Opinion

PRU14: Jangan anggap segalanya selesai buat Umno Terengganu

Akhirnya, ‘ribut’ yang melanda Umno Terengganu selesai (saya harap), selepas bekas menteri besarnya, Datuk Seri Ahmad Said memaafkan Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Najib Razak juga memaafkan beliau, dakwa Ahmad Said dalam sidang akhbarnya semalam.

Sama ada ia benar-benar selesai atau tidak, terpulang kepada mereka, tetapi kerosakan sudah pun berlaku dan oleh itu, ia membuktikan bahawa budaya perebutan kuasa dan jawatan dalam Umno akan terus berlaku.

Sebenarnya, tiada siapa pun, termasuk Datuk Seri Najib Razak selaku Presiden Umno menyangka bahawa Ahmad Said sanggup melemparkan ‘bom’ ke Putrajaya dengan membuat keputusan keluar daripada Umno ketika parti masih dalam suasana menyambut ulang tahun kelahiran ke 68 Ahad lalu.

Keputusan Ahmad Said bersama dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) negeri itu sudah pasti mengiyakan segala telahan dan andaian pemerhati politik negara bahawa Umno masih tidak berubah.

Ketika kedudukan Datuk Seri Najib Razak selaku Presiden Umno sukar mungkin digugat mana-mana pihak di dalam parti di peringkat Pusat dalam tempoh terdekat ini, tindakan Ahmad Said memberikan pelbagai isyarat, petanda dan persepsi rakyat kepada Umno.

Pelbagai persoalan dan tanda tanya sudah pasti berlegar dalam fikiran semua ahli Umno dan rakyat, apa sebenarnya yang berlaku antara Putrajaya dengan Terengganu dan adakah 'penasihat' Najib gagal menjangkakan tindakan yang akan diambil Ahmad Said.

Pergaduhan dalam Umno jelas ketara, dan disebabkan kedudukan kerusi parti yang tidak cukup kuat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, menyebabkan Ahmad Said serta pengikutnya berani berbuat demikian, mungkin sebagai pengajaran kepada Putrajaya yang dilihat ‘memandai-mandai’ untuk membuang beliau.

Seperti kata bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu yang juga Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; pergolakan dalam Umno Terengganu bukan perkara baru, ia sudah berlaku sejak PRU12.

Namun di sebalik semua itu, timbul juga persoalan mengapa Putrajaya beria-ia mahu menamatkan perkhidmatan Ahmad Said sebagai menteri besar tanpa mengambil kira kedudukan kerusi DUN Terengganu yang amat tipis iaitu 17-15.

Strategi dan percaturan yang silap jelas memerangkap Putrajaya dan tanpa semena-mena terus terperangkap dalam kemelut politik Umno sehingga mampu menumbangkan kerajaan BN yang baru dimenangi setahun lalu.

Ketika ini, ramai ahli Umno dan Barisan Nasional (BN) menyalahkan pucuk pimpinan Umno yang secara sengaja memberikan ‘peluru’ kepada parti pembangkang untuk memanipulasikan fikiran rakyat bahawa Umno sebenarnya memang tidak pernah berubah.

Perubahan yang selama ini dicanangkan hanyalah bersifat retorik kerana pergelutan kuasa, ketamakan pangkat terus menjadi intipati dalam perjuangan segelintir pemimpinnya yang seakan terus bermimpi bahawa Umno akan terus menerajui negara sehingga hari kiamat.

Pada masa yang sama, saya amat simpati kepada Datuk Seri Najib Razak kerana terus dikecam bahawa kepimpinannya yang lemah menyebabkan Ahmad Said mampu berbuat demikian tanpa ada sifat hormat kepada pemimpin.

Selain itu, rakyat juga sudah pasti merasa amat pelik mengapa tindakan ‘membuang’ Ahmad Said dilakukan sedangkan Datuk Seri Najib Razak sendiri pernah mengeluarkan kenyataan di media bahawa tidak ada sebarang pertukaran menteri besar akan dilakukan dalam tempoh terdekat.

Rakyat pasti tidak lupa mengenai desas desus pertukaran menteri besar Umno memandangkan ia dilaporkan ‘lidah rasmi’ parti iaitu akhbar Utusan Malaysia, namun berita itu kemudian dinafikan sendiri oleh Datuk Seri Najib Razak selang sehari selepas ia dikeluarkan.

Jadi, ‘tangan ghaib’ mana yang begitu berkuasa untuk ‘membuang’ Ahmad Said tanpa memikirkan secara mendalam kesan yang akan berlaku kepada Terengganu di ketika kedudukan Umno dalam DUN negeri itu sedang berada dalam situasi yang amat tipis.

Selain itu, ramai juga yang mula menyatakan bahawa apa yang berlaku di Terengganu adalah ‘karma’ kepada Umno atas apa yang berlaku kepada kerajaan Pakatan di Perak pada 2009, ibarat kata pepatah Inggeris ‘what goes around comes around’.

Semua ini tidak seharus dan sepatutnya terjadi jika pakar-pakar strategi Umno di Putrajaya dan PWTC membuka fikiran serta mata mereka apa yang sebenarnya sedang berlaku di peringkat akar umbi parti serta rakyat.

Laungan keyakinan bahawa sokongan rakyat kepada parti kembali meningkat hanya disebabkan kedudukan kerusi yang dimenangi di PRU13 lebih besar daripada PRU12, bukanlah sebenarnya penanda aras yang terbaik yang boleh diguna pakai.

Terengganu sudah membuktikan kepada Umno tidak sampai setahun selepas kita memenangi PRU13 bahawa segala-galanya boleh berubah jika parti berterusan berada dalam acuan yang sama sehingga jurang antara pucuk pimpinan dan ahli terus melebar.

Ahli-ahli Umno tidak lagi mahu bersikap membuta tuli dalam menyatakan kesetiaan mereka kepada parti yakni, pucuk pimpinan kerana mereka mengetahui bahawa mereka yang berada di atas tidak mungkin berada di kedudukan itu tanpa sokongan mereka.

Jadi di sebalik Umno sentiasa menuntut kesetiaan ahlinya, perlu juga mereka yang di atas menjenguk apa yang sebenarnya, berlaku di peringkat akar umbi yang selama ini, menjadi akar dan asas kepada perjuangan Umno sejak 68 tahun lalu.

Tidak ada gunanya Umno terus melaungkan bahawa ia adalah parti akar umbi serta memahami denyut nadi rakyat jika pemimpinnya berterusan memperlihatkan sikap angkuh serta ego dalam membuat keputusan tanpa memikirkan perasaan sebenar ahli akar umbi.

Seluruh rakyat kini sudah mengetahui bahawa semua Menteri Kabinet dan Menteri Besar perlu menandatangani surat peletakan jawatan mereka ketika mereka menjawat jawatan masing-masing, seperti yang berlaku dalam kes Ahmad Said.

Perkara ini sudah memberikan persepsi dan imej negatif kepada Umno dan pucuk pimpinannya yang sebenarnya dilihat amat mudah ‘membuang’ mereka yang dipilih menjawat jawatan berkenaan serta padah ditendang keluar amat besar jika bertindak melawan arus dengan pucuk pimpinan.

Apa pun yang berlaku membuktikan bahawa Umno terus bergelut dalam masalah dalamannya sendiri dan sudah pasti akan memberikan kesan besar kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan apabila BN akan bertanding pada 31 Mei depan selepas tidak bertanding dalam PRK Bukit Gelugor 25 Mei ini.

Tidak mungkin Umno bersedia untuk menghadapi pilihan raya Terengganu kerana itu dilihat sebagai jalan terakhir yang sudah pasti akan memberikan laluan gelap dan sukar kepada parti yang semakin terdesak mendapatkan sokongan daripada rakyat, terutama sekali orang Melayu.

Sudah pasti Menteri Besar Terengganu baru Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman memikul tanggungjawab besar dalam menyatu padukan semula Umno negeri itu ketika masih didengari bahawa sekurang-kurangnya enam Adun di negeri itu, yang masih tidak berpuas hati dengan tindakan Putrajaya yang terus mencampuri urusan parti Terengganu secara terus tanpa mengambil kira pandangan mereka.

Jadi, adakah budaya ‘cah keting’ akan menimpa Umno Terengganu pada PRU14 kelak, dengan sabotaj dalam parti akan berlaku sehingga membolehkan pembangkang menang. 

Bak kata Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mengulas kemelut yang berlaku di Terengganu “Umno jarang belajar... saya sudah katakan berkali-kali tetapi mereka tidak sedar. Kita akan kehilangan (kuasa) kerana Umno tidak belajar dan buat kesalahan yang sama.”

Itu kata dan ingatan Tun Dr Mahathir, tetapi sayangnya pemimpin Umno masih terus berdegil dengan sikap mereka yang akan membawa padah apabila rakyat membuat keputusan pada PRU14 nanti. – 15 Mei, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments