Opinion

Masih adakah kesetiaan pada Umno jika tidak berkuasa?

Saya sayangkan parti ini, allahyarham ayahanda saya, Tan Sri Mohamed Rahmat menubuhkan semula Umno pada 1988 dengan keringat dan air mata dan tahun ini, genap 25 tahun, Umno dihidupkan semula selepas diharamkan.

Tahun ini juga pada 19 Oktober lalu, 146,500 perwakilan Umno membuat keputusan untuk memilih barisan kepimpinan parti melalui sistem baru pemilihan dikenali sebagai ‘electoral college’ dalam usaha membuktikan bahawa proses transformasi parti yang diusahakan Presiden parti, YAB Datuk Seri Najib Razak benar-benar berlaku.

Pemillihan sudah diadakan serta keputusan sudah diketahui dan walaupun, saya tidak terpilih dalam barisan 25 Ahli Majlis Teringgi (MT) yang bertanding, saya tetap bersyukur dengan jumlah undi yang diterima.

Saya juga tidak mahu mengulas mengenai perjalanan pemilihan baru ini, yang sebenarnya, masih memerlukan penambahbaikan ketara bagi memastikan ia tidak diketawakan pada masa akan datang.

Sebenarnya, usaha berani Datuk Seri Najib perlu dipuji dan sama ada ia berjaya diterjemahkan ke semua peringkat ahli Umno pada pemilihan kali ini, memerlukan ‘post mortem’ yang mendalam.

Namun, adakah barisan kepimpinan baru Umno ini, benar-benar bersedia untuk membawa dan menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) ke 14, yang selewat-lewatnya perlu diadakan pada 2018, dua tahun sebelum 2020, wawasan yang diperkenalkan Presiden parti keempat, Tun Dr Mahathir Mohamed.

Sudah banyak analisis dan pemerhatian dilakukan terhadap barisan kepimpinan baru parti terbesar orang Melayu ini, jadi tidak perlulah saya mengupas lagi dengan panjang lebar.

Apa yang ingin saya katakan sebenarnya, diperkatakan ahli akar umbi parti atau masyarakat yang masih sayangkan Umno adalah 146,500 perwakilan yang memilih masih berfikiran seperti dahulu, tiada yang berubah.

Mereka masih memilih barisan kepimpinan yang memegang jawatan dalam kerajaan atau mempunyai tempat dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), tiada perubahan dalam ‘status quo’ parti.

Inikah dimahukan ahli akar umbi parti yang berjuang demi agama, bangsa dan negara dengan menjadi tulang belakang parti setiap Umno memasuki medan perang PRU.

Sebaik sahaja keputusan diumumkan pada 20 Oktober lalu, iaitu hari Ahad, seorang ahli akar umbi datang berjumpa saya dan dalam perbualan kami, beliau menyatakan kehairanan dengan pengekalan status quo dalam barisan kepimpinan parti.

Saya bertanya apakah maksud beliau itu?

Ahli Umno itu menyatakan “Adakah 146,500 perwakilan Umno sedar bahawa barisan kepimpinan yang baru dipilih itu, adalah barisan yang sama membawa Umno menghadapi PRU 13, dan mereka ini, mengakibatkan parti mendapat keputusan pilihan raya lebih buruk berbanding tahun 2008.”

Sebenarnya, apabila diteliti pandangan beliau itu, ia tidaklah berapa tepat memandangkan parti Umno daripada segi statistik kerusi yang dimenangi dalam PRU 13, adalah lebih baik  daripada PRU 12, selepas berjaya mendapat 88 kerusi berbanding 77 kerusi..

Namun sebagai parti yang menjadi tulang belakang kepada Barisan Nasional (BN), Umno tetap perlu memikul tanggungjawab kerana prestasi yang buruk berbanding 2008, selain kalah dalam undi popular.

Berbalik kepada persoalan pengekalan status quo dalam kepimpinan Umno kali ini, saya tetap yakin bahawa pemimpin yang dipilih sudah pasti akan bersekang mata dan memerah otak mencari penyelesaian atau formula terbaik menarik semula sokongan bukan sahaja orang Melayu tetapi orang Melayu kepada BN.

Padang rakyat sudah semakin berubah, kerajaan dan Umno sebenarnya, perlu cuba untuk berubah dalam memastikan sokongan rakyat berterusan sekaligus menjamin kedudukan sebagai parti pemerintah.

Rakyat tidak lagi mudah terpengaruh dengan pelbagai ‘gula-gula’ yang ditaburkan kerajaan sebaliknya, mereka mahu sebuah kerajaan dan pemimpin yang membela nasib mereka.

Barisan kepimpinan Umno yang baru untuk penggal ini, perlu bersedia daripada segi mental dan fizikal dalam menempuh cabaran ini, dengan pembangkang yang semakin ghairah untuk menghentam kerajaan dan parti setiap sudut.  Mempertikaikan segala dasar, inisiatif serta insentif kerajaan sehingga mengelirukan pendirian rakyat.

Berbalik kepada 146,500 perwakilan Umno yang baru membuat keputusan dua minggu lalu, keputusan mereka itu sebenarnya, sudah dijangka kerana adalah menjadi resam manusia untuk memilih pemimpin yang masih berkuasa.

Bagi mereka, keputusan itu berkemungkinan membolehkan mereka untuk mendapatkan sesuatu daripada pemimpin terbabit ketika parti masih lagi berkuasa.

Hal ini, bukan hanya yang terjadi dalam Umno tetapi juga dalam parti pembangkang seperti Pas dan PKR, pemimpin yang terbuang tidak lagi mendapat tempat dalam barisan kepimpinan tertinggi parti.

Banyak contoh yang kita boleh lihat dan yang paling terbaru bagaimana perwakilan Umno membuat keputusan untuk tidak memilih Datuk Seri Ali Rustam sebagai Naib Presiden.

Lebih menyedihkan Tok Ali yang hanya mendapat empat undi, bahagian-bahagian Umno di Melaka sendiri, tidak sebulat suara memberikan undi kepada beliau selepas segala jasa yang ditaburkannya ketika menjadi Ketua Menteri.

Lihat sahaja apa yang terjadi kepada Tun Dr Mahathir Mohamad di Umno Bahagian Kubang Pasu.  Selepas menjadi Ketua Umno bahagian lebih daripada tiga dekad, menjadi Presiden parti dan Perdana Menteri lebih daripada dua dekad, usaha beliau untuk menjadi Perwakilan tujuh (G7) selepas berundur daripada memegang jawatan tertinggi, ditolak perwakilan Umno bahagian berkenaan, amat menyedihkan sekali.  Tepat sekali kata Tun Dr Mahathir, Melayu Mudah Lupa.

Sebenarnya, isyarat yang diberikan kepada perwakilan Umno kepada barisan kepimpinan tertinggi adalah ‘kami memilih kamu, disebabkan kamu masih berkuasa, jika tidak berkuasa, jangan harap kami akan memilih kamu.  Ia adalah hakikat dan kenyataan pahit  yang perlu ditelan semua pemimpin yang terpilih.

Jika itu yang  difikirkan perwakilan Umno dalam membuat keputusan, timbul pula persoalan di manakah kesetiaan mereka kepada Umno sekiranya, ditakdirkan satu hari nanti Umno hilang kuasa sebagai parti pemerintah Negara atau lebih tepat lagi kalah dalam PRU.

Adakah ketika itu, ahli Umno akan lompat daripada kapal dan membiarkan kapal Umno ini, tenggelam atau mereka terus setia kepada parti dan sanggup bersama-sama pemimpin Umno untuk memastikan parti kembali berkuasa. - 30 Oktober, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments