Opinion

Ketelusan pengurusan kewangan faktor survival politik BN (Bahagian 2)

Apabila Ketua Pegawai Esekutif (CEO) MRTCorp Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan untuk meletakkan jawatan berikutan insiden kematian 3 pekerja asing projek prasarana terbesar negara, MRT di tapak pembinaan di Kota Damansara, baru-baru ini, ramai yang memuji tindakan beliau.

Apa tidaknya, kredibiliti dan kewibawaan Azhar untuk meletakkan jawatan bagi memikul tanggungjawab atas insiden itu, sesuatu yang jarang berlaku di negara ini, membuktikan masih ada pemimpin di Malaysia yang tidak mudah menyalahkan orang lain atas apa yang berlaku dalam organisasinya.

Kebiasaannya, di Malaysia, cara pemimpin untuk mengelak daripada dipersalah atau dipertanggungjawabkan adalah dengan berdiam diri, menyalahkan orang bawahan atau tindakan saman di mahkamah.

Ketelusan adalah perkara yang paling dituntut dalam setiap pimpinan sama ada di peringkat kerajaan, parti atau syarikat kerana ia adalah ciri yang wajib ada dalam diri setiap pemimpin sekali gus membolehkan pemimpin itu dikenang dalam sejarah.

Justeru apabila kerajaan mengumumkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua 2014, berada pada paras 6%, ramai yang memandang sinis pengumuman berkenaan dan meragui ketelusan maklumat serta pengumuman berkenaan.

Sepatutnya, pengumuman KDNK itu disambut dengan rasa syukur kerana ia membuktikan kerajaan terus mampu untuk menggerakkan enjin ekonomi negara dan sudah pasti rakyat merasai kemakmurannya.

Bagaimanapun, perasaaan itu tidak sampai ke peringkat akar umbi berikutan rakyat terus terhimpit dengan kos sara hidup tinggi terutama sekali yang tinggal di bandar raya dan kemarahan terus dipendam dalam hati apabila menyaksikan serta melihat kerajaan tidak berhemah dalam berbelanja wang mereka.

Persepsi itu diburukkan lagi dengan penarafan rating agensi ekonomi tempatan dan antarabangsa yang dilihat begitu bercanggah apabila terus melaporkan iklim ekonomi Malaysia tidak bertambah baik dengan tahap hutang negara dikatakan melebihi daripada paras siling 55% seperti yang dinyatakan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) baru-baru ini.

Percanggahan perangkaan dan kenyataan antara agensi rating antarabangsa serta tempatan dengan angka yang diterbitkan kerajaan, jelas mengelirukan rakyat dan ia diburukkan lagi dengan kegagalan Putrajaya untuk menyangkal segala kajian yang diterbitkan institut terbabit.

Sebaliknya, Putrajaya terus seakan 'syok' sendiri dengan kajian mengenai tahap daya saing negara serta kadar pengangguran yang menurun daripada meneliti apa sebenarnya, yang berlaku di peringkat akar umbi rakyat khususnya di kawasan bandar serta luar bandar.

Pada masa sama, sikap Putrajaya yang terus cuba menyakinkan rakyat mengenai 'hebatnya' ekonomi negara diteruskan dengan kenyataan Unit Perancang Ekonomi Negara (EPU) bahawa taraf hidup rakyat meningkat dengan pendapatan isu rumah melebihi RM5,900 sebulan pada 2014.

Namun dianggarkan masih terdapat kira-kira 30% daripada isi rumah Malaysia berpendapatan kurang RM3,000, dan adakah jumlah berkenaan cukup selesa itu sebuah keluarga tinggal di kawasan bandar atau luar bandar.

Sebab itu, rakyat terus tidak dapat menerima baik kenyataan Putrajaya Malaysia akan mencapai pendapatan per kapita USD15,000 atau kira-kira RM50,000 menjelang 2020.

Adakah semua angka positif ini, benar-benar diterjemahkan dengan kehidupan seharian rakyat Malaysia di kawasan bandar serta pinggir bandar, yang nyata-nyata terus mengeluh tersepit dengan kenaikan kos sara hidup terutama sekali barangan keperluan seharian.

Malah, 'Gini Coefficient' yang merupakan indeks antarabangsa digunakan sebagai penanda aras dan kayu pengukur terhadap ketidakseimbangan pendapatan dalam sesebuah negara menunjukkan Malaysia berada paling atas dalam negara Asean pada 2014.

Mengikut indeks berkenaan, semakin tinggi nilai indeks tersebut semakin melebarlah jurang pendapatan antara orang kaya vs orang miskin. Berdasarkan kajian Bank Dunia, jurang pendapatan di Malaysia semakin naik mendadak daripada 37.91 pada 2004 kepada 46.21 tahun 2010 mengatasi Filipina di tempat ke-2 dan Singapura di tempat ke-3.

Sebenarnya, ada beberapa faktor dan punca yang menyebabkan jurang pendapatan antara orang kaya vs orang miskin di Malaysia antaranya, adalah lambakan pekerja asing yang pastinya dibayar upah yang murah selain sepanjang 15 tahun lepas, gaji pekerja di Malaysia terkebelakang berbanding dengan negara Asean lain.

Selain itu, ramai yang tidak sedar pendapatan negara sebahagiannya datang daripada cukai pendapatan individu yang mana setakat hingga hari ini, hanya lebih 1 juta daripada 10.8 juta tenaga kerja layak untuk membayar cukai dan ia diburukkan lagi dengan kuasa beli rakyat Malaysia yang semakin lemah berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Seperti yang saya terangkan dalam Bahagian 1 artikel ini, yang diterbitkan dua hari sebelum hari kemerdekaan negara yang ke-57, amat penting bagi kerajaan BN mempamerkan sikap mereka benar-benar telus dalam menguruskan kewangan negara.

Ketika ini, ramai yang melihat ekonomi negara dipacu kerancakan projek infrastruktur awam terbesar yang pernah diuruskan negara iaitu MRT dengan kos dianggarkan lebih RM40 bilion dan dijangkakan akan melebihi RM100 bilion apabila siap sepenuhnya.

Pada mulanya, projek MRT ini dirancang sebagai projek PFI tetapi kerajaan kemudian membuat pusingan U dengan mengambil alih keseluruhan projek dan berbelanja besar dalam tempoh kira-kira lima tahun dan ini tidak termasuk perbelanjaan seperti projek PR1MA, BR1M serta subsidi minyak seakan berbelanja untuk 'last kopek'.

Bagi projek sebesar itu, sudah pasti proses perancangan dan pelaksanaannya perlu dilakukan dengan begitu teliti dalam memastikan ia berjaya dalam tempoh masa ditetapkan selain memastikan wang rakyat dibelanja dengan sebaik mungkin.

Namun, wujud juga persoalan mengapa pakej projek MRT itu dibahagi-bahagikan antara kontraktor utama hingga kemungkinan sukar untuk pemilik projek iaitu MRTCorp membuat pemantauan.

Selain itu, adakah subkontraktor projek MRT ini, benar-benar mematuhi piawaian keselamatan serta kesihatan pekerja di tapak pembinaan disebabkan pengurusan di tapak projek MRT boleh dilihat orang awam tanpa melihat hadangan atau aspek keselamatan sesuatu yang wajib digunakan dalam projek MRT hingga mereka masih boleh melalui di bawah kawasan pembinaan MRT.

Saya sendiri melalui kawasan pembinaan di Kota Damansara dan memang jelas soal keselamatan tidak menjadi keutamaan sekali gus menampakkan standard pengurusan dan pengawasan industri pembinaan di Malaysia tidak selari dengan visi Malaysia negara maju 2020. Apa guna melaung-laungkan Malaysia sebagai negara maju pada 2020 tetapi cara pengurusan masih lagi mentaliti dunia ketiga dan cara yang lama.

Semua ini, jelas memberikan pelbagai persepsi negatif kepada kerajaan sama ada projek mega awam ini, benar-benar dapat memberikan pulangan terbaik kepada rakyat atau sebaliknya apa yang saya perhatikan rakyat merasakan projek-projek mega ini lebih menambah hutang kerajaan pada masa panjang dan memberikan persepsi BN hendak memerah kewangan negara dengan sebanyak serta secepat mungkin selagi masih berkuasa.

Golongan muda terutamanya, amat bimbang masa depan serta simpanan hari tua mereka akan dibelanjakan kerajaan masa kini. Sudah pasti rakyat mengharapkan yang terbaik daripada wang mereka untuk diuruskan kerajaan sekaligus memastikan kehidupan mereka terus sejahtera dan makmur selain tidak tersepit dengan isu kos sara hidup tinggi.

Walaupun kerajaan berterusan menyatakan kenaikan harga barangan adalah fenomena global tetapi pada masa sama, rakyat terus memerhatikan Putrajaya membuat pelbagai langkah yang bertentangan dengan saranan kepada rakyat iaitu berjimat.

Sama ada persoalan mengenai paras hutang negara sudah melebihi tahap siling yang dibenarkan sukar untuk rakyat biasa memahaminya, dan atas kemungkinan itu ia dilihat bukan suatu isu besar yang layak diperdebatkan.

Namun sudah pasti pakar kewangan serta ekonomi Putrajaya mengetahui dengan pelaksanaan Sistem Perakaunan Akruan yang akan dilaksanakan 1 Januari tahun depan di peringkat kerajaan Pusat, segala perkara yang berkaitan dengan kewangan negara akan 'dibogelkan' untuk pengetahuan serta tatapan rakyat.

Ketika ini, rakyat akan benar-benar dapat mengetahui sama ada kerajaan berbelanja secara berhemah atau tidak seperti yang sering dilaungkan pemimpinnya, selain mengetahui secara tepat berapakah hutang sebenar kerajaan termasuk segala pinjaman atau bon yang diterbitkan dengan jaminan kerajaan.

Ini semua amat penting untuk memastikan kerajaan dan rakyat benar-benar mengetahui segala wang yang dibelanjakan sama ada dalam bentuk 'on balance sheet dan 'off balance sheet' berada dalam lingkungan dibenarkan. Ia termasuk apa-apa jaminan, liabiliti yang tidak dilaporkan Sistem Akaun Tunai didedahkan dalam Perakaunan Akruan.

Tidak pasti Putrajaya sedar atau tidak segala rungutan rakyat mengenai kenaikan kos sara hidup yang banyak diluahkan dalam medium Internet melalui media sosial atau portal berita yang seharusnya diberikan perhatian serius.

Kebebasan medium Internet melaporkan segala rungutan dan isu rakyat berbanding media arus perdana juga menyebabkan rakyat berasa kerajaan tidak telus dalam menguruskan pengurusan kewangannya.

Ia membuatkan rakyat jelik dan jemu serta tidak akan lagi mempercayai segala apa yang dinyatakan Putrajaya kerana mereka tidak merasai kenikmatan hidup hasil angka yang hanya cantik di atas kertas.

Rakyat amat mengimpikan sebuah kehidupan yang merangkumi dan menyeluruh daripada segala aspek kualiti kehidupan serta membabitkan segenap lapisan bukan hanya kelompok terpilih semata-mata.

Amat sayang sekali, jika negara Malaysia yang kaya dengan tanah subur, hasil mahsul seperti petroleum, balak, gas asli dan populasi golongan belia yang besar tidak dimanfaatkan dengan sebaiknya.

Tidak dapat diterima akal sama sekali bagaimana sebuah negara kecil dengan jumlah penduduk sekitar hanya 30 juta mempunyai indeks jurang pendapatan yang sangat besar seperti yang ada sekarang ini.

Percanggahan antara angka 'bombastik' mengenai kewangan serta ekonomi kerajaan dengan apa yang dirasai rakyat, semakin melebar dan jurang itulah terus digunakan pembangkang bagi mengelirukan rakyat sekali gus memberikan keyakinan terhadap mereka untuk merampas Putrajaya pada PRU14 nanti.

BN perlu membuka mata mengenai pengurusan kewangan kerajaan kerana isu 'kaya dan mentega serta belacan dan keju' inilah yang amat dekat di hati rakyat bukannya percanggahan politik yang tidak berkesudahan dalam PR boleh menjamin kejayaan parti ini dalam pilihan raya umum.

Sudah pasti rakyat tidak akan menolak sebarang usaha yang membawa kebaikan kepada negara cuma dalam keghairahan Putrajaya berbelanja besar membina semua infrastruktur tanpa memikirkan kewangan negara pada masa depan dan rakyat terus berfikir ia hanya bertujuan memberikan kontrak dan memberikan kekayaan kepada kelompok tertentu. – 10 September, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments