Opinion

GST dan perakaunan akruan penentu sokongan rakyat kepada Barisan Nasional

Malam 7 April lalu, Rang Undang-Undang Cukai Perkhidmatan Barangan dan Perkhidmatan (GST) akhirnya, diluluskan Dewan Rakyat dan akan dilaksanakan pada April 2015 menggantikan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) seperti yang dijadualkan.

RUU berkenaan amat penting dalam menstruktur semula sistem percukaian negara selepas ia diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tahun lalu, ketika membentangkan Bajet 2014.

Seperti biasa, pembangkang berusaha keras menentang pelaksanaan GST dengan terus bersikap kebudak-budakan dengan membawa sepanduk dan kad manila dengan menulis perkataan menentang GST sebaik Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia meluluskan Rang Undang-Undang GST dalam undi belah bahagi apabila semua 118 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang hadir bersetuju manakala 81 Ahli Parlimen pembangkang menentang.

Saya pernah menulis artikel bertajuk 'Masa Terbaik Laksana GST' di portal berita ini, pada 11 September tahun lalu, berhubung kebaikan pelaksanaan GST yang sudah diamalkan di kebanyakan negara di dunia ini.

Apa yang menghairankan saya adalah sikap pembangkang yang cuba mempolitikkan pelaksanaan GST yang akan diperkenalkan dengan kadar  6% April tahun depan, sedangkan jika rakyat menolak sistem cukai GST ini, sudah pasti ia akan memberikan kelebihan kepada mereka dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang dijangka pada 2018.

Dalam rakyat berada dalam keadaan berbelah bahagi menantikan pelaksanaan GST sama ada ia akan menaikkan harga barangan seperti yang dimomokkan pembangkang atau mendapat manfaat melalui pembangunan mampan dan holistik seperti yang diterangkan BN.

Tanpa disedari ramai dan kurangnya pendedahan meluas kepada rakyat, kerajaan BN pimpinan perdana menteri, yang juga menteri kewangan akan turut memperkenalkan sistem perakaunan baru dikenali sebagai Sistem Perakaunan Akruan.

Pelaksanaan perakaunan akruan yang akan dilaksanakan pada 1 Januari 2015 menyebabkan sistem kewangan negara akan beralih daripada perakaunan tunai ubahsuai yang diamalkan sejak negara merdeka lagi.

Selaku pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan seorang akauntan bertauliah, saya mengalu-alukan pelaksanaaan sistem perakaunan akruan ini, yang akan membolehkan gambaran kedudukan kewangan kerajaan menjadi lebih menyeluruh dan tepat.

Sebelum ini, kerajaan menggunakan sistem perakaunan tunai ubahsuai dengan kedudukan kewangan kerajaan hanya mengiktiraf dan merekod sesuatu urusniaga kewangan apabila tunai diterima atau dibayar dalam tempoh perakaunan berkenaan.

Dalam kata mudah, rakyat hanya mengetahui kedudukan kewangan kerajaan hanya melalui transaksi tunai dengan liabiliti tidak direkodkan menyebabkan kita tidak mengetahui jumlah sebenar hutang kerajaan.

Tetapi melalui perakaunan akruan ini, hutang negara akan ditunjukkan dalam nota akaun atau penyata kewangan sekaligus ia menjadikan sistem kewangan negara lebih telus dan rakyat dapat mengetahui sama ada kerajaan benar-benar berhemah dalam berbelanja wang mereka.

Atas sebab itu, saya daripada awal lagi mahu kerajaan melaksanakan Sistem Perakuanan Akruan ini, yang sudah dilaksanakan 63 negara seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada, Sweden dan Australia.

Faedah pelaksanaan sistem ini, ia sekali gus dapat meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti kerajaan dalam pengurusan kewangan serta akaun selain menambah baik pengurusan kewangan dan perakaunan kerajaan melalui tadbir urus yang baik serta menjurus kepada 'value for money'.

Keputusan melaksanakan sistem ini, adalah selaras dengan Dasar Transformasi  Sektor Awam yang digariskan dalam Model Ekonomi Baru dan ia akan memberi kesan siginifikan dalam pengurusan fiskal berhemat serta dapat mempertingkatkan kecekapan pengurusan kewangan dan perakaunan kerajaan pusat.

Menyedari pentingnya PAC dimaklumkan secara terkini dan tepat mengenai pelaksanaan Sistem Perakaunan Akruan ini, Jabatan Akautan Negara diketuai Datuk Wan Selamah Wan Sulaiman, Ketua Akauntan Negara memberikan taklimat lebih dua jam kepada PAC pada 12 Mac lalu.

Ketika ini, Jabatan Akauntan Negara (JAN) sebagai agensi peneraju pelaksanaan Sistem Perakaunan Akruan sedang giat memberikan latihan kepada semua pegawai dan kakitangan awam yang terbabit secara langsung.

Dianggarkan lebih 70,000 pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam akan terbabit secara langsung dalam melaksanakan sistem ini, dan kecekapan mereka ini, perlu setanding dengan kecanggihan sistem teknologi maklumat (IT) yang bakal digunakan.

Migrasi perakaunan kerajaan daripada tunai ubahsuai kepada akruan akan menyaksikan bahawa semua hasil dan belanja kerajaan diiktiraf walapun tidak membabitkan tunai seperti bon jaminan kerajaan dan sebagainya.

Pada masa sama, semua aset negara akan diperakaunkan sekali gus membolehkan kerajaan mengetahui semua aset yang dimiliki negara sama ada membabitkan hartanah, loji, peralatan, aset kewangan, aset warisan, aset kontinjen dan aset tidak ketara.

Selain itu, liabiliti kerajaan juga turut direkodkan dalam perakaunan akruan ini, sama ada ia pinjaman dalam dan luar negara, akaun belum bayar, nota kena bayar, bayaran balik cukai, liabiliti pencen, pajakan/konsesi serta liabiliti kontinjen.

Selain itu, semua kementerian akan menyediakan Penyata Kewangan masing-masing dan semua Ketua Setiausaha (KSU) bertanggungjawab terhadap kewangan kementerian masing-masing dan sebab itu, adalah amat penting mereka benar-benar memahami perakuanan akruan ini.

Dalam taklimat JAN kepada PAC, sejajar dengan pelaksanaan perakaunan akruan ini, satu sistem baru dikenali sebagai sistem '1Government Financial Management Accounting System (1GFMAS) akan digunakan bagi menggantikan sistem sedia ada iaitu Sistem Pengurusan dan Kawalan Belanjawan Elektronik (eSPKB), eTerimaan dan GFMAS.

Keterbukaan dan ketelusan kerajaan BN dalam melaksanakan sistem perakaunan akruan ini, membuktikan tiada apa yang hendak disembunyikan daripada rakyat dan ia amat jelas berbeza dengan segala dakwaan, dakyah dan tohmahan pembangkang.

Pembangkang yang bersikap seperti pembangkang penuh dengan prasangka negatif hanya pandai memutarbelitkan isu serta langsung tidak memberikan pujian atau kredit kepada kerajaan untuk melaksanakan sistem perakaunan akruan ini.

Atas sebab itu, kerajaan BN perlu juga pandai untuk menerangkan kepada rakyat keseluruhannya mengenai perakuanan akruan ini, walaupun ia amat teknikal tetapi ia penting dalam membuktikan bahawa apa yang dilakukan kerajaan selama ini, adalah untuk kebaikan rakyat dan negara.

Dengan segala 'resources' digunakan untuk menangkis dakwaan serta dakyah pembangkang mengenai GST, 'pakar-pakar' di Putrajaya juga perlu menggunakan pelaksanaan perakaunan akruan ini, sebagai satu senjata bagi menyerang pembangkang.

Adalah sesuatu yang amat menyedihkan bagi kerajaan BN kerana segala dasar serta inisiatif yang dilaksanakan gagal diterangkan sebaik mungkin kepada rakyat selain terus bergantung kepada kaedah penyampaian konvensional seperti menggunakan media cetak dan elektronik arus perdana.

Berapa ramai menteri-menteri Kabinet bercakap mengenai peri pentingnya pelaksanaan sistem perakaunan akruan ini, sebaliknya yang biasa didengar adalah komen-komen menahan asakan pembangkang mengenai GST?

Mengapa tidak media-media arus perdana ini, digunakan sepenuhnya bagi mendapatkan komen mengenai perakaunan akruan ini, selain mendapatkan komen daripada pembangkang mengenai pelaksanaannya?

Ataupun menteri-menteri ini, sendiri tidak mengetahui satu sistem kewangan kerajaan yang baharu dan lebih telus bakal dilaksanakan Januari tahun depan manakala di semua negeri pula akan dilaksanakan pada Januari 2016.

Sama ada  ia GST atau akruan, kedua-dua sistem kewangan baru dan penstrukturan cukai ini, sebenarnya adalah satu senjata paling ampuh untuk kerajaan BN jika kita pandai menggunakannya.

Namun, dalam hal menyampaikan maklumat mengenai dasar dan inisiatif yang dilakukan kerajaan BN kepada rakyat, BN jelas ketinggalan daripada pembangkang sekali gus memperlihatkan ketidakmatangan kita untuk terus menyalurkan maklumat kepada rakyat.

Segala-gala yang dilakukan kerajaan BN ini, untuk rakyat hanya akan dapat dijawab kira-kira empat tahun akan datang apabila kad laporan kerajaan pemerintah dinilai semula rakyat dalam PRU14.

Ketika itu, kita akan dapat menyaksikan sama ada rakyat benar-benar memberi sokongan kepada BN melalui segala dasar serta inisiatif baru yang dilaksanakan dalam memacu Malaysia menjadi sebuah negara maju menjelang Wawasan 2020.

Di pihak pembangkang pula, sikap jelik yang berterusan membangkang pelaksanaan GST menunjukkan mereka sendiri tidak mengetahui sistem cukai itu sebenarnya memberikan kesan positif kepada mereka untuk memenangi PRU jika rakyat termakan dengan dakwaan dan dakyah terhadap GST.

Sejarah sudah membuktikan majoriti kerajaan pemerintah yang melaksanakan sistem GST di negara masing-masing akan tewas dalam pilihan raya umum akan datang.

Namun, keadaan menjadi lebih memelikkan apabila kerajaan negara itu yang diambil alih oleh pembangkang, tidak pula menghapuskan GST dan terus menggunakannya sekali gus menunjukkan kebaikan cukai ini.

Apa pun, GST dan perakaunan akruan ini, bakal menjadi penentu kepada kemenangan BN dalam PRU14, kerana ia jelas berkait rapat dengan rakyat yang semakin terhimpit akibat kos sara hidup tinggi selain terpengaruh dengan dakyah pembangkang kerajaan BN melakukan penyelewengan dan boros dalam berbelanja menguruskan negara. – 15 April, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments