan pembangkang terus menambur fitnah kepada segala dasar serta inisiatif yang hendak dilaksanakan.
Buat permulaan, mungkin boleh ditubuhkan PSC untuk kementerian penting seperti Pendidikan, Kewangan, Dalam Negeri dan Perdagangan Dalam Negeri bagi membolehkan wakil rakyat memberikan input mereka secara langsung.
Strategi-strategi baru yang saya nyatakan di atas sebenarnya lazim dilakukan di negara demokrasi matang yang lain tetapi masih dianggap pemikiran di luar kotak yang perlu diterapkan pemimpin BN dalam memastikan rakyat terus memberikan sokongan kepada parti.
Walaupun, mungkin ada pihak terutama sekali pembangkang yang akan menyatakan Datuk Seri Najib terpaksa “menjual” diri untuk parti dan kerajaan BN tetapi ia adalah pengorbanan mulia yang dilakukan beliau.
Kaedah ini, mempunyai asas untuk dilakukan dan mungkin ia peluang terakhir kepada BN dan Umno bagi memastikan rakyat terus memilih parti untuk menerajui kerajaan selepas PRU14.
Walaupun, ketika ini, strategi ramai “warlord” dalam Umno dan BN adalah dengan mengharapkan kemungkinan pakatan pembangkang berpecah menjelang PRU14 sekaligus memberikan trofi kemenangan kepada BN untuk terus menerajui negara, tetapi ia semua suatu kebarangkalian.
Perlu diingatkan juga jika BN menang dalam PRU14 semata-mata disebabkan pakatan pembangkang berpecah, ia tidak akan membolehkan parti memperbaiki diri demi manfaat rakyat pada masa akan datang.
Berdasarkan lanskap politik negara pada masa kini, siapa yang boleh menidakkan bahawa rakyat terpisah kepada dua dan ia berlaku apabila BN gagal mendapatkan undi popular dalam PRU13 lalu dan hanya bersandarkan kepada majoriti kerusi di Parlimen.
Tidak boleh dinafikan lagi maruah Umno juga sebenarnya, terjejas kerana terus memerintah tetapi tidak lagi popular di kalangan rakyat disebabkan kekalahan dalam undi popular yang sebenarnya memberikan impak besar kepada ahli di peringkat akar umbi kerana mula berasa kurang yakin dengan kepimpinan parti yang terus gagal mendapatkan kepercayaan rakyat.
Umum turut mengetahui dalam politik pelbagai kebarangkalian boleh berlaku, apa yang pasti strategi baru perlu dilaksanakan dan tidak terus bergantung kepada kaedah konvensional yang digunakan sejak 57 tahun merdeka dulu.
Yang pasti pimpinan negara tidak boleh terus berkhayal dengan sikap pura-pura golongan di sekeliling mereka kerana apa yang paling penting ketika ini, adalah menunjukkan sikap kepimpinan melalui teladan dan ia harus datang daripada pemimpin nombor satu BN dan Umno terlebih dahulu.
Apa yang saya lihat sekarang, ramai yang berada dalam Umno sebenarnya, kurang yakin terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib dan ia sebenarnya suatu hakikat pahit untuk ditelan dan mereka ini, hanya berpura-pura menyatakan sokongan kepada parti dan kepimpinannya.
Sikap pura-pura ini, juga sebenarnya bertujuan mendapatkan habuan daripada pucuk pimpinan kerajaan dan parti hingga menyebabkan pemimpin berasa khayal dilambung ayat-ayat manis.
Saya sendiri berhadapan dengan sikap seperti ini, apabila pernah secara terbuka dalam Mesyuarat Perhubungan Umno Johor meminta Tun Abdullah Ahmad Badawi berhenti sebagai perdana menteri secepat mungkin akibat daripada keputusan PRU12 yang buruk.
Sebelum itu, ramai ketua Umno Bahagian Johor sudah setuju sebulat suara dengan pelan untuk mendesak Pak Lah berundur serta merta dan mahu memaklumkan kepada beliau supaya berundur tetapi kemudian tidak berani menyatakannya secara berdepan dan bercakap perkara sebenar.
Ia disebabkan takut kehilangan kuasa, pengaruh serta habuan jika pelan berkenaan gagal.
Sikap pura-pura yang mengkhayalkan perdana menteri dengan tujuan mendapatkan habuan berterusan walaupun dengan mandat pilihan raya yang diperoleh disebabkan kelebihan dalam sistem westminster, masih ramai pemimpin Umno terus dilambung mimpi indah dan bersikap berpura-pura.
Ini akhirnya akan mengecewakan pengikut-pengikut Umno yang setia kepada perjuangan asal Umno sekaligus membawa kepada kekalahan parti. – 16 Julai, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments