Opinion

MH370, PRK Kajang dan masa depan Pakatan

Hari ini, genap empat hari kehilangan pesawat Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing membawa 239 penumpang dan anak kapal.

Saya secara peribadi mengucapkan banyak bersabar kepada semua keluarga penumpang dan anak kapal serta berdoa mengharapkan yang terbaik kepada mereka terbabit.

Di pihak kerajaan, semua yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat, sedang berusaha sebaik mungkin bagi mencari pesawat malang berkenaan dengan segala keperluan serta aset ditumpukan ke arah usaha terbabit.

Hari ini juga, adalah permulaan rasmi kepada “gelanggang” Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang dengan proses penamaan calon bermula sebelum hari pengundian pada 23 Mac ini.

Kemeriahan dan keriuhan PRK Kajang ini, tidak lagi se”gamat” kira-kira dua minggu lalu, apabila bekas Adunnya, Lee Chin Cheh meletak jawatan pada 27 Januari lalu, dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan diri sebagai calon PRK itu.

Ketika itu, DUN Kajang ibarat pesta dengan semua pemimpin pakatan bersilih ganti berada di sana, siang dan malam dalam memastikan kemenangan Anwar.  Malah ada antara mereka dengan bongkaknya, meletakkan majoriti 10,000 undi pada PRK Kajang.

Pelbagai spekulasi, telahan dan andaian dibuat mengenai “Langkah Kajang” dan dalam tempoh dua minggu itu, menyaksikan pelbagai episod “politik” bermula dengan kata sepakat yang dicapai antara kerajaan Selangor PKR pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim dengan kerajaan pusat mengenai penstrukturan bekalan air negeri itu.

Selepas puas Khalid dihentam pimpinan tertinggi PKR terhadap langkahnya menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan pusat, bakal calon PKR PRK Kajang Anwar Ibrahim pula kemudian didapati bersalah oleh Mahkamah Rayuan Jumaat lalu, atas kes liwat 2 dan dijatuhkan hukuman penjara lima tahun.

Keputusan Mahkamah Rayuan yang mengenepikan hukuman Mahkamah Tinggi dua tahun lalu itu,  sekaligus menyebabkan Anwar Ibrahim tidak boleh bertanding dalam PRK Kajang dan kini wujud pula kemungkinan berlakunya satu lagi PRK iaitu di Permatang Pauh.

Walaupun, ketiadaan Anwar Ibrahim dalam PRK Kajang tidak memberikan impak besar kepada kemenangan PKR dalam pilihan raya kecil itu, namun saya mengharapkan bahawa calon baru yang dipilih menggantikan Anwar terdiri daripada muka baru dalam parti berkenaan.

Namun sangkaan itu meleset sama sekali, apabila PKR dan parti pakatan sebulat suara memilih isteri Anwar, Datuk Seri Wan Azizah bertanding dalam pilihan raya kecil itu, bagi menggantikan suaminya.

Adakah PKR ketandusan pemimpin lain untuk diketengahkan dalam kancah politik negara dan langkah untuk meletakkan Wan Azizah bertanding dalam PRK Kajang ini, sememangnya  membuktikan betapa parti ini, sememangnya mempermain-mainkan sistem demokrasi negara serta rakyat selain satu pembaziran wang rakyat yang nyata.

Jika selama ini, BN dan Umno dituduh sebagai parti yang mengamalkan kronisme dan nepotisme, PKR juga membuktikan bahawa mereka juga parti yang sama, jauh bertentangan dengan apa yang sering dilaungkan oleh pemimpin mereka.

Segala-gala dalam PKR sebenarnya, berkisar kepada Anwar dan keluarganya, terbukti ia sebuah parti yang mengamalkan kronisme melampau tetapi tidak kepada penyokong-penyokong parti ini.

Bagi mereka, Anwar adalah segala-galanya, tanpa mahu berfikir mendalam betapa karier politik ketua pembangkang ini, sudah berakhir apabila akan menjalani hukuman penjara lima tahun.

Semua mengetahui bahawa Anwar adalah “pengikat” kepada parti dalam pakatan dan ketiadaannya akan mengakibatkan perebutan kuasa terutama sekali antara PKR dan PAS dalam menentukan pemimpin mana yang layak menerajui pakatan pembangkang.

Jadi, bagaimana Pakatan mahu memperjuangkan nasib rakyat sekiranya, isu perebutan kuasa antara pemimpin mereka tidak dapat diatasi.  Malah, sehingga ke hari ini, tiada satu konsensus atau pelan alternatf dalam pakatan berhubung siapa yang akan menerajui Pakatan jika Anwar tiada… Hadi Awang, Lim Guan Eng atau Khalid Ibrahim.

Ini adalah dilema paling besar yang sukar diselesaikan dan mungkin akan menjadi punca kepada “penceraian” dalam pakatan parti pembangkang.

Sebelum ini, saya selalu menyatakan bahawa pada pilihan raya umum akan datang, gabungan parti yang akan membentuk kerajaan ditentukan selepas pilihan raya  berbanding pada waktu kini.

Mungkin, saya kata mungkin, DAP atau PAS akan menyertai BN selepas pilihan raya atau PKR bergabung dengan Umno semula kerana dalam politik tiada yang mustahil.

Jika ini berlaku, ia baik untuk rakyat kerana ia “memaksa” BN untuk bersikap lebih rendah diri dan telus dalam pentadbiran kerajaan memandangkan parti pembangkang menyertai gabungan parti pemerintah seperti yang berlaku pada 1969 apabila PPP dan Gerakan menyertai BN.

Ahli BN “nak tak nak” tetap menerima kepimpinan Datuk Seri Najib Razak walau apa yang berlaku sebagai perdana menteri tetapi tidak dalam pakatan pembangkang yang masih tidak lagi bersepakat terutama sekali di peringkat akar umbi untuk menerima Anwar sebagai perdana menteri atau menteri besar Selangor.

Seperti kebiasaan apabila pemimpin pembangkang didapati bersalah, BN dan Umno dipersalahkan dengan pelbagai teori konspirasi ditimbulkan penyokong pembangkang bagi meraih simpati serta sokongan rakyat terhadap Anwar.

Dan sudah pasti, mereka ini, akan sekali lagi turun ke jalanan melakukan demonstrasi kononnya bagi menuntut keadilan tetapi sebenarnya, cuba menjatuhkan kerajaan sedia ada yang dipilih rakyat secara sah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 13 tahun lalu.

Malah seorang pemimpin PKR dalam reaksi segera selepas penghakiman Anwar Ibrahim Jumaat lalu, menyatakan akan mengatur gerakan Reformasi 2.0 dan jika ia terbukti benar, sekali lagi negara akan dilanda kucar kacir.

Ketika rakyat sedang dilanda kesedihan akibat nahas pesawat MH370 serta berdepan dengan isu kenaikan kos sara hidup, tiada sebarang penyelesaian konkrit yang diberikan pemimpin pembangkang.

Bagi mereka, segala-galanya adalah berkisar untuk menumbangkan BN serta Umno dan menawan Putrajaya.

Malah, sejak empat hari kehilangan pesawat MH370, tiada pemimpin pembangkang yang secara terbuka menyuarakan sokongan terhadap apa yang sedang dilakukan kerajaan bagi mencari dan menyelamat semua penumpang serta anak kapal terbabit.

Dalam operasi menyelamat dan mencari pesawat Boeing 777-200ER ini, semua negara di rantau Asia Pasifik bekerjasama dan mengenepikan segala “permusuhan” yang ada sesama mereka bagi mencari MH370.

Lebih 40 kapal dari sekurang-kurangnya 10 negara mengerahkan semua aset ketenteraan dan risikan serta menggunakan teknologi canggih bagi mengesan pesawat ini…sesuatu yang perlu diberikan pujian.

Tetapi malangnya, sikap kerjasama dan tolong menolong ini, tidak berlaku dalam parti pakatan dan adalah amat malang “jaguh-jaguh” pembangkang dan pro pembangkang ini, tidak secara terbuka bersama-sama dengan majoriti rakyat Malaysia mengharapkan yang terbaik bagi pesawat malang ini.

Lebih menyedihkan, sikap dangkal seorang pemimpin pembangkang dalam Twitternya, yang membuat lawak “bermuda triangle” terhadap usaha mengesan dan menyelamat MH370 ini, berdepan dengan kutukan dan kemarahan rakyat Malaysia.

Malah, ada juga penyokong pembangkang di laman sosial membuat dakwaan bahawa kejadian kehilangan MH370, adalah sesuatu yang dirancang kerajaan lebih tepat lagi oleh BN dan Umno bagi menenggelamkan kes Anwar Ibrahim daripada perhatian umum.

Sampai begitu sekali, telahan dan cacian dilemparkan kepada BN dan Umno tanpa mereka mahu mempercayai terhadap takdir Allah SWT bahawa segala apa yang terjadi ini, adalah ketentuan Ilahi.

Sebenarnya, tanpa disedari bahawa kegagalan Langkah Kajang atau Rancangan Kajang ciptaan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli ini, secara tidak langsung memberikan “kemenangan” kepada Khalid Ibrahim kerana sudah pasti, beliau akan terus dapat memimpin Selangor sebagai menteri besar.

Ketokohan dan kewibawaan Khalid dalam memimpin Selangor terutama sekali dengan memeterai perjanjian air dengan kerajaan pusat juga membawa makna bahawa beliau satu langkah di hadapan dalam usaha merebut jawatan timbalan presiden PKR Jun ini sekaligus mengancam kedudukan Azmin Ali.

Apa jua telahan dan teori yang diatur untuk Anwar dalam PRK Kajang ini, terpaksa dirombak dan sepanjang 12 hari tempoh berkempen sehingga malam 22 Mac nanti, akan menyaksikan bahawa tuduhan, cacian dan kata-kata nista dilempar serta ditujukan kepada BN dan Umno.

Namun PRK Kajang ini, secara tidak langsung akan menentukan masa depan PKR dalam pakatan pembangkang dan nasib parti ini, terletak di tangan kira-kira 40,000 pengundi N25 pada 23 Mac nanti.

Kemerosotan majoriti undi berbanding apa yang diterima Lee pada PRU 13 lalu, akan membuktikan rakyat menolak politik kebencian yang cuba ditanam parti pakatan terhadap BN dan Umno.

Tambahan pula, yang bertanding mewakili adalah presiden PKR sendiri yang sekali lagi cuba menyelamatkan suaminya mengulangi skrip sama ketika 1999 dengan menjadi bidan terjun untuk PKR.

Bagaimanpun, walaupun Anwar sudah dikeluarkan daripada arus politik perdana ia tidak bermakna BN terutama sekali Umno akan menerima sokongan padu daripada rakyat. 

Proses transformasi serta peremajaan BN dan Umno perlu diteruskan bagi bagi mengikis persepsi rakyat yang sering mengaitkan parti ini, dengan unsur korupsi, kroni dan nepotsime. – 11 Mac, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments