Ketika ini, keadaan cuaca di Lembah Klang dilihat amat kurang sihat kepada masyarakat kerana dalam keadaan cuaca yang panas terik, serta kering dan tidak berhujan, ramai mengadu berhadapan dengan masalah pernafasan.
Ia diburukkan lagi dengan udara tercemar bukan sahaja akibat jerebu yang datang daripada negara jiran tetapi juga disumbang faktor dalaman sendiri seperti pembakaran terbuka, asap kenderaan dan lain-lain.
Mereka yang mengidap asma terpaksa mengehadkan aktiviti luar kerana bimbang berhadapan dengan serangan lebih teruk.
Pada masa sama, isu ketiadaan bekalan air di Lembah Klang, sejak dua minggu lalu mengalahkan kepanasan Pilihanraya Kecil (PRK) Kajang yang setakat artikel ini, ditulis membabitkan saingan tiga penjuru iaitu antara Datin Paduka Chew Mei Fun (BN), Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR) dan Datuk Zaid Ibrahim (Bebas).
Sememangnya, di sana sini, sama ada di media arus perdana, portal berita atau media sosial, isu ketiadaan air lebih mencengkam rakyat berbanding apa yang berlaku dan akan berlaku di DUN Kajang apabila semua calon secara rasmi akan berkempen pada 11 Mac ini.
Pelbagai keluhan, luahan serta rintihan didengari daripada rakyat yang amat terbeban akibat ketiadaan bekalan air bersih sehingga ada antara mereka sudah terputus bekalan sejak kira-kira 14 hari.
Ironinya, ada antara penduduk yang terbabit akibat ketiadaan bekalan air tinggal dalam kawasan PRK Kajang atau berhampiran dengan DUN Kajang iaitu sekitar kawasan daerah Hulu Langat dan secara tidak langsung, isu air menjadi modal kempen politik sama ada di pihak BN atau PKR.
Saya tidak mahu mengulas mengenai “tuding menuding” antara kerajaan pusat dan kerajaan Selangor berhubung pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2, yang sepatutnya sudah memulakan operasi melalui inisiatif penyaluran air dari Pahang ke Lembah Klang,
Namun, apa yang memelikkan tidak sampai tiga bulan negara berada dalam keadaan musim hujan sehingga ada negeri yang dilanda banjir besar, rakyat di Lembah Klang terputus bekalan air apabila berlaku musim panas tidak sampai tiga minggu.
Bagi saya, ia suatu fenomena pelik memandangkan sepatutnya jangkaan berlaku musim panas dan kering (bukan kemarau seperti yang dilaporkan Jabatan Meteorologi), air di kolam takungan atau empangan menyusut dengan begitu mendadak.
Siapa di pihak kerajaan yang melihat atau mengkaji semua perubahan iklim ini, yang sebenarnya berkait rapat antara satu sama lain.
Apa sebenarnya yang berlaku? Adakah pihak jabatan atau kementerian yang diberi tanggungjawab khusus menjaga air seperti Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air gagal mengesan akan berlaku musim panas dan kering sepanjang bulan Februari?
Bagaimana pula peranan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dalam soal perubahan iklim ini?
Atau adakah perlu ada satu lagi kementerian yang lebih khusus melihat dan menjangka perubahan iklim dunia bagi memastikan sumber alam paling berharga ini, sentiasa mencukupi untuk negara ?
Mungkin kita boleh menubuhkan sebuah kementerian baru dikenali sebagai Kementerian Perubahan Iklim diketuai seorang menteri dan boleh dipanggil sebagai Menteri Perubahan Iklim.
Saya tidak menyalahkan jika ada yang mentertawakan saya dengan cadangan ini, atau melabel saya sebagai “pelawak” tetapi sekurang-kurangnya, ia boleh dijadikan “point to ponder” supaya masalah ketiadaan air ini, dan perubahan iklim yang semakin tidak menetu di negara ini, dapat diatasi secara total.
Sebenarnya, jika diteliti agensi atau jabatan yang bertanggungjawab khusus terhadap pemantauan iklim ini, tidak diselaraskan dengan sepenuhnya, memandangkan ada jabatan atau agensi terletak di bawah kementerian yang berbeza.
Dan sudah pasti perubahan iklim dunia pada masa kini, turut menyumbang kepada kuantiti air yang sepatutnya negara peroleh pada bulan tertentu.
Jika suatu ketika dulu, musim panas dan kering berlaku sekitar pertengahan tahun tetapi kini, ia sudah berubah kepada awal tahun. Perubahan iklim ini, sepatutnya dipantau dengan teliti dan segala data yang diperoleh perlu disalurkan kepada kerajaan dengan segera supaya satu langkah penyelesaian yang konkrit dapat dilakukan.
Malaysia adalah sebuah negara yang menerima taburan hujan paling tinggi tetapi kita terus berdepan dengan masalah ketiadaan bekalan air pada waktu tertentu dan situasi ini, tidak hanya berlaku di Lembah Klang.
Baru-baru ini, kementerian bertanggungjawab terhadap air melaporkan bahawa takungan air di majoriti empangan utama di seluruh negara merosot akibat musim panas dan kering yang berlaku.
Ke mana perginya air dalam kolam takungan dan empangan ketika musim hujan melanda negara?
Apa yang lebih menyedihkan masalah ketiadaan air ini, boleh disifatkan sebagai “malapetaka” negara memandangkan ia bukan hanya membabitkan pengguna domestik tetapi juga dalam sektor perindustrian.
Terus terang saya khuatir bahawa masalah ini, jika dibiarkan melarat akan menyebabkan ketidakyakinan pelabur asing dalam sektor perindustrian untuk membuka kilang-kilang mereka.
Pada masa sama, kita tidak mendengar negara maju berhadapan masalah ketiadaan air dan ini, seharusnya dijadikan contoh oleh kerajaan supaya sentiasa mempunyai perancangan masa depan dalam menguruskan komoditi sumber alam percuma ini.
Krisis air yang melanda Lembah Klang ketika ini, bukan satu perkara baru kerana ia pernah berlaku pada 1997. Ketika itu, pelbagai usaha dilakukan termasuk melakukan pembenihan awan yang sebenarnya, adalah satu langkah jangka masa pendek yang boleh diambil, itupun jika mempunyai awan kumulus.
Mengambil iktibar daripada krisis yang berlaku 17 tahun lalu, kerajaan memulakan projek Langat 2 bagi menyalurkan air mentah daripada Pahang ke Lembah Klang tetapi sehingga kini, ia terus gagal direalisasikan.
Akibat terlalu banyak politiking dengan kerajaan Selangor berterusan menuduh kerajaan pusat mahu memberikan projek berkenaan kepada kroni, kepentingan rakyat langsung diketepikan sedangkan, semua mengetahui bahawa projek berkenaan dilakukan secara tender terbuka.
Sifat angkuh kerajaan PKR Selangor dalam hal ini, memburukkan lagi ketiadaan bekalan air yang sebenarnya, boleh diatasi jika mereka meletakkan kepentingan umum dan nasional dalam bersama-sama dengan kerajaan Pusat membangunkan projek Langat 2.
Isu utama yang sentiasa dijadikan alasan dalam pembekalan air adalah masalah “non revenue water” yang sebenarnya, boleh diatasi jika semua pihak berganding bahu dan bekerjasama dengan menyediakan peruntukan secukupnya bagi menggantikan paip-paip lama yang ada daripadanya sudah menjangkau usia lebih dua atau tiga dekad.
Jika ada "menteri perubahan iklim" ini, beliau perlu melihat secara holistik bagaimana untuk mengatasi masalah cuaca tidak menentu selain membuat perancangan bagi mencari sumber air baru dengan tidak terlalu bergantung kepada empangan serta kolam takungan.
Bagaimanapun, pembinaan empangan tidak akan dapat menyelesaikan masalah ketiadaan air sekiranya sungai semakin kering disebabkan ia tidak lagi menerima taburan hujan yang tinggi seperti kebiasaannya dan selain itu, ia diburukkan lagi dengan pencemaran bahan kimia seperti ammonia.
Pencemaran ini berIaku disebabkan kebanyakan kolam takungan, tadahan serta sungai di Lembah Klang kini dihimpit dengan arus pembangunan yang menyebabkan banyak kilang dibina berhampiran kawasan ini.
Sehingga kini, tidak kedengaran cadangan daripada pihak kerajaan untuk menggunakan proses penuaian hujan sebagai salah satu langkah untuk menambah bekalan air terutamanya ketika musim hujan berlaku.
Rakyat pula tertanya-tanya mengapa kerajaan tidak memanfaatkan sumber air daripada banjir yang melanda beberapa negeri baru-baru ini, sebagai usaha menambah bekalan air.
Penyelesaian terhadap isu air yang berkait rapat dengan perubahan iklim dunia yang semakin tidak menentu ini, menuntut perancangan rapi demi kesejahteraan rakyat negara ini, pada masa depan dan kerajaan perlu bertindak segera bermula pada masa sekarang.
Malah, Bank Dunia dalam laporannya beberapa tahun lalu pernah menyatakan bahawa suatu hari nanti pada masa depan, air bersih dijangka menjadi punca peperangan pada masa depan dan ia tidak mustahil berlaku sekiranya, tiada sebarang perancangan dilakukan pada masa sekarang. – 1 Mac 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments