Opinion

Lantik ketua saintis data negara dulu sebelum laksana ‘big data’

Apabila artikel saya bertajuk Mampukah Putrajaya Eksploitasi Penggunaan 'Big Data' yang diterbitkan portal berita ini pada 21 Mac lalu, seorang pengikut twitter saya, @zadilhanief bertanyakan mengenai perkembangan mengenai pelantikan ketua pegawai saintis data negara yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, tahun lalu.

Terus terang saya tidak mengetahui perkembangan mengenai pelantikan jawatan berkenaan dan dengan tiada sebarang hebahan mengenai inisiatif 'big data' negara ini ia sebenarnya, membuktikan kerajaan hilang fokus dalam perlumbaan komunikasi teknologi maklumat (ICT) di peringkat global.

Ini kerana ketiadaan seorang individu yang berkelayakan dan profesional untuk dilantik menjadi ketua saintis data negara sudah pasti membantutkan usaha untuk mengeksploitasi penggunaan 'big data' atau dalam Bahasa Melayu dikenali sebagai Data Raya. Sebelum kita membincangkan mengenai kepentingan 'big data' ini kepada negara adalah lebih baik rakyat memahami apa sebenarnya yang ditakrifkan sebagai 'big data'ini.

Ia sebenarnya ditakrifkan sebagai kepelbagaian aset maklumat dalam jumlah besar yang berkepentingan tinggi dalam masyarakat serta menuntut kepada pemprosesan maklumat yang inovatif untuk digunakan bagi tujuan membuat keputusan sekali gus meningkatkan pelbagai peluang seperti ekonomi dan wawasan sesebuah organisasi atau negara.

Sumber maklumat untuk 'big data' ini datang daripada semua jenis alat telekomunikasi seperti video, emel, media sosial dan telefon bimbit itu sendiri. 

Komponen utama dalam ekosistem 'big data' ini adalah sosial, kerajaan serta ekonomi yang bertindak sebagai aplikasi dengan melombong 'mining', analisis, sintesis dan ramalan adalah elemen yang membentuk ekosistem 'big data' bagi tujuan mengeksploitasinya melalui maklumat diperoleh daripada media tradisional, media sosial, data transaksi serta statistik yang disediakan kerajaan.

Menyedari kepentingan 'big data' ini, saya pernah dimaklumkan kerajaan ada memperuntukkan sejumlah lebih RM20 juta sebagai permulaan kepada projek rintis analitis data raya sektor awam (DRSA) sebagai inisiatif negara terhadap 'big data' ini pada 2014. Namun difahamkan agensi kerajaan yang diberikan tanggungjawab melaksanakan DRSA iaitu Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) membuat keputusan untuk membeli kelengkapan dan perkakasan terlebih dulu.

Jika ini benar-benar berlaku, ia sesuatu yang malang buat Malaysia kerana apa yang seharusnya dilakukan adalah melantik dulu ketua saintis data negara yang kemudian diberikan tanggungjawab untuk melaksanakan projek DRSA dengan melihat ekosistem 'big data' negara secara keseluruhan.

Pembelian kelengkapan dan perkakasan terlebih dulu hanya akan menjadi satu pembaziran terhadap wang rakyat disebabkan perkara paling utama dan penting untuk dikenal pasti adalah ekosistem data raya yang hendak dieksploitasi.

Selain itu keutamaan juga perlu diletakkan terhadap 'engagement' dengan pihak berkepentingan 'stakeholders' dalam dan luar negara dan dari situ barulah, rangka kerja dibuat.

Perancangan teliti terhadap inisiatif 'big data' negara ini, amat perlu memandangkan ia adalah bidang ekonomi baru yang diterokai negara-negara maju dalam usaha untuk meletakkan negara terus menjadi pemain utama dalam rantaian pengedaran global atau 'global supply chain'.

Sebagai contoh, Singapura yang sudah melaksanakan inisiatif 'big data' ini secara terbuka menganggarkan keupayaan untuk mengeksploitasi data ini, membolehkan negara berkenaan mendapat pertambahan antara S$10 bilion hingga S$17 bilion setahun kepada pendapatan kerajaan.

Inisiatif 'big data' Singapura yang diletakkan di bawah bidang kuasa Lembaga Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (IDA) juga mengumumkan pelantikan individu profesional awal tahun ini, yang berkelayakan serta mempunyai pengalaman luas bagi menerajui inisiatif ini.

Singapura yang memulakan inisiatif 'big data' ini memperuntukkan S$100 juta dalam bajet 2012 dengan tujuan menggunakan data-data ini sebagai fungsi dalam kerajaan.

Ia juga untuk mencipta bakat baru dalam bidang ICT selain membina 'big data' ini sebagai analisis profesional standard dalam kerajaan negara berkenaan.

Hasilnya sejumlah 2,000 rakyat negara itu dilatih secara profesional dalam inisiatif ini selain Lembaga Pengangkutan Darat (LTA) Singapura mampu menganalisis pergerakan kenderaan dalam negara itu dengan lebih efisien sekali gus menjimatkan masa perjalanan.

Secara perbandingan pula, negara maju lain seperti United Kingdom memperuntukkan sejumlah 189 juta pound sterling dalam bajet 2013 dan mendapat hasil permulaan dalam bidang pencegahan jenayah apabila polis negara berkenaan mampu menjimatkan masa daripada 4 jam kepada hanya 2 minit untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai komuniti, jenayah atau perlakuan antisosial.

Jika diteliti terhadap kejayaan negara maju yang sudah melaksanakan inisiatif 'big data' ini, semuanya fokus terhadap satu-satu bidang bagi memastikan kejayaannya terlebih dulu sebelum diperluaskan ke bidang lain.

Singapura mengeksploitasi 'big data' untuk bidang pengangkutan; United Kingdom, bidang pencegahan jenayah'; Amerika Syarikat, bidang penjagaan kesihatan manakala China dalam bidang trafik.

Atas sebab itu, adalah amat perlu bagi Putrajaya mengenal pasti bidang utama bagi tujuan penggunaan 'big data' ini dalam memastikan fokus terhadap analisis data-data ini benar dapat dimanfaatkan kepada rakyat.

Perlu juga diingatkan penggunaan 'big data' ini akan dapat mewujudkan peluang kerja baru kepada generasi Y dan Z yang begitu celik dalam bidang Internet terutama sekali media sosial.

Saya difahamkan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDEC) ada membentangkan kertas kerja yang menarik kepada kerajaan tetapi sama ada Putrajaya mahu menggunakan apa yang dirancang MDEC atau terus bergantung kepada kakitangan awam yang kurang mempunyai pendedahan dalam bidang 'big data'.

Putrajaya sebenarnya, tidak kekurangan 'vehicle' dalam melaksanakan inisiatif 'big data' ini, kerana selain MDEC dan Mampu, Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) juga boleh digembleng bagi tujuan ini.

Apa yang penting, adalah memastikan tidak berlaku pertindihan antara jabatan kerajaan dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam pelaksanaan 'big data' ini sehingga boleh membantutkan penggunaannya demi kepentingan negara.

Ketika ini, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) diberikan tanggungjawab dengan bantuan Mampu untuk membangunkan rangka kerja 'big data' Malaysia manakala MDEC pula akan memulakan pelaksanaannya di peringkat sektor swasta.

Kerajaan sememangnya menyedari potensi 'big data' ini dengan meletakkan sasaran sebanyak 35% dalam perkhidmatan ICT negara pada 2020 sekali gus meningkatkan ekonomi digital negara.

Ini kerana dunia menjangkakan data adalah 'sumber minyak' terbaru di peringkat global dalam kurun ke 21 kerana kemapanan ekonomi sesebuah negara diukur pada tahap bagaimana mampu untuk mengeksploitasi data-data ini bagi mewujudkan peluang kerja serta ekonomi baru.

Sehubungan itu, Inisiatif 'Big Data' negara perlu dirancang dengan teliti dengan merangkumi pelan jangka pendek, sederhana dan panjang dengan kerajaan yang perlu menjadi penggerak utama dalam semua pelan ini.

Seharusnya, Putrajaya sudah mengenal pasti bidang kritikal yang boleh dieksploitasi dengan penggunaan 'big data' seperti kesihatan dan keselamatan yang bakal memberikan penjimatan terhadap bajet kerajaan selain melonjakkan ekonomi negara menjadi peneraju dalam industri kreatif.

Usaha kerajaan ke arah menjadikan industri kreatif sebagai penyumbang ekonomi negara pada masa depan sebenarnya sudah dapat disaksikan dengan perwujudan pelbagai inisiatif.

Tetapi apa yang masih kurang adalah fokus dan semangat dalam pelaksanaannya bagi memastikan 'big data' ini benar-benar menjadi sumber minyak kepada Malaysia menggantikan petroleum.

Sekurang-kurangnya Putrajaya perlu bertindak bijak dengan memasukkan inisiatif 'big data' Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) negara kerana kejayaan dan manfaatnya sudah terbukti di peringkat antarabangsa bukannya industri burung walit yang masih tidak tahu impaknya kepada ekonomi negara memandangkan pasaran terbesarnya iaitu China masih belum dapat dieksploitasi secara rasmi. – 1 April, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments