Opinion

Kecelaruan arah tuju sistem pendidikan negara

Tidak terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Malaysia ke-51 yang jatuh pada Selasa lalu, dan sambutannya penuh meriah sama seperti sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 31 Ogos lalu.

Di sebalik pelbagai isu serta kemelut yang melanda negara bermula daripada krisis menteri besar Selangor, kehilangan misteri MH370, tragedi malang MH17 hinggalah pendakwaan ahli politik pembangkang, ahli akademik serta bekas mahasiswa di bawah Akta Hasutan, rakyat Malaysia yang kini berjumlah kira-kira 30 juta orang terus bersama-sama bersatu padu menyambut Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia.

Pada masa sama, kerajaan pusat Barisan Nasional (BN) cuba memberikan gambaran ekonomi rakyat negara bertambah baik apabila mengeluarkan kenyataan pendapatan seisi rumah rakyat negara meningkat kepada RM5,900 tahun ini berbanding sebelumnya.

Namun, ia langsung tidak disambut dengan rasa syukur di kalangan rakyat, sebaliknya pelbagai pihak mempertikaikan kenyataan itu, menyebabkan timbul pelbagai persepsi kerajaan BN cuba memutarbelitkan statistik bagi mendapatkan ‘mileage’.

Isu pendidikan juga sering mendapat perhatian rakyat yang melihat kualiti pendidikan negara terus tidak bertambah baik walaupun sektor pendidikan mendapat perutukan bajet yang tinggi daripada kerajaan setiap tahun... di manakah silapnya?

Sedar atau tidak, sistem pendidikan negara dilihat terus menjadi ‘uji kaji’ dan ia dapat dilihat dengan jelas setiap kali menteri pendidikan bertukar, bertukar jugalah arah tuju sistem pendidikan negara.

Hal itu menyebabkan tiada asas kukuh dalam sistem pendidikan negara dan terlalu banyak contoh yang dapat diberikan bagi menggambarkan betapa celarunya sistem pendidikan negara.

Yang paling jelas adalah melalui pemansuhan sistem Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang merupakan dasar pendidikan di bawah pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamed pada 2002 yang kemudian digantikan dengan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) pada 2011.

Saya tidak mahu berpolemik mengenai dua dasar ini, tetapi yang menjadi persoalan kepada rakyat mengapa terlalu banyak eksperimen dilakukan kepada sistem pendidikan negara hingga menyebabkan ada menyifatkan ia semakin tidak lagi berdaya saing dalam melahirkan masyarakat yang benar-benar berilmu, berpengetahuan serta mempunyai kepakaran tinggi.

Malah, seorang pengundi di kawasan saya di Parlimen Pulai pernah bertanya sama ada kerajaan sedar atau tidak sistem pendidikan negara kini bukan hanya terbahagi kepada dua aliran iaitu Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Vernakular (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil) tetapi sebenarnya kepada tiga.

Terkejut dengan soalan itu, saya bertanya, apakah satu lagi aliran sekolah itu, jawab pengundi saya, Sekolah Antarabangsa, sekolah persendirian serta sekolah agama.

Memang benar, hasrat mulia kerajaan membenarkan sekolah antarabangsa serta sekolah persendirian beroperasi dan mengambil murid tempatan perlu dipandang dalam perspektif yang luas.

Kewujudan sekolah-sekolah ini sepatutnya menjadi persaingan kepada sekolah kerajaan untuk menjadi lebih baik, sekaligus dapat menjadikan sistem pendidikan negara bertambah mantap.

Tetapi hasrat itu tidak kesampaian tatkala sekolah kerajaan iaitu sekolah kebangsaan terus ketinggalan dalam pelbagai sudut, hingga mahu tidak mahu, kerajaan perlu akui semakin ramai ibu bapa yang tidak lagi menjadikan sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan.

Kepada mereka yang berkemampuan, sudah pasti mahu anak-anak mereka mendapatkan pendidikan lebih baik dan sekolah kebangsaan sudah pasti tidak akan menjadi pilihan dan ia suatu hakikat yang dapat diperhatikan di kawasan bandar serta separa bandar.

Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan menyedari hal ini, dan atas sebab itu diwujudkan pula sekolah kebangsaan berprestasi tinggi dan sekolah bestari di kawasan bandar serta separa bandar.

Itu tidak lagi timbul persoalan apakah yang terjadi dengan Sekolah Wawasan yang ideanya adalah mengintegrasikan sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan di bawah satu bumbung.

Semua sedar majoriti masyarakat di kawasan bandar serta separa bandar yang berpendapatan menengah dan ke atas kini, menghantar anak mereka mendapat pendidikan awal di tadika-tadika swasta yang majoritinya menggunakan sistem pendidikan montessori dengan bahasa pengantarnya adalah bahasa Inggeris.

Malah ada ibu bapa yang sudah menghantar anak mereka ke tadika ini sejak berusia tiga tahun hingga berusia enam tahun, mereka mendapat pendidikan awal berlatarbelakang sistem pendidikan negara maju seperti United Kingdom hingga ada kanak-kanak yang apabila memasuki Darjah Satu sekolah kebangsaan terpaksa kembali menyesuaikan diri dengan alam persekolahan Malaysia, dan lebih teruk, tidak mahu belajar di sekolah kebangsaan.

Dilema ini pernah saya hadapi apabila seorang pengundi saya menemui saya dan mengeluh kerana anaknya tidak mahu belajar di sekolah kebangsaan selepas mendapat pendidikan awal di tadika swasta.

Katanya hendak menghantar anak ke sekolah antarabangsa atau persendirian, kosnya akan mencecah puluhan ribu untuk setahun dan mahu tidak mahu terpaksa memujuk anak yang berusia tujuh tahun belajar di sekolah kebangsaan yang disifatkan anak itu sebagai ‘low class’.

Jadi timbul lagi persoalan, di manakah silapnya?

Jika diteliti pada Pelan Induk Pendidikan Malaysia 2013-2025, ia satu ‘blueprint’ yang amat menyeluruh serta menarik dengan penyediaannya dilakukan dengan cukup komprehensif, termasuk mendapatkan input daripada semua pihak berkepentingan selain pelantikan konsultan dalam penyediaannya.

Tetapi apa yang kurang adalah penekanan terhadap pendidikan awal persekolahan yang sebenarnya menjadi asas kepada seorang murid melangkah masuk ke darjah satu dengan lengkap dalam aspek 3M iaitu Membaca, Menulis dan Mengira.

Pengenalan terhadap program Permata Negara (Pusat Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak) hasil inisiatif isteri Datuk Seri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor adalah usaha murni kerajaan memastikan penyediaan kanak-kanak sebelum masuk ke alam persekolahan sebenar.

Namun, tidak semua kawasan mempunyai Pusat Permata dan bagi ibu bapa yang tidak mampu menghantar anak ke tadika swasta dan tidak mempunyai Pusat Permata Negara di kawasan mereka, mereka tidak mempunyai pilihan selain menghantar anak ke tadika Kemas atau jika bernasib baik dapat masuk ke kelas pra persekolahan yang disediakan di sekolah kebangsaan.

Ironinya, tadika Kemas tidak berada di bawah Kementerian Pendidikan, sebaliknya diselia Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, dan ada tanggapan kanak-kanak yang mengikuti pembelajaran di tadika ini dikatakan tidak mampu menguasai aspek 3M dengan baik sebaliknya, apa yang ditekankan ketika belajar di tadika Kemas adalah menari dan mewarna.

Akibatnya, apabila seorang murid melangkah masuk ke darjah satu di sekolah kebangsaan, mereka ini mempunyai latar pendidikan awal persekolahan yang amat berbeza kerana ada yang datang dari tadika kemas, tadika swasta, tadika agama, pusat permata negara.

Kecelaruan pendidikan awal persekolahan inilah yang menyebabkan ramai murid terus dilanda sindrom terkejut dengan apa yang berlaku ketika di sekolah kebangsaan hingga ada antara mereka gagal untuk menjadi seorang murid yang benar-benar dapat menguasai pelajaran.

Di sinilah kekurangan dan kelemahan yang ramai rakyat perhatikan kerajaan BN terus gagal menyediakan satu asas sistem pendidikan yang benar-benar mantap walaupun sudah memerintah negara sejak 57 tahun.

Semua perdana menteri Malaysia kecuali Tunku Abdul Rahman pernah menjadi menteri pendidikan, tetapi sistem pendidikan negara terus berada dalam keadaan yang tidak menentu dan terus digunakan sebagai bahan eksperimen.

Pada masa sama, saya juga tertarik dengan kenyataan Kementerian Pendidikan baru-baru ini, menyatakan ramai pelajar asing menjadikan Malaysia sebagai tempat untuk mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.

Kenyataan itu sebenarnya boleh dipertikaikan kerana majoriti pelajar asing yang datang melanjutkan pelajaran ke negara ini, memilih Insititut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang menggunakan sukatan pelajaran atau menawarkan ijazah daripada universiti negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom atau Australia.

Hanya segelintir sahaja pelajar asing yang memilih untuk melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan ia sebenarnya kayu pengukur sama ada ijazah daripada IPTA negara ini diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Malah, ramai juga ibu bapa yang sanggup menghantar anak mereka belajar di universiti luar negara seperti Cambridge, MIT atau ke NUS (National University of Singapore) sendiri, yang sebenarnya, adalah milik kerajaan kerana yakin mengenai tahap serta kualiti ijazah yang dikeluarkan institut pengajian ini.

Dengan tahun 2020 tinggal enam tahun lagi, sebelum negara mencapai taraf negara maju, adakah sistem pendidikan Malaysia akan dapat berkembang sama seperti yang ada di negara maju lain?

Atau ia akan terus menjadi bahan eksperimen serta uji kaji apabila setiap kali Menteri Pendidikan bertukar, akan  memperkenalkan dasar baru seperti kata pepatah ‘setiap kali ombak datang, setiap kali itulah pantai berubah’.

Atas sebab itu, perubahan terhadap sistem pendidikan negara perlu dilakukan secara menyeluruh atau dengan kata lain ‘total overhaul’ dengan menjadikan asas pendidikan awal sebagai asas sebelum beralih ke sekolah rendah, menengah dan IPT.

Melaluinya, barulah kerajaan dapat menjadikan sistem pendidikan negara lebih mantap, dinamik serta progresif serta melahirkan graduan yang dapat bersaing dalam pasaran pekerjaan dan bukan menjadikan tanggungjawab kepada kerajaan untuk mencipta pasaran pekerjaan kepada mereka sekaligus menjadi beban kepada ekonomi negara.

Selagi tidak ada kemajuan dalam sistem pendidikan negara, Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Dong Zong, PAGE (Persatuan Ibu Bapa untuk Pendidikan Malaysia) akan terus menyalahkan kerajaan BN kerana gagal membawa sistem pendidikan negara menjadi benar-benar dinamik.

Walaupun suara mereka ini kurang mendapat perhatian Putrajaya tetapi golongan inilah akan dapat mempengaruhi pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti, terutama di kawasan bandar serta separa bandar yang amat kritikal terhadap isu pendidikan anak-anak mereka. – 20 September, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments