Opinion

Jangan sekadar ‘makan angin’ hadiri WEF

Minggu depan 21 hingga 24 Januari, akan bermulalah Persidangan Forum Ekonomi Dunia (WEF) tahunan di Davos, Switzerland yang menghimpunkan ketua-ketua negara dunia bagi membincangkan mengenai hala tuju dan ekonomi dunia.

Pentingnya WEF ini, kerana ia turut menghimpunkan pakar-pakar ekonomi yang akan dapat bertukar-tukar pandangan dengan ketua-ketua negara bagi mengetahui kaedah terbaik dalam mengatasi masalah ekonomi di negara masing-masing.

Seperti kebiasaannya, Datuk Seri Najib Razak selaku perdana menteri dan menteri kewangan Malaysia akan mengetuai delegasi pakar ekonomi Malaysia menghadiri forum ini sejak menjadi ketua negara lima tahun lalu.

Apa lebih penting yang perlu dipelajari Najib pada WEF nanti ialah formula penyelesaian bagi mengatasi kesuraman ekonomi negara yang sebenarnya terjejas teruk akibat kejatuhan harga minyak dunia serta kemerosotan nilai ringgit berbanding dolar AS.

Proses globalisasi mengubah keadaan ekonomi sesebuah negara dengan kejutan ekonomi atau ‘economic shock’ seperti krisis matawang Asia 1997 dan kejatuhan harga minyak secara mendadak ini sudah menjadi kelaziman yang boleh menjejaskan ekonomi Malaysia walaupun tidak semestinya disebabkan oleh kerajaannya.

Ia disebabkan ekonomi Malaysia berhubungkait dengan ekonomi negara lain walaupun negara berkenaan berada jauh di benua lain.

Sebenarnya, terdapat empat faktor utama yang mempengaruhi ekonomi sesebuah negara iaitu harga minyak dunia, kekuatan ekonomi Amerika Syarikat (AS), nilai mata wang dan geopolitik antarabangsa

Dan semua cabaran ini sudah secara terang-terangan menghimpit ekonomi Malaysia iaitu kejatuhan harga minyak dunia, kenaikan mata wang dolar AS, pengukuhan ekonomi AS dan perubahan geopolitik dunia.

Mengambil contoh mata wang Rusia, Rubel kini jatuh teruk dan diburukkan dengan kejatuhan harga minyak dunia memandangkan kuasa besar dunia ini bergantung sepenuhnya terhadap pengeluaran minyak sebagai sumber pendapatan utama kerajaan.

Ia sekali gus mengakibatkan pendapatan kerajaan Rusia merosot serta memaksa negara berkenaan memotong perbelanjaan bajet selain kebergantungan terhadap import barang keperluan dan makanan turut menyebabkan kadar inflasinya melambung.

Selain itu, kejatuhan nilai Rubel berbanding dolar AS memburukkan lagi keadaan ekonomi negara ini apabila rakyat negara itu menjual mata wang Rubel bagi membeli dolar AS dan mata wang yang lebih kukuh.

Kejatuhan mata wang itu juga menyebabkan banyak syarikat serta orang korporat Rusia mula memindahkan modal mereka keluar negara kerana bimbang dengan ekonomi negara itu yang sudah pasti menghadapi pusingan kegawatan ekonomi.

Inilah senario yang perlu dilihat, diteliti dan dikaji Najib serta Putrajaya dalam menyiapkan ekonomi negara terutama sekali rakyat Malaysia berdepan dengan satu lagi kemungkinan kemelesetan ekonomi dunia.

Apa yang mungkin dapat menyelamatkan Malaysia untuk tidak berdepan sama seperti situasi ekonomi di Rusia adalah kepelbagaian ekonomi negara kerana walaupun sebagai negara pengeluar minyak, Malaysia juga turut mempunyai sektor perindustrian serta perkhidmatan yang turut memberikan hasil kepada kerajaan untuk sekurang-kurangnya mengimbangi kejatuhan harga minyak dunia.

Namun, kerajaan seharusnya turut berhati-hati dengan kejatuhan ringgit yang terus dilihat terus merosot kerana jika situasi berkenaan terus berlarutan ia boleh menyebabkan berlaku krisis keyakinan terhadap pelabur serta rakyat.

Di sinilah, Bank Negara memainkan peranannya dalam mengekang kejatuhan nilai mata wang ringgit yang keterlaluan dan langkah ini amat penting dalam mengekalkan keyakinan rakyat dan pelabur terhadap kemampanan ekonomi Malaysia.

Dan langkah agresif Bank Negara akhir-akhirnya ini dalam mempertahankan nilai ringgit di pasaran dunia jelas kelihatan apabila bank pusat Malaysia itu pada akhir tahun lalu melaporkan rizabnya berjumlah RM405.5 bilion berbanding RM441.9 bilion pada akhir 2013.

Kita sudah pasti tidak mahu rakyat atau syarikat korporat negara bertindak menjual ringgit dan membeli mata wang asing seperti dolar AS kerana ia akan terus memberikan tekanan kepada ekonomi negara dan lebih teruk jika ada pihak bertindak memindahkan modal mereka dari Malaysia ke luar negara

Selain itu, kerajaan juga tidak boleh berterusan bergantung kepada hasil minyak yang disumbangkan Petronas memandangkan harga minyak dunia dijangka terus rendah dan berkemungkinan berada pada paras 30% lebih rendah daripada harga tertinggi dicatatkannya tahun lalu, dengan berada sekitar AS$60 ke AS$70 setong untuk sekurang-kurangnya dalam tempoh 3 hingga 5 tahun akan datang.

Situasi itu akan menyebabkan Petronas serta industri minyak dan gas negara yang dianggar menyumbang kira-kira 30% daripada ekonomi negara tidak lagi dapat menyumbangkan hasil utama kepada kerajaan yang selama ini, bergantung harap kepada hasil emas hitam dalam menjalankan projek pembangunan negara dan sudah pasti kesannya menyebabkan pertumbuhan ekonomi akan berada dalam keadaan lebih perlahan.

Keadaan ini sudah semakin jelas apabila kerajaan melalui pekeliling Kementerian Kewangan pada Disember tahun lalu, mengeluarkan arahan kepada semua Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) supaya tidak lagi membuat pelaburan baru keluar negara bagi mengelakkan pengaliran keluar mata wang ringgit dengan jumlah besar.

Sebaliknya, semua GLC dikehendaki untuk meningkatkan pelaburan dan pembelian domestik dalam usaha untuk mengawal pengaliran wang ringgit dan memperkuatkan enjin pertumbuhan ekonomi dalam negara.

Ini kerana iklim ekonomi Malaysia juga berada dalam keadaan yang ‘vulnerable’ berikutan perubahan geopolitik dunia apabila AS dilihat bertambah kuat daripada segi ekonomi serta ketenteraan dan ia turut disokong dalam pengukuhan politik dan perdagangan negara "Uncle Sam" ini.

Kekuatan AS ini sebenarnya akan menimbulkan ketegangan dengan China dan sekali lagi Malaysia akan dihimpit dengan pertembungan dua kuasa besar dunia dalam bidang ekonomi dan ketenteraan ini.

Kebijaksanaan Najib amat diperlukan dalam soal mengimbangi kuasa serta pengaruh AS serta China kerana ia sebenarnya memberikan kesan besar kepada kedudukan ekonomi Malaysia di peringkat antarabangsa.

Pada masa sama, Najib juga turut berdepan dengan masalah ketidakseimbangan jurang pendapatan antara orang kaya dan miskin di dalam negara yang sudah pasti akan mempengaruhi geopolitik domestik Malaysia.

Jurang kekayaan ini sudah pasti akan terus melebar dengan kemelesetan ekonomi akibat daripada harga barang import yang meningkat dengan nilai ringgit yang rendah ditambah kenaikan kos makanan, pendidikan, pengangkutan serta kesihatan apabila golongan menengah dan rendah akan merasakan bahawa gaya hidup semakin mahal serta memungkinkan mereka terjerumus menjadi miskin seperti kata pepatah Inggeris ‘it’s expensive to be poor now'.

Manakala golongan kaya dan berkemampuan pula akan terus dapat hidup mewah kerana harta dan simpanan mereka memberikan banyak faedah yang tinggi memandangkan kos barangan konsumer seperti kereta dan dan barangan elektronik menurun. Kenaikan kos makanan, pendidikan dan kesihatan tidak menjejaskan golongan ini dengan ketara.

Faktor ini jelas dan terbukti apabila mendengar keluhan penonton ketika saya menjadi ahli panel dalam Wacana Sinar Harian tahun lalu berkaitan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat dan ia semakin jelas setiap hari walaupun harga minyak turun tetapi ia tidak diimbangkan dengan kos barangan keperluan kesan daripada kelemahan nilai ringgit.

Atas sebab itu, sudah sampai masanya kerajaan mengambil tindakan proaktif dalam mengurangkan jurang kekayaan ini kerana golongan kurang kemampuan pasti dapat menilai bahawa kerajaan tidak bertindak adil dalam membela nasib mereka.

Saya khuatir sudah wujudnya jurang kepercayaan atau "trust gap" antara rakyat yang mengalami realiti penipisan kocek kerana pengurangan "disposable income" dengan statistik rasmi kerajaan yang melaporkan pertumbuhan ekonomi negara pada kadar 6% tahun lepas.

Krisis kepercayaan ini adalah sesuatu yang amat berbahaya kepada kerajaan kerana rakyat sudah tidak lagi percaya dengan angka rasmi dikeluarkan kerajaan yang mahu rakyat mempercayai ekonomi diri mereka baik dan selari dengan ekonomi negara.

Kaedah paling sesuai dalam mengimbangi jurang ini adalah dengan mengenakan cukai kekayaan (wealth tax) dalam keadaan adil supaya golongan kaya dan berkemampuan turut sama membantu kerajaan dalam membangunkan negara.

Saya merasakan golongan kaya di negara ini tidak mempunyai masalah dalam membayar cukai ini memandangkan mereka turut mendapat manfaat dalam bentuk pembangunan infrastruktur yang lebih baik.

Sebenarnya, Putrajaya perlu sedar kemarahan rakyat terhadap isu kos sara hidup yang semakin meningkat serta perumahan, jelas dapat dilihat di media sosial dan lama kelamaan isu lain seperti kesihatan, pendidikan dan pengangkutan juga akan turut menerima kesan kenaikan.

Bagi saya jika faktor kesihatan dan pendidikan menerima kesan kenaikan, ia bakal memberikan impak lebih besar kepada kerajaan kerana setiap golongan masyarakat termasuk golongan tua akan merasai kemelesetan ekonomi ini.

Ini kerana bagi mereka yang sudah berusia dan hanya hidup dengan wang pencen atau simpanan serta KWSP, amat bergantung kepada kos penjagaan kesihatan yang rendah bagi membolehkan mereka untuk meneruskan baki kehidupan masing-masing.

Golongan ini tentunya tidak mahu lagi terpaksa ‘membanting tulang’ terpaksa bekerja dalam usia lanjut semata-mata untuk membiayai kos penjagaan kesihatan atau membeli keperluan harian.

Saya percaya Najib sedar mengenai kedudukan ekonomi Malaysia yang berada dalam keadaan tidak menentu disebabkan faktor luaran ini malah ia dibuktikan dengan kenyataan beliau baru-baru ini yang mahu mengkaji semula Bajet 2015 yang dibentangkan tahun lalu.

Persediaan untuk menghadapi segala unsur tidak menentu yang boleh menggugat kedudukan ekonomi negara amat penting dan ia hanya boleh dilakukan dengan kebijaksanaan pemimpinnya.

Pasti yang paling utama adalah kebajikan dan kesejahteraan rakyat dan bukannya berbelanja mewah dan membazir dengan pelbagai projek mega yang pasti menjurus kepada keadaan ekonomi dan kewangan tidak menentu.

Malaysia memerlukan persediaan awal yang sewajarnya dalam menjadi negara maju dalam tempoh lima tahun lagi dan ia hanya dapat dicapai sekiranya rakyat sendiri merasai nikmati mencapai status negara maju.

Masih ada banyak cabaran yang memerlukan perhatian sewajarnya daripada Putrajaya dalam memastikan ekonomi negara terus mampan dan diyakini rakyat Malaysia dalam memberikan lagi peluang kepada Umno dan BN memerintah negara selepas PRU14.

Putrajaya seharusnya sedar semua cabaran ini perlu dihebahkan kepada rakyat supaya mereka bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan ketidaktentuan ekonomi dan kerajaan yang berterus terang dan berani akan memberikan keyakinan kepada rakyat.

Disebabkan itu pentingnya apa yang ditimba ketika menghadiri WEF dihebahkan kepada rakyat dengan segera kerana melaluinya rakyat sedar pimpinan negara keluar negara untuk mencari formula terbaik mengatasi masalah ekonomi bukannya, sekadar makan angin. – 15 Januari, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments