Opinion

Kepimpinan kerajaan dalam mencari keadilan MH17

Hari ini 23 Julai 2014, seramai 222 Ahli Parlimen Malaysia akan mengenepikan agenda politik masing-masing dalam satu sidang khas Parlimen Malaysia bagi mengutuk tindakan tidak berperikemanusiaan berkaitan nahas pesawat MH17.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan membentangkan usul berkenaan tepat jam 10 pagi sebelum dibahaskan ahli Parlimen bagi menghasilkan suatu suara, suatu ketetapan dan pendirian Malaysia atas apa yang menimpa pesawat malang yang dalam perjalanan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur.

Pelbagai analisis, andaian sudah ditulis ramai pihak dari seluruh dunia berhubung apa yang berlaku kepada pesawat MH17 dan sesungguhnya, tiada negara di dunia ini dapat merasai apa yang seluruh rakyat Malaysia rasakan ketika ini, kehilangan dua pesawat dalam tempoh empat bulan membabitkan seramai lebih 500 penumpang termasuk anak kapal.

Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan takziah kepada semua keluarga serta waris penumpang MH17 dan tiada kata-kata yang dapat diucapkan bagi menenangkan anda semua atas apa yang terjadi.

Sebaik perdana menteri mengumumkan sidang khas Parlimen berkenaan, Jumaat lalu,  semua pemimpin utama pembangkang bermula daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim hinggalah ke Lim Guan Eng dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Najib untuk menangani tragedi MH17.

Di sinilah, kepimpinan Najib akan diuji tambahan pula janjinya pada Ahad lalu untuk membawa pulang mayat penumpang dan anak kapal MH17 sebelum Aidilfitri yang bermakna beliau hanya mempunyai masa selama seminggu untuk mengotakannya.

'Kepakaran' Najib mengadakan rundingan sehingga mayat penumpang serta anak kapal berjaya dibawa keluar dari kawasan nahas dan kini, dalam perjalanan menuju ke Belanda membuka mata dunia terutama sekali pemimpin Barat.

Selain itu, penyerahan 'kotak hitam' MH17 oleh puak pemisah Ukraine diketuai Ketuanya, Alexander Boradai terus kepada kerajaan Malaysia membuktikan betapa imej Malaysia sememangnya, mempunyai nilai di peringkat antarabangsa.

Namun, semua mengetahui rundingan yang dilakukan Najib bukan tugas mudah kerana ia membabitkan kuasa besar dunia, iaitu Rusia malah, daripada 11 negara yang rakyat mereka terbabit dalam tragedi MH17, tiada suatu negara yang benar-benar mengeluarkan kata-kata tegas terhadap Rusia kecuali Australia.

Selain itu, Malaysia terutama sekali Najib perlu berhati-hati dengan teori konspirasi yang timbul akibat tragedi MH17 ini, kerana jelas terdapat usaha untuk melaga-lagakan negara-negara Eropah dengan Rusia dan ia jelas dengan laporan media massa Barat.

Sama ada pejuang pemisah Ukraine yang dikatakan didokong Rusia menembak pesawat Boeing 777-200 itu menggunakan peluru berpandu atau tidak, ia masih lagi satu teori kerana masih belum disahkan secara rasmi, tetapi dengan pembabitan kuasa besar seperti Rusia dalam tragedi seperti ini, pemimpin antarabangsa terpaksa mengambil pendekatan yang berhati-hati.

Hal ini, sebenarnya, bukan suatu perkara yang memelikkan kerana ia juga terjadi dalam isu Palestin apabila rejim Zionis bertindak sesuka hati membunuh rakyat Palestin tetapi tiada pemimpin besar dunia yang boleh bersuara dengan tegas disebabkan negara Israel didokong Amerika Syarikat.

Atas sebab itu, pada ketika ini, Malaysia amat berharap sumbangannya kepada masyarakat antarabangsa melalui peranan aktif dalam NAM, OIC, ASEAN dan PBB diambil kira bagi membantu negara dalam mendapatkan semula semua mayat penumpang MH17.

Di sinilah, ujian sebenar Malaysia bagi melihat sama ada segala peranan aktif yang dimainkan di peringkat antarabangsa membuahkan hasil dengan negara kuasa besar dunia berganding bahu bagi membolehkan usaha mencari serta menyiasat apa yang sebenarnya, berlaku pada MH17 dapat dilaksanakan dengan seberapa segera.

Jika dilihat, peranan aktif Malaysia di peringkat antarabangsa dimulakan Tun Dr Mahathir Mohamad terutama sekali dalam isu Palestin selain berjaya menyelesaikan beberapa konflik serantau seperti Selatan Filipina tetapi adakah dunia akan bersama dengan Malaysia bagi menuntut hak keadilan atas apa yang menimpa MH17.

Dapat diperhatikan dalam nahas MH17 ini, dunia masih terbahagi kepada dua, iaitu Amerika Syarikat serta Rusia, apa sahaja yang berlaku yang mempunyai kepentingan membabitkan dua kuasa besar dunia ini, tidak banyak negara yang berani untuk masuk campur secara langsung.

Dan sebab itu, rakyat Malaysia yang kini secara lahiriah terbahagi kepada dua, dan selama ini, terlalu sibuk dengan agenda politik perlu mengenepikan segala pegangan dan kepentingan politik untuk berdiri bersama-sama menyokong apa yang sedang diusahakan kerajaan pimpinan Najib.

Sejak lebih setahun selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), lanskap politik rakyat negara ini, jelas terpisah dengan masyarakat di kawasan bandar serta pinggir begitu kuat memberikan sokongan kepada pembangkang manakala di luar bandar terus menjadi simpanan tetap kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Bagi masyarakat bandar dan pinggir bandar, segala apa yang dilakukan kerajaan BN adalah salah dan langsung tidak menggambarkan kehendak mereka sekali gus menyebabkan mereka bertindak semakin menjauhi kerajaan.

Malah, dalam tragedi MH370, masih ramai di kalangan rakyat negara ini, yang masih tidak yakin dengan cara kerajaan mengendalikan nahas berkenaan hingga timbul pelbagai tohmahan dan cacian kerajaan lambat bertindak selain cuba memanupulasikan perkara sebenar.

Saya berharap perkara itu tidak terjadi dalam tragedi MH17 dan walaupun, jelas masih ada pihak yang cuba menyalahkan kerajaan dan MAS seperti kenyataan Dewan Pemuda PAS mengenai laluan penerbangan MH17, ia seharusnya tidak mewakili suara majoriti rakyat negara ini.

Bagaimanapun, saya juga hairan dengan sikap rakyat negara ini, yang selama ini, begitu asyik mengadakan tunjuk perasaaan membantah pelbagai kekejaman berlaku di negara lain.

Sebagai contoh tunjuk perasaan untuk isu Myanmar, Mesir, Palestin dan sebagainya, tetapi tiada suatu Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) atau sayap Pemuda mana-mana parti politik kecuali Pemuda Barisan Nasional (BN) yang membuat tunjuk perasaan semalam bagi melahirkan rasa marah terhadap apa yang menimpa MH17.

Ketika nahas MH370 masih terus lagi menjadi tanda tanya dan usaha mengesan pesawat berkenaan terus dilakukan di Selatan Lautan Hindi, tragedi MH17 sebenarnya, lebih kronik kerana ia membabikan pencabulan undang-undang antaranbangsa.  Dengan kata lain, sekiranya benar, pesawat MH17 itu ditembak, ia adalah suatu tindakan ketenteraan.

Saya percaya jika pesawat itu adalah milik Amerika Syarikat atau mana-mana kuasa besar dunia yang lain, sudah pasti tindak balas yang akan dilakukan lebih dahsyat hingga boleh menjurus kepada peperangan.

Tetapi kita akur Malaysia adalah sebuah negara kecil yang hanya mempunyai suara untuk meminta bukan suara untuk mengarahkan dan sebab itu, dapat dilihat walaupun tragedi MH17 sudah masuk hari ketujuh ia berlaku, masih tiada sebarang tindakan konkrit dapat diambil dan apa yang dapat dilihat adalah sikap tuding menuding jari negara Barat.

Amat jelas apa yang boleh kita lakukan adalah merayu, mengecam dan meminta pertolongan dan itulah yang dilakukan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai serta Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman yang kini berada di Ukraine, bagi membolehkan pasukan penyelamat Malaysia masuk ke kawasan nahas.

Apa yang pasti rakyat terus menanti percaturan terbaru Najib membawa pulang mereka yang terkorban dalam nahas MH17, dan ketika ini, kebijaksanaan serta kredibiliti beliau di peringkat antarabangsa memainkan peranan yang amat kuat.

Jika peranan yang dimainkan dua menteri yang kini berada di Ukraine berdepan jalan buntu, mungkin sudah sampai masanya, Najib sendiri 'terbang' ke Rusia bertemu dengan Presiden Rusia Vladimir Putin sebelum ke Ukraine bagi memberikan isyart jelas betapa Malaysia amat-amat mahu menyelesaikan tragedi MH17 secepat mungkin terutama sekali dalam mencari keadilan kepada mangsa pesawat malang berkenaan.

Ia termasuk mencari keadilan kepada MH17, untuk merungkai sama ada persoalan pesawat ini, benar-benar ditembak, siapa yang menembak dan sekali gus membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Seharusnya, Najib mengumumkan kepada rakyat apa yang akan dan bakal dilakukan Malaysia bagi menyelesaikan kemelut yang melanda MH17 kerana seluruh negara kini bergantung kepadanya.

Tindakan pantas serta keupayaan untuk merencanakan strategi baru bagi menyelesaikan tragedi ini, amat dituntut pada masa kini, jika tidak rakyat terus akan menuduh kerajaan lambat bertindak dan membelakangkan perasaan waris serta keluarga penumpang serta anak kapal MH17.

Misi jelas untuk mendapat keadilan MH17 perlu dilakukan kerajaan dan Najib secepat mungkin bagi sekurang-kurangnya 'mengubati' misteri MH370 yang perlu diakui diuruskan dengan 'kelam-kabut' tetapi sehingga kini masih tidak diketahui khabar berita sejak hilang 8 Mac lalu. – 23 Julai, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments