Opinion

Jangan mudah hukum Facebook atas kecelaruan dalam masyarakat

Akibat didorong sentimen emosi dan bersimpati kepada penindasan Israel terhadap rakyat Palestin, rakyat Malaysia tidak terkecuali melakukan pelbagai perkara bagi menyatakan sokongan terhadap kezaliman yang ditunjukkan rejim Zionis.

Ia termasuk memberikan sumbangan, menghantar bantuan kemanusiaan ke Palestin dan lebih drastik memboikot barangan dan perkhidmatan yang mempunyai kaitan dengan rejim Zionis.

Selain restoran makanan segera yang sudah menjadi menu harian rakyat Malaysia, McDonald's yang terjejas teruk akibat tindakan boikot, antara perkhidmatan yang turut disyorkan supaya turut diboikot adalah media sosial, Facebook iaitu medium media sosial paling utama di negara ini.

Bagaimanapun, pemboikotan Facebook langsung tidak mendapat sambutan memandangkan ia saluran utama yang digunakan rakyat negara ini, untuk bersosial di alam maya dan penggunaannya tidak hanya terhad kepada rakyat biasa, tetapi turut meliputi pengurusan kerajaan.

Namun, sebagai  negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum, ramai juga pengguna Facebook menyalahgunakan media sosial ini untuk menghina pengguna lain dan lebih teruk menyentuh sensitiviti kaum serta agama.

Difahamkan, pengguna Facebook di negara ini, mencecah kira-kira 15 juta orang dan ia bermakna separuh daripada rakyat negara ini, mempunyai akaun Facebook sekali gus membuktikan pengaruhnya.

Keghairahan membuat kenyataan yang menyentuh sensitiviti inilah, mengakibatkan timbul cadangan mengharamkan Facebook di Malaysia dan ia sebenarnya, bukan suatu perkara baru kerana turut dilakukan di negara lain.

China adalah contoh terbaik yang mengharamkan Facebook, bagaimanapun kerajaan republik berkenaan memberikan alternatif dengan mewujudkan laman sosial Weibo untuk penduduk negara komunis itu.

Di Malaysia pula, ura-ura untuk kerajaan mengharamkan Facebook dilaungkan pertubuhan bukan kerajaan yang berhaluan kanan termasuk mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri kerana disebabkan banyak kenyataan pengguna media sosial itu yang menghentam dan memburukkan agama dan kaum di negara ini.

Lantaran itu, Menteri Komunikasi Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengeluarkan kenyataan baru-baru ini,  kerajaan boleh mempertimbangkan cadangan menutup Facebook sekiranya dipersetujui rakyat negara ini.

Bagaimanapun, saya percaya Shabery tidak berhasrat meneruskan langkah berkenaan kerana ia jelas tidak memberikan keuntungan kepada rakyat dan negara selain ramai menteri yang aktif dalam media sosial terutama sekali Facebook.

Menutup Facebook di Malaysia bukan perkara mudah, memandangkan dunia tanpa sempadan yang diamalkan di negara ini, diperkenalkan Dr Mahathir sendiri pada zaman pemerintahannya dengan pengenalan Multimedia Super Corridor.

Mengambil contoh di China, kerajaan komunis republik ini, dikatakan mempunyai lebih 30,000 orang yang diambil untuk sentiasa menjadi ‘mata dan telinga’ bagi menyekat sebarang percubaan melayari Facebook.

Pada masa sama, kerajaan China juga mengharamkan terus pelayan atau ‘server’ Facebook yang berpangkalan di Amerika Syarikat daripada dilayari rakyat negara berkenaan sekali gus menutup segala pintu masuk media sosial itu ke negara Tembok Besar berkenaan.

Untuk tujuan itu, China dikatakan membelanjakan ratusan juta ringgit bagi menyekat Facebook dan adakah kerajaan Malaysia sanggup mengeluarkan peruntukan sebesar itu, semata-mata tidak mahu rakyat negara ini, menyalahgunakan media sosial seperti Facebook.

Kerajaan juga sebenarnya, berusaha untuk memberikan alternatif terhadap kandungan internet yang ditawarkan negara Barat sebagai contoh dengan memperkenalkan ‘Myemail’ sebagai alternaif kepada Gmail atau Yahoo Mail. Bagaimanapun, ia tidak mendapat sambutan berikutan rangkaian penggunanya yang terhad.

Atas sebab itu, saya ingin menasihatkan kerajaan supaya berhati-hati terhadap sebarang cadangan mana-mana pihak yang cuba memperkenalkan aplikasi atau perisian Internet kerana ia jelas tidak akan mendapat sambutan  rakyat disebabkan tidak mampu bersaing dengan perisian  negara barat yang mempunyai jaringan lebih besar.

Sebenarnya, sejak fenomena Facebook melanda negara ini, tidak lebih 10 tahun lalu, ia mempunyai banyak kebaikan tetapi lama kelamaan, ia disalahgunakan penggunanya bagi menyakiti individu lain.

Jika kerajaan mahu dipersalahkan atas kegagalan mengawal kepenggunaan Facebook, bagaimanapula dengan individu itu sendiri? Ini adalah persoalan yang perlu diberikan perhatian semua rakyat Malaysia.

Sebagai pengguna Facebook, kita seharusnya memahami apa yang diperkatakan dalam media sosial itu akan dilihat dan dibaca orang lain, dan sudah semestinya perlu ada pengawasan kendiri pada setiap pengguna.

Bagaimanapun, ada juga pengguna yang tidak bertanggungjawab menyamar menggunakan nama individu lain dan menulis kenyataan  berunsur fitnah serta menyentuh sensitiviti kaum lain.

Inilah yang sebenarnya, menjadi dilema kepada kerajaan dalam usaha menyekat penyalahgunaan Facebook daripada digunakan sebagai alat untuk membakar api perkauman serta agama.

Mengambil contoh pengguna Facebook, Kelvin Yip yang terang-terangan menyentuh isu sensitif orang Islam tetapi hingga kini, gagal diambil tindakan disebabkan kegagalan mengesan pemilik sebenar akaun berkenaan.

Saya difahamkan, terdapat 14 nama akaun Facebook yang menggunakan nama Kelvin Yip dan atas sebab itu, ia menyukarkan pihak berkuasa mengesan pemilik sebenar akaun terbabit.

Selain itu, rakyat juga tidak boleh berterusan menyalahkan kerajaan dalam isu ini, kerana ada kenyataan dikeluarkan pengguna akaun Facebook yang tinggal di luar negara, dan sudah pasti mereka tidak boleh ditahan atau didakwa di dalam negara ini.

Inilah yang menjadi penghalang utama kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dalam menguatkuasakan undang-undang Internet di negara ini, kerana pengguna media sosial sebenarnya, berada di alam maya dan bebas  mengakses Internet di mana-mana saja di dalam dunia.

Malah, ada juga cadangan supaya semua pengguna Facebook di negara ini, mendaftar di Jabatan Pendaftaran Negara bagi memudahkan tujuan pengawasan tetapi bagaimana pula jika pengguna berkenaan berada di luar negara dan mengeluarkan kenyataan buruk terhadap negara ini.

Walaupun ada perbandingan mengapa kerajaan Singapura boleh bertindak tegas terhadap media sosial, tetapi negara jiran itu juga hanya mengenakan undang-undang untuk mendaftar portal berita bagi memudahkan tindakan undang-undang diambil bukannya akaun Facebook.

Melihat kepada situasi terkini yang berlaku pada Facebook di Malaysia, dengan seorang pelajar di Pulau Pinang berkemungkinan didakwa hanya semata-mata kerana menekan butang ‘like’ terhadap ayat ‘I Love Israel’ ia jelas membuktikan betapa rakyat Malaysia masih berada dalam mentaliti dunia ketiga.

Jika pihak berkuasa mengambil keputusan untuk mendakwa pelajar ini, Malaysia akan menjadi negara pertama di dunia, yang mendakwa seorang individu hanya semata-mata kerana menekan butang ‘like’ di Facebook.

Walaupun, kita memahami sebarang bentuk sokongan terhadap Israel adalah seperti menyatakan sokongan terhadap apa yang dilakukan rejim Zionis terhadap Palestin, tetapi tindakan pendakwaan terhadap apa yang dilakukan pelajar berkenaan, adalah sesuatu yang tidak diterima akal.

Saya bukan mahu menyatakan rakyat negara ini, bebas melakukan apa saja di alam maya, tetapi sebenarnya, masih ada banyak cara lain dalam meningkatkan kesedaran terhadap pengawalan menggunakan Facebook di negara ini.

Pada masa sama, pihak berkuasa seperti polis dan Jabatan Peguam Negara juga perlu mempunyai pengetahuan mendalam mengenai undang-undang mengenai Internet khususnya media sosial, kerana kita tidak mahu melihat pendakwaan terpilih dibuat hingga timbul persepsi apabila kenyataan itu menyentuh mengenai kerajaan Barisan Nasional atau Umno, individu berkenaan didakwa jika sebaliknya, mereka tidak dikenakan sebarang tindakan.

Sehubungan itu, saya merasakan sudah sampai masanya, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Komunikasi menggunakan Strategi Lautan Biru yang sering dilaungkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk meningkatkan kesedaran pelajar bagaimana menggunakan Internet dengan betul termasuk media sosial seperti Facebook.

Mungkin, sukatan pelajaran mengenai perkara ini boleh dimasukkan dalam mata pelajaran Pendidikan Moral atau agama Islam di peringkat sekolah rendah bagi memastikan generasi muda memahami cara terbaik dalam menggunakan Internet dengan betul.

Pengawalan diri sendiri dan etika amat penting dalam menggunakan media sosial dan mereka yang menggunakannya perlu bertanggungjawab terhadap segala kenyataan yang dikeluarkan di media sosial.

Jika kita terlalu melihat kepada keburukan yang dilakukan Facebook terhadap isu perpaduan kaum dan agama di negara ini, bagaimana pula dengan penggunaannya bagi memupuk semangat perpaduan antara kaum di Malaysia?

Semua perkara ini perlu diberikan pertimbangan sewajarnya sebelum ada sebarang usaha atau cadangan menutup Facebook semata-mata kerana melihat banyak keburukan yang didapati dengan menggunakan media sosial ini.

Bagaimana pula dengan media arus perdana yang digunakan untuk menyebarkan isu perkauman dan agama oleh pihak tertentu dan perlunya ada juga keadilan dalam memastikan kita tidak berat sebelah dan menyalahkan media sosial seperti Facebook seperti kata pepatah ‘marahkan nyamuk, kelambu dibakar’.

Peranan media sosial yang meningkat di negara ini disebabkan kepesatan teknologi yang sedang berlaku dan atas sebab itu, kerajaan membelanjakan berbilion ringgit bagi menyediakan infrastruktur Internet.

Melalui inisiatif jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB), kadar penembusan Internet di negara ini, semakin meningkat dan atas sebab itu, peranan media sosial juga amat penting dalam pembangunan negara.

Malah, peranan media sosial ini juga dijadikan alat penting dalam kegiatan politik di negara ini, dan lihat saja apa yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum ke-12 dan 13 di mana parti pembangkang menjadikan media sosial sebagai alat paling berkesan dan murah dalam menyampaikan agenda politik mereka kepada rakyat.

Sebab itu, saya percaya cadangan untuk menutup Facebook tidak akan mendapat sambutan daripada rakyat negara ini, seperti juga usaha memboikotnya kerana pengasasnya, Mark Zuckerberg seorang Yahudi dan dikatakan mempunyai hubung kait dengan rejim Zionis.

Namun, jika suatu hari nanti Malaysia bersetuju menutup Facebook, agaknya apa yang akan diperkatakan pengasas media sosial ini, Zuckerberg kepada Najib selepas lawatan ke ibu pejabat Facebook di Lembah Silikon, Palo Alto, Amerika Syarikat September tahun lalu.

Dan sudah pasti, ia adalah langkah ke belakang untuk Malaysia dalam usaha menjadi negara maju dalam tempoh enam tahun lagi. – 17 Ogos, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments