Opinion

LKAN terus jadi ‘peluru’ pembangkang belasah Umno dan BN

Nampaknya kerajaan Barisan Nasional (BN) di Putrajaya terus tidak belajar dan membiarkan pelbagai isu dalam Laporan Ketua Audit negara (LKAN) yang kini dibentangkan tiga kali setahun menjadi ‘peluru’ baru kepada pembangkang untuk membelasah serta menghentam pentadbiran kerajaan yang digambarkan sebagai lemah dan tidak kompeten dalam menguruskan wang rakyat secara berhemah.

Walaupun, hasrat Datuk Seri Najib Razak selaku perdana menteri untuk menjadikan pentadbiran kerajaan BN lebih telus dan berkredibiliti melalui pembentangan LKAN tiga kali setahun hasil inisiatif Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2.0 sejak tahun lalu, tetapi kurangnya tindakan pencegahan dan pemantauan yang diambil kepada kakitangan perkhidmatan awam menyaksikan Ahli Parlimen BN terpaksa ‘bersilat’ dalam mempertahankan kelemahan kerajaan setiap kali LKAN dibentangkan.

Sebagai pengerusi PAC, saya amat sedih dan terkilan kerana setiap kali pembentangan LKAN, pelbagai isu terus dilaporkan dalam LKAN dan LKAN siri 3 2013 yang dibentangkan Isnin lalu, menyaksikan peningkatan dalam jumlah kementerian serta isu yang perlu dipanggil PAC dalam memastikan wang rakyat tidak terus dibelanjakan sewenang-wenangnya.

Sejak dipilih menjadi pengerusi PAC tahun lalu, PAC sudah mengadakan lebih 40 mesyuarat dan memanggil lebih 10 kementerian, jabatan serta agensi kerajaan dan ia adalah bukti keseriusan jawatankuasa ini dalam menjalankan tanggungjawab dan amanah rakyat.

Ada juga pihak cuba memberikan gambaran PAC menyembunyikan sesuatu dengan tidak menyiasat 1MDB, tetapi seperti dinyatakan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang, syarikat berkenaan sudah diaudit salah satu daripada empat firma audit terkemuka negara.

Untuk rekod, 1MDB pernah turut diaudit dua daripada empat firma terkemuka berkenaan dan sudah pasti firma audit yang memperakukan akaun 1MDB mempertaruhkan kredibiliti dan imej mereka.

Tidak cukup dengan diaudit firma audit terkemuka itu, segala persoalan mengenai 1MDB yang dibangkitkan pembangkang dalam sidang Dewan Rakyat dijawab timbalan-timbalan menteri kewangan.

Jika satu hari kelak kerajaan membuat keputusan untuk Jabatan Audit Negara (JAN) mengaudit syarikat 1MDB, sudah pasti PAC akan memanggil syarikat berkenaan bagi mendapatkan maklumat sebenarnya mengenai pelbagai isu yang dibangkitkan pembangkang dan dilaporkan media.

Buat pengetahuan umum sehingga kini, PAC penggal Parlimen ke-13 sudah membentangkan 9 laporan dan dijangkakan menjelang hari terakhir sidang Dewan Rakyat 27 November ini, sekurang-kurangnya tiga laporan PAC akan dibentangkan termasuk mengenai projek pembinaan lapangan terbang ‘hybrid’ KLIA2.

Sama ada pucuk pimpinan kerajaan BN yang juga pucuk pimpinan BN dan Umno sedar atau tidak, rakyat sentiasa meluat dan menyampah dengan pelbagai isu ketirisan, pembaziran dan pemborosan yang dilaporkan dalam LKAN kerana ia adalah wang mereka.

Sedar atau tidak, pembaziran wang rakyat yang terus berlaku ketika mereka terpaksa mengeluarkan belanja lebih akibat kenaikan harga barangan dan kos sara hidup terutama di kawasan bandar dan separuh bandar akan terus menghimpit BN dan Umno dalam persediaan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Tahun 2015 menyaksikan PRU14 hanya berbaki tiga tahun lagi dan ia menandakan terdapat sekurang-kurangnya 9 LKAN akan dibentangkan dan apakah Putrajaya dapat mencari ‘tonik’ terbaik dalam meningkatkan tahap serta mutu perkhidmatan awam dalam berbelanja dan menguruskan wang rakyat.

Ada di kalangan penjawat awam khususnya di peringkat tertinggi menyalahkan media kerana mensensasikan isu yang dilaporkan dalam LKAN tetapi tidak memberikan penekanan terhadap perkara positif dalam laporan berkenaan.

Sebenarnya, ia adalah tugas media untuk melaporkan mengenai pembaziran, pemborosan dan ketirisan wang rakyat, perkara positif sepatutnya perlu dan wajib berlaku dalam pentadbiran kerajaan tetapi perkara negatif tidak seharusnya berlaku dan atas sebab itu, LKAN adalah cermin kepada apa yang berlaku dalam pentadbiran serta pengurusan kerajaan.

Sebagai kerajaan bertanggungjawab, sudah pasti soal menguruskan wang rakyat dengan sebaik-baiknya perlu menjadi perkara paling utama kepada kerajaan dan mengelakkan daripada terus terjerumus dalam soal pembaziran, ketirisan, salah guna kuasa dan lebih teruk adalah rasuah.

Disebabkan kerajaan pusat adalah cermin kepada Umno dan begitu juga sebaliknya, imej serta persepsi negatif yang sering dilemparkan kepada kerajaan akan turut terpalit dengan Umno begitu juga sebaliknya.

Ketika ini, majoriti rakyat terutama sekali di kawasan bandar dan separuh bandar melihat Umno dan kerajaan tidak mahu langsung berubah dan lari daripada imej negatif dengan dikaitkan dengan salah guna kuasa, rasuah dan pembaziran.

Inilah perkara pokok yang terus menghantui Umno dan BN kerana dilihat gagal dalam menguruskan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab terhadap wang rakyat dengan berkesan serta telus.

Namun, perkara ini seakan tidak disedari Putrajaya yang terus dilihat gagal mengawal serta memantau dengan lebih berkesan perbelanjaan wang rakyat selain terus dilihat bersengkokol dengan penjawat awam gagal menjalankan tugas serta tanggungjawab mereka.

Kegagalan mengurus serta memantau wang rakyat ini, juga dilihat tidak dititikberatkan dalam Umno sendiri kerana saban tahun setiap kali ketika perhimpunan agung parti, ketirisan wang rakyat yang dilaporkan dalam LKAN tidak menjadi isu utama.

Rakyat melihat perwakilan Umno yang berhimpun di PWTC ketika perhimpunan agung parti tidak begitu kritikal dalam memperjuangkan nasib mereka terutama sekali mempersoalkan mengenai pengurusan wang rakyat...mungkin perwakilan tidak mahu menyinggung perasaan pemimpin Umno yang duduk di atas pentas.

Atas sebab itu, Umno terus dilihat terkongkong malah kadang-kadang terpisah dengan apa sebenarnya yang menjadi fokus utama rakyat dengan memperjuangkan isu-isu terlalu inklusif mengenai Islam dan Melayu.

Ini amat menghairankan kerana dalam ajaran Islam sendiri mahu umatnya sentiasa bersederhana dalam kehidupan dan sentiasa memikul amanah serta tanggungjawab yang diberikan terutama sekali berkaitan dengan wang rakyat.

Memang benar perjuangan Umno itu berteraskan agama, bangsa dan negara, sudah pasti soal menguruskan wang rakyat dengan telus, amanah serta bertanggungjawab turut merangkumi ketiga-tiga teras penjuangan Umno dan itulah yang sebenarnya, perlu menjadi fokus utama parti dalam menjadi juara rakyat.

Saya perlu akui sejak memikul tugas serta tanggungjawab sebagai pengerusi PAC ini, populariti sebagai pemimpin Umno tidak lagi menjadi keutamaan kerana ramai di dalam parti yang memandang serong tugas ini kerana dilihat sering cuba mencari kesalahan pemimpin kerajaan yang juga pemimpin Umno.

Bukan menjadi tugas dan keutamaan saya untuk menaikkan populariti dalam Umno kerana ia sama sekali tidak berguna jika kalah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) dan lebih teruk jika Umno kalah dalam PRU.

Atas sebab itu, saya percaya dengan memainkan usaha lebih berkesan dalam PAC, ia sedikit sebanyak akan dapat membantu memulihkan imej kerajaan dan Umno dalam memberikan gambaran positif kepada rakyat bahawa Umno sedar soal pengurusan wang rakyat ini, harus dijadikan keutamaan.

Perubahan pola sosial masyarakat di negara ini, yang semakin membesar di kawasan separuh bandar di kalangan golongan menengah atas dan bawah sebenarnya kurang terkesan dengan isu seperti sekolah vernakular dan Akta Hasutan.

Apa yang golongan ini, mahu dengari daripada Umno adalah bagaimana parti boleh menjadi juara kepada mereka supaya kerajaan dapat menguruskan wang mereka dengan lebih baik dan berkesan.

Golongan ini, yang juga kumpulan terbesar pembayar cukai di Malaysia mahu Umno menjadi kumpulan pendesak kepada kerajaan dalam memastikan kakitangan awam menjalankan tugas, tanggungjawab dan amanah mereka dengan telus serta berintegriti.

Mereka mahu keperitan mengenai kos sara hidup tinggi akibat kenaikan harga barangan menjadi fokus utama kepada Umno yang juga tulang belakang kepada kerajaan.

Keikhlasan dalam soal memperjuangkan hak rakyat melalui pengurusan kewangan kerajaan yang lebih cekap dan telus akan membolehkan rakyat kembali kepada Umno yang sering dilabelkan dengan pelbagai persepsi negatif seperti korup dan kronisme.

Tetapi apa yang berlaku kini sudah menjadi sebaliknya, apabila pembangkang pula yang dilihat menjuarai segala isu yang dilaporkan dalam LKAN dengan pemimpin kerajaan yang juga pemimpin Umno dilihat mempertahankan segala bentuk masalah dan lebih teruk apabila dituduh cuba menyembunyikan sesuatu dalam pentadbiran kerajaan

Jika strategi pemimpin Umno ini adalah untuk cuba mempertahankan kumpulan penjawat awam yang berjumlah kira-kira 1.4 juta ini dengan harapan mendapat undi mereka dalam PRU nanti, ia sama sekali tidak akan menjadi seperti kata pepatah ‘senjata makan tuan’.

Apa yang perlu dilakukan adalah supaya pemimpin kerajaan dan Umno ini, mengakui kesalahan serta kesilapan yang dilaporkan dalam LKAN dan segera mencari dan mengambil tindakan tanpa membiarkan ia berlarutan sehingga dimanupulasi pembangkang.

Dan di sinilah, letaknya kebijaksanaan pemimpin melihat dan menjangka apa sebenarnya, yang dimahukan rakyat serta mendengar keluhan mereka yang meluat apabila membaca mengenai LKAN.

Bukannya membiarkan LKAN terus dijadikan alat serta ‘peluru’ untuk pembangkang membelasah Umno dan BN yang tidak habis-habis diberikan persepsi negatif mengenai salah guna kuasa, rasuah, kronisme dan penyelewengan. – 14 November, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments