Opinion

Ikuti formula Dr Mahathir elak pimpinan kerusi berirama

Tiada siapa dapat menafikan kejayaan Malaysia dalam bidang ekonomi dengan apa yang dikecapi pada masa sekarang bermula sekitar akhir 80-an apabila kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad mengubah lanskap ekonomi dan perdagangan daripada sebuah negara yang berorientasikan pertanian kepada perindustrian.

Kejayaan negara pada ketika itu, untuk menarik pelabur asing sememangnya dicemburui ramai, sehingga ada yang menggelar Malaysia ‘Tiger of Asia’ berikutan kerancakan enjin ekonominya yang dijana sektor perindustrian.

Ia juga merupakan dasar membuka negara kepada pelabur asing selepas Dr Mahathir cuba merangsang sektor perindustrian negara dengan mewujudkan Hicom, Proton dan Perwaja dengan menggunakan wang kerajaan yang nyata tidak mencukupi bagi memacu sektor berkenaan.

Kejayaan dasar berkenaan nyata terbukti sehingga sekarang apabila berjaya menaikkan rakyat Malaysia daripada golongan berpendapatan rendah ke golongan menengah dengan jumlah yang besar.

Berikutan itu juga, pada akhir 90-an negara menjadi ‘syurga’ pendatang asing yang mencari peluang pekerjaan dan ia sebenarnya ditambah dengan keperluan pasaran perindustrian yang memerlukan tenaga buruh yang murah.

Namun menjejaki abad ke-21, enjin ekonomi Malaysia yang dirangsang sektor perindustrian mula perlahan kerana kemasukan pelabur asing yang perlahan, dan ia juga menyebabkan kerajaan sebagai gantinya, terpaksa terus berbelanja menggunakan wang rakyat bagi merangsang industri pembinaan melalui projek infrastruktur awam mega antaranya melalui Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Perubahan berkenaan disebabkan perubahan dalam pasaran ekonomi antarabangsa dengan menyaksikan negara-negara seperti China, Vietnam dan Indonesia yang mampu menawarkan tenaga kerja buruh lebih murah.

Sebenarnya kejayaan Malaysia pada tahun 90-an itu juga banyak bergantung kepada dasar pembukaan ekonomi dan perniagaan luar negara yang ditandatangani secara unilateral seperti Dasar Pandang Ke Timur.

Melalui dasar terbuka seperti itu, selain mengeksploitasikan imej Malaysia yang baik di peringkat antarabangsa, eksport Malaysia meningkat dengan begitu mendadak, terutamanya ke Eropah dan Amerika Syarikat yang membabitkan barangan elektrik dan elektronik selain komoditi seperti minyak sawit serta ditambah pembukaan ekonomi China dan India juga memberikan lonjakan eksport negara pada ketika itu.

Bagaimanapun, kerajaan sebenarnya sudah menyedari Malaysia tidak akan mampu terus bergantung kepada sektor perindustrian dengan tenaga kerja murah dan disebabkan itu, memperkenalkan dasar serta inisiatif bagi merangsang industri kreatif dan perkhidmatan seperti Koridor Multimedia (MSC) yang diceduk daripada Lembah Silikon di Amerika Syarikat selain Lembah Bio dan kini MaGIC yang baru diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tahun lalu.

Untuk rekod, usaha Malaysia untuk menjadi sebuah negara ekonomi berasaskan berpengetahuan (k-economy) bermula sejak akhir 90-an dan ia lebih kurang sama dengan apa yang dilakukan kerajaan Korea Selatan ketika itu.

Namun selepas hampir 2 dekad, kita sendiri boleh menyaksikan kejayaan Korea Selatan yang kini menjadi peneraju dalam industri kreatif dunia dan berjaya mencapai matlamat menjadi negara berpendapatan tinggi dengan berteraskan ekonomi berasaskan pengetahuan.

Kegagalan Malaysia untuk sekurang-kurangnya menghampiri apa yang dicapai Korea Selatan ketika ini, akan membawa kepada keadaan ekonomi yang statik kerana terus bergantung kepada sektor perindustrian dan komoditi.

Malaysia sudah mempunyai asas yang kukuh untuk melonjakkan ekonominya ke paras baru dalam ‘gobal supply chain’, tetapi kegagalan ketara adalah untuk menstruktur ekonomi domestik.

Kegagalan ini sebenarnya banyak berpunca akibat campur tangan politik yang tidak menguntungkan dan hanya memikirkan kesan jangka masa pendek dengan banyak inisiatif serta dasar baru diperkenalkan dalam lingkungan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Reformasi struktur ekonomi domestik seperti yang cuba dilaksanakan Najib melalui pengenalan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) dan Pelan Transfomasi Kerajaan (GTP) dilihat mempunyai kesan positif, tetapi pelaksanaannya terlalu perlahan selain mendapat pelbagai tentangan serta campur tangan politik.

Di sinilah kelemahan ketara yang dapat dilihat daripada pimpinan kerajaan yang sedia ada kerana kegagalan untuk melonjakkan ekonomi negara ke tahap baru akan mengakibatkan enjin ekonomi sedia ada menjadi statik dan lama kelamaan menjadi lemah.

Kerajaan perlu melihat untuk melaksanakan secara unilateral segala penjanjian ekonomi, perdagangan dan kewangan serta mencari peluang baru dalam perjanjian-perjanjian serantau dan antarabangsa bagi memastikan negara terus berada dalam radar ekonomi antarabangsa seperti dalam tahun 90-an.

Apabila bercakap mengenai perjanjian ekonomi, kita sudah pasti tidak dapat lari daripada membincangkan mengenai Perjanjian Trans Pasifik (TPPA) yang diketuai Amerika Syarikat dan mula dibincangkan pada tahun 2009.

Walaupun, kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan sama ada untuk menyertai TPPA atau tidak kerana rundingan mengenainya masih berterusan melibatkan Malaysia dan 11 negara lain iaitu Vietnam, Australia, New Zealand, Chile, Singapura, Mexico, Jepun, Brunei, Peru serta Kanada.

Perjanjian ini menjadi begitu rumit kepada Malaysia memandangkan ia mendapat tentangan hebat daripada segi politik termasuk daripada Dr Mahathir sendiri selain wujud Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang membantahnya.

Kerajaan seharusnya, lebih terbuka kepada rakyat dalam menyediakan maklumat mengenai kebaikan dan keburukan TPPA ini, walaupun benar ia mungkin akan mengancam dasar Bumiputera secara keseluruhannya tetapi sudah pasti ada kaedah yang sesuai untuk Malaysia menyesuaikan diri dengan persekitaran TPPA.

Atas sebab itulah saya amat bersetuju dengan kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapha Mohamed baru-baru ini yang akan membuat kajian kos impak TPPA dalam tempoh antara 2 dan 3 bulan ini.

Kajian ini amat penting dalam memastikan sama ada Malaysia dapat meneroka peluang ekonomi baru melalui penyertaan dalam TPPA atau perlu bekerja dengan lebih keras dengan menjalin kerjasama dengan blok perdagangan baru, jika tidak menyertainya.

Apa yang lebih penting, perubahan dalam lanskap ekonomi dunia dengan arus globalisasi ini menuntut kerajaan supaya berfikir dan bertindak dengan lebih pantas dalam menyediakan rakyat negara ini mendapat manfaat sepenuhnya.

Cabaran paling utama sebenarnya adalah untuk mengadakan reformasi terhadap struktur ekonomi domestik secara holistik bagi mengelakkan perangkap pendapatan pertengahan (middle income trap) dan ia dinyatakan sendiri Najib yang merujuk kepada cabaran utama pembangunan Malaysia tahun lalu.

Kita seharusnya berbangga dan bergembira kerana bermula sebagai negara yang ekonominya dikelaskan sebagai pertengahan bawah pada 1969, berjaya menjadi negara pendapatan menengah atas, 27 tahun selepas itu.

Dan kini selepas 19 tahun berada dalam ekonomi menengah atas, ke manakah hala tuju ekonomi negara bagi menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi dengan ekonomi berasaskan pengetahuan?

Ketika ini, pelbagai langkah jangka masa panjang serta polisi yang diperkenalkan kerajaan sejak beberapa tahun lalu, dilihat kurang berkesan kerana pertumbuhan ekonomi Malaysia terus dihantui kekurangan dalam inovasi dan kemahiran, jumlah pelaburan yang rendah dalam teknologi, kemerosotan standard pendidikan, kos buruh secara relatif tinggi  selain kadar produktiviti yang lembap.

Sebab itu, tiada gunanya kerajaan terus cuba mencari ‘ubat’ baru di peringkat antarabangsa sahaja dengan menjalin kerjasama perdagangan kerana yang pasti perubahan ekonomi  drastik di peringkat domestik perlu dilaksanakan dengan segera untuk melicinkan perjanjian perdagangan luar negara.

Hanya tinggal 5 tahun sahaja untuk Malaysia mencapai Wawasan 2020 bagi menjadi sebuah negara maju dan  walaupun Pendapatan Purata Nasional (GNI) negara pada tahun lalu mencatatkan  kenaikan kepada USD10,060, tidak jauh daripada sasaran Bank Dunia yang meletakkan GNI sebuah negara maju berada pada paras USD12,615 dan lebih, tetapi paling utama adalah untuk terus berada pada paras berkenaan.

Tidak ada gunanya, jika hanya pada tahun 2020, kita berjaya mencapai GNI yang ditetapkan Bank Dunia untuk dikelaskan sebagai negara maju tetapi selepas itu, ia merosot disebabkan kegagalan untuk melakukan reformasi struktur ekonomi domestik.

Ini belum diceritakan lagi dengan jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin dan kualiti kehidupan di kalangan rakyat secara keseluruhannya yang akan terus menghantui kerajaan BN pimpinan Najib.

Jangan Putrajaya sekali kali lupa dan alpa jurang inilah yang akan menimbulkan masalah politik pada masa akan datang sekiranya penstrukturan ekonomi negara tidak dilakukan.

Keupayaan melakukan reformasi ekonomi dosmestik ini harus dilaksanakan dengan semangat politik yang menuntut pimpinan kerajaan berdepan dengan rakyat secara telus dan menerangkannya sebaik mungkin supaya diterima rakyat demi kebaikan masa depan negara.

Ia tidak akan dapat dilaksanakan dengan mengambil pendekatan berhati-hati dan cuba memuaskan hati semua pihak, lebih buruk tunduk kepada tekanan segelintir pihak kerana ia jelas akan memperjudikan masa depan negara dan generasi akan datang.

Maka kegagalan mengambil pendekatan bertegas ini akan menyebabkan permainan kerusi berirama ‘musical chair’ dalam menentukan kepimpinan negara pada masa akan datang sama ada dalam Umno atau dalam Pakatan Rakyat. – 24 Februari, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments