Opinion

Mangsa hidup MAS

Jika ada rekod untuk pemberhentian kerja paling ramai di Malaysia, sudah pasti nama Malaysia Airlines (MAS) akan terpahat dalam Malaysia Book Records sebagai rekod memberhentikan pekerja paling ramai di negara ini dalam satu tempoh.

Apa tidaknya, pelan pemulihan MAS yang diumumkan pemiliknya yang juga syarikat pelaburan kerajaan, Khazanah Nasional (Khazanah) akan menyaksikan seramai 6,000 pekerja MAS diberhentikan secara berperingkat dalam tempoh 3 tahun, semata-mata bagi menyelamatkan 'wau' negara ini.

Selepas mengumumkan pelan pemulihan MAS beberapa hari sebelum Hari Kemerdekaan ke-57, Khazanah tidak menunggu lama untuk mengecilkan saiz pekerja MAS yang kini dianggarkan seramai 20,000 orang dengan melantik konsultan asing sebagai mana amalan syarikat ini, dalam proses membuang pekerja syarikat penerbangan milik kerajaan ini.

Sama ada dengan membuang 6,000 pekerja MAS ini, akan membolehkan MAS kembali mencatat keuntungan atau tidak, ia sebenarnya bukan agenda utama Khazanah kerana yang pasti saiz operasi syarikat penerbangan ini perlu dikecilkan.

Jadi, 6,000 pekerja MAS akan meninggalkan syarikat ini, dan sudah pasti mereka ini, akan menjadi rebutan syarikat penerbangan lain terutama sekali syarikat tempatan seperti AirAsia dan Malindo Air.

Bukan suatu rahsia lagi, AirAsia akan menyerap seberapa ramai bekas pekerja MAS, dan ia sebenarnya suatu keuntungan kepada AirAsia kerana semua tenaga kerja ini, adalah mereka yang terlatih dan sudah masak dengan selok-belok industri penerbangan.

Tidak perlu bersusah payah mana-mana syarikat penerbangan untuk melatih bekas pekerja MAS, dan mahu tidak mahu ia adalah satu pembaziran sumber manusia yang cukup ketara.

Malah, difahamkan pada masa kini, kira-kira 50% kakitangan AirAsia terdiri daripada mereka yang pernah menyertai MAS dan mereka sudah pasti mengalu-alukan kedatangan rakan-rakan mereka yang diberhentikan itu.

Tetapi jika ditanya kepada bekas pekerja MAS yang sudah bekerja di AirAsia sama ada mereka sanggup kembali kepada syarikat penerbangan kerajaan ini, jawapannya sudah pasti tidak.

Mengapa tidak? Satu persoalan yang amat menarik untuk dikaji Khazanah dan pengurusan tertinggi MAS.

'Boss' AirAsia sendiri, Tan Sri Tony Fernandez secara terbuka menyatakan kesediaan menyambut seberapa ramai daripada 6,000 pekerja MAS yang akan diberhentikan itu.

Baguslah, sekurang-kurangnya semangat 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dipraktikkan dalam 'kerjasama' MAS dan AirAsia.

Walaupun sebelum ini, 'kerjasama' MAS dan AirAsia gagal pada 2012 sehingga mengakibatkan mereka didenda Suruhanjaya Anti Persaingan (MyCC) sebanyak RM10 juta setiap syarikat.

Namun, timbul persoalan pula apa yang terjadi kepada pekerja MAS yang terus bekerja dalam syarikat penerbangan kerajaan itu, ke mana hala tuju dan arah tujuan yang hendak dibawa Khazanah selepas ini.

Seperti yang pernah saya katakan banyak kali sebelum ini, pelan pemulihan Khazanah kali ini, lebih bersifat pemulihan atau penstrukturan kewangan, bagaimana pula dengan penstrukturan operasi?

Inilah yang dibimbangi pekerja MAS yang terus tinggal bekerja pada masa kini, kerana selain bimbang akan dibuang, mereka juga tertanya-tanya apa jaminan untuk mereka yang tinggal bekerja.

Adakah mereka akan menghadapi nasib sama terpaksa dibuang kerja apabila MAS terus mencatatkan kerugian selepas tempoh 3 tahun?

Suara serta rintihan mereka saya dengari apabila saya berkesempatan menaiki penerbangan MAS ke luar negara baru-baru ini.

Ramai pekerja MAS menyatakan mereka terus kabur dengan tindakan Khazanah yang begitu cepat membuat kesimpulan membuang pekerja sebagai salah satu cara memastikan MAS kembali untung.

Bagi mereka, bilangan pekerja MAS pada zaman pimpinan Datuk Seri Idris Jala yang kini, bergelar menteri Pemandu pada 2005, pernah berada dalam lingkungan 14,000 orang.

Bagaimana dalam tempoh tidak sampai sedekad bilangan pekerja MAS kembali meningkat kepada 20,000 orang dengan ada yang menerima gaji tinggi hingga mewujudkan dua kelas pekerja syarikat ini.

Adakah Khazanah tidak sedar perkara ini berlaku sedangkan mereka adalah pemegang majoriti saham syarikat penerbangan ini?

Selain itu, pekerja-pekerja ini juga mengadu disebabkan MAS dalam proses memulihkan kembali kewangannya, banyak kemudahan serta keistimewaan ditarik menyebabkan ia kini tidak lagi menarik berbanding syarikat penerbangan lain terutama sekali syarikat antarabangsa.

Kata mereka, jika Khazanah tidak mengambil berat mengenai soal ini, iaitu kepuasan bekerja dalam MAS tidak mustahil ramai yang akan meninggalkan syarikat penerbangan ini kerana tiada lagi nilai sentimental kepada mereka.

Rasa tidak puas hati kakitangan MAS terhadap Khazanah saya alami sendiri, apabila ada anak kapal yang menawarkan makanan serta minuman kepada penumpang lebih daripada yang sepatutnya.

Apabila ditanya bukankah ia satu kesalahan serta pembaziran, dengan selamba pekerja MAS itu menjawab "Biarlah, itukan duit Khazanah".

Saya tidak tergamak untuk membalas jawapannya dengan menyatakan duit Khazanah itu adalah duit dia juga sebagai pembayar cukai dan jelas wang rakyat yang digunakan bagi memastikan MAS terus terbang.

"Malah, bukan rahsia lagi, pekerja MAS berlumba-lumba menghantar resume mereka ke syarikat penerbangan luar negara yang menawarkan pakej gaji lebih menarik.

"Jika ini, terus berlaku tak payah sibuk Khazanah nak buang sampai 6,000 orang, lebih daripada itu akan 'terbang' meninggalkan MAS," kata pekerja-pekerja MAS kepada saya.

Saya juga pernah didatangi seorang penyelia kanan MAS dengan mendakwa gaji yang diterima mereka sama seperti diperoleh graduan tamat pengajian yang bekerja dengan kerajaan walaupun sudah bekerja selama 20 tahun selain tidak mendapat gaji serta elaun setimpal dengan pengalaman.

Jika Khazanah benar-benar ikhlas dalam memulihkan MAS bagi membantunya mencatatkan semula keuntungan sehingga sanggup memberhentikan pekerja MAS dan meneliti semula segala kontrak serta tender syarikat berkenaan, pemilik syarikat penerbangan kerajaan ini juga perlu melihat semula perolehan pembelian pesawat.

Saya difahamkan, perolehan pembelian pesawat MAS dengan perisiannya melebihi beratus juta ringgit daripada yang sepatutnya dibayar syarikat penerbangan berkenaan kepada pembuat kapal terbang terbabit.

Pada masa sama, ramai yang terus skeptikal bagaimana wang rakyat berjumlah RM6 bilion yang akan digunakan sebagai satu pelaburan bagi menyelamatkan MAS, akan diperoleh semula dengan keuntungan kepada rakyat.

Semua sedar proses pemulihan MAS tidak akan mungkin selesai dalam tempoh 3 tahun dan dengan tiadanya 'deadline' daripada Khazanah bagi memastikan MAS kembali mencatatkan keuntungan, tidak dapat dipastikan bila wang RM6 bilion itu akan kembali masuk ke dalam akaun kerajaan siap dengan keuntungannya.

Di sinilah, kerajaan perlu amat berhati-hati bak kata orang 'ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak' kerana besar padahnya apabila rambut itu putus dan tepung berselerak dalam menyelamatkan MAS.

Rakyat kini amat kritikal dalam memastikan kerajaan benar-benar berhemah dalam berbelanja wang mereka dan zaman kerajaan mengetahui segala yang terbaik untuk rakyat juga sudah berakhir, seperti kata perdana menteri.

Jadi, adakah menyelamatkan MAS dengan wang rakyat adalah yang terbaik untuk kerajaan lakukan demi rakyat kerana jika MAS terus mengumumkan akaunnya rugi di sebalik pelbagai pelan pemulihan yang dilakukan, apakah ramuan terbaik menyelamatkan ikon penerbangan negara ini.

Sejak 1995 lagi, kerajaan membelanjakan hampir RM17 bilion untuk menyelamatkan MAS dan jumlah itu bukannya sedikit dan dengan pelbagai nama pelan pemulihan.

Cuma individu serta kumpulan sama yang terbukti gagal dalam memulihkan MAS selama ini, terus cuba dan terus mencuba, sedangkan mereka sudah terbukti gagal selama lebih sedekad.

Pengumuman mengenai penubuhan satu suruhanjaya penerbangan awam dalam pelan pemulihan MAS oleh Khazanah juga sesuatu yang perlu diambil serius kerana suruhanjaya ini, perlu benar-benar adil dan telus.

Cuma apabila penubuhannya diumumkan pada masa pengumuman memulihkan MAS, ramai juga tertanya adakah suruhanjaya ini, ditubuhkan untuk melindungi MAS semata-mata bagi mencatatkan keuntungan.

Sebab itu, saya mahu kerajaan melantik ahli suruhanjaya ini, yang benar-benar berkecuali dan bebas bukannya individu yang sedang berkhidmat dalam kerajaan atau pernah berkhidmat dalam kerajaan serta mereka yang terbabit dalam industri penerbangan tempatan.

Kita sudah pasti tidak mahu tugas serta tanggungjawab suruhanjaya ini, dipersoalkan kredibiliti mereka kerana timbul persepsi ia ditubuhkan bagi melindungi MAS dan pelaburan kerajaan dalam industri penerbangan.

Jika ini berlaku, ia adalah sesuatu yang amat malang kepada industri penerbangan negara sedangkan industri ini terus berubah dengan begitu dinamik dengan kewujudan syarikat penerbangan tempatan khususnya tambang murah yang memberikan banyak manfaat kepada rakyat.

Sebab itu, saya menyeru kepada semua pihak berkepentingan dalam menyelamatkan MAS sama ada di pihak kerajaan atau Khazanah supaya benar-benar serius dalam memulihkan semula syarikat penerbangan tempatan.

Di pihak Khazanah, mereka sudah terbukti selama ini gagal memulihkan MAS dan kali ini, tiada alasan lagi boleh diberikan memandangkan 'wau' negara ini, milik mereka sepenuhnya.

Di pihak kerajaan pula, rakyat terus memerhatikan dengan teliti dan mengikuti rapat apa yang dilakukan Khazanah dengan wang mereka, jika terus gagal memberikan keuntungan kepada kerajaan iaitu rakyat secara keseluruhannya, sudah pasti imej kerajaan dalam menguruskan wang negara secara berhemah terus gagal.

Inilah yang perlu dielakkan sama sekali tatkala kerajaan Barisan Nasional (BN) terus berbelanja tanpa memikirkan kesannya kepada rakyat dan negara pada masa depan.

Amarah rakyat hanya akan dapat dilihat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti, dan amat pasti kegagalan menguruskan wang rakyat berjumlah RM6 bilion ini, akan membawa padah kepada BN kelak.

Justeru sama ada 6,000 pekerja MAS yang akan diberhentikan ini, akan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atau tidak hanya akan dapat dijawab dalam tempoh 3 tahun dan ketika itu, bahang PRU sudah semakin terasa. – 24 September, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments