Isnin ini, lebih 5,000 perwakilan Umno dari seluruh negara akan datang ke Kuala Lumpur untuk memulakan Perhimpunan Agung Umno (PAU) berhimpun di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sehingga Sabtu.
Siapa boleh menidakkan sumbangan Umno kepada Malaysia, tetapi pada masa sama ramai yang mula beranggapan dan mempunyai persepsi Umno sudah hilang sentuhan kepada rakyat terutama sekali orang Melayu kelas pertengahan di kawasan bandar dan separuh bandar.
Lanskap sosial Malaysia yang pantas berkembang dengan wujudnya banyak kawasan bandar serta separuh bandar yang baru terus memperlihatkan kelemahan Umno dalam menawan pengundi di dua kawasan berkenaan termasuk orang Melayu itu sendiri.
Saya tidak mahu memperkatakan mengenai faktor luaran mengapa masyarakat termasuk orang Melayu dilihat semakin menolak Umno (hakikat yang diakui sendiri Tan Sri Muhyiddin Yassin, timbalan presiden Umno) kerana sudah banyak dibahas dan dbincangkan.
Tetapi apa yang lebih penting adalah untuk Umno melihat dalam jiwa, roh serta semangat parti itu sendiri yang ditubuhkan sejak 1946, diharamkan pada 1988 kemudian dihidupkan semula atas perjuangan agama, bangsa dan tanah air.
Sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12, rakyat sudah menghantar mesej menuntut Umno berubah dengan total tetapi malangnya, mesej itu gagal difahami parti dengan jelas dan natijahnya, walaupun bertukar presiden daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Najib Razak, Umno terus gagal memimpin BN mencapai kejayaan lebih baik dalam PRU13 berbanding PRU12.
Umno sebenarnya, terus gagal memahami perubahan lanskap sosial masyarakat terutama sekali orang Melayu di kawasan bandar dan separuh bandar terutama sekali mobiliti sosial orang Melayu di dua kawasan ini.
Ketika terus bergantung kepada peti simpanan pengundi di kawasan luar bandar, Umno mungkin lupa atau sengaja lupa mobiliti sosial masyarakat Melayu di kawasan bandar serta separuh bandar terus berkembang.
Mobiliti sosial ini membabitkan perkembangan pergerakan masyarakat Melayu di kawasan bandar serta separuh bandar yang tidak lagi mahu menjadikan sejarah Umno sebagai keutamaan untuk mereka memberikan kepercayaan kepada parti bagi terus memerintah negara.
Ketika kita mendabik dada disebabkan Umnolah kelas menengah Melayu berkembang dengan begitu besar, parti juga tidak harus lupa golongan menengah ini terbahagi kepada dua iaitu menengah atas dan bawah.
Majoriti mereka ini berkahwin sesama mereka dalam kelas yang sama, sama ada Melayu kelas atasan atau Melayu elit dan pemikiran tiga kumpulan ini cukup berbeza termasuk pentafsiran politik mereka.
Lihat saja kepada Datuk Seri Najib yang datang daripada golongan elit Melayu sama seperti sepupunya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan juga tiga daripada bekas presiden Umno itu sendiri datang daripada kelas Melayu elit.
Mereka ini bernasib baik kerana lahir dalam kelas Melayu elit dan diangkat sebagai pemimpin untuk memimpin sebuah parti yang majoriti ahlinya terdiri daripada kelas Melayu pertengahan dan bawah.
Kedua-dua pemimpin tertinggi Umno ini mendapat pendidikan di sekolah awam di United Kingdom disebabkan latar belakang keluarga masing-masing yang terdiri daripada golongan elit Melayu pada ketika itu.
Ia membolehkan Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Hishammuddin berkebolehan bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan baik berbanding dengan ramai pemimpin Umno pada masa sekarang yang kurang bernasib baik kerana berlatarbelakangkan keluarga berpendapatan rendah.
Mungkin jika ditanya kepada British, apakah kekecewaan atau kesilapan mereka ketika memerintah Malaya, berkemungkinan mereka menjawab kerana memberikan pendidikan kepada golongan elit Melayu seperti almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, almarhum Tun Hussein Onn, almarhum Tun Abdul Razak Hussein serta almarhum Tun Dr Ismail mendapat pendidikan tinggi di England.
Penjajah British pada ketika itu mengharapkan pemimpin elit Melayu yang diberikan pendedahan mengenai dunia British menjadi pembela kepada mereka sebaliknya kumpulan ini 'menggigit' tangan penjajah dengan menjadi pemimpin kepada gerakan orang Melayu menuntut kemerdekaan.
Bukan niat saya untuk mengkelaskan golongan Melayu di negara ini, tetapi ia satu hakikat yang kita perlu faham dalam usaha untuk memahami mengapa orang Melayu terus memperlihatkan penolakan kepada Umno terutama sekali di kawasan bandar dan separuh bandar.
Mobiliti sosial yang berlaku antara kelas-kelas Melayu ini, amat penting untuk difahami bagi membolehkan Umno mempelajari perubahan sikap yang sedang berlaku dan akan terus berlaku dalam orang Melayu.
Bagi golongan elit Melayu, anak-anak mereka akan berkahwin sesama mereka dan lahir generasi yang terus kurang memahami perjuangan Umno kerana duduk dan tinggal dalam penuh kemewahan.
Manakala bagi golongan menengah atas dan bawah Melayu pula, mobiliti sosial mereka terus berkembang daripada satu generasi ke generasi dan mula mempersoalkan apa yang Umno lakukan untuk mereka dalam membantu meningkatkan taraf kehidupan.
Jurang mobiliti sosial itu semakin meluas disebabkan golongan elit dan menengah atas Melayu mendapat akses yang baik kepada peluang pendidikan terbaik serta pekerjaan yang berpendapatan tinggi dan tidak perlu bergantung langsung kepada kerajaan pada masa sekarang.
Ia juga mengakibatkan jurang antara golongan elit serta menengah atas Melayu dengan menengah bawah Melayu semakin melebar hingga menyebabkan peluang untuk generasi daripada golongan menengah bawah Melayu untuk naik bertambah sukar.
Suatu ketika dulu, ia mudah untuk golongan Melayu menengah bawah naik ke atas disebabkan terdapat banyak peluang selain kurangnya orang Melayu daripada kelompok menengah atas dan elit berbanding sekarang.
Konflik ini juga menyebabkan golongan menengah bawah Melayu terus melihat golongan elit dan menengah atas Melayu tidak lagi 'attach' dengan perjuangan Umno dan Melayu itu sendiri sehingga timbul persoalan mengapa pula mereka yang perlu menjadi pendokong utama untuk parti sedangkan ada kelompok lebih atas yang hidup senang lenang tanpa perlu bersusah payah menyakinkan rakyat mengenai perjuangan Umno.
Pada masa sama, sasaran Umno kepada Melayu luar bandar akan terus mengecil dengan taraf mobiliti sosial kelompok ini yang amat rendah dan generasi baru Melayu luar bandar juga akan berhijrah ke kawasan bandar serta separuh bandar dan mendapati Umno semakin tidak relevan kepada golongan Melayu kelas menengah dan elit.
Tidak dapat dinafikan golongan Melayu menengah atas dan elit ini, tidak lagi kisah atas isu seperti hak istimewa orang Melayu, kedudukan agama Islam atau Raja mereka kerana semua ini sudah termaktub dalam Perlembagaan dan mereka juga faham bukan mudah untuk kaum lain mengubah Perlembagaan ini.
Dengan lebih 60% orang Melayu membentuk populasi rakyat di Malaysia, usaha mana-mana pihak untuk mengubah peruntukan terhadap orang Melayu, agama Islam dan Raja-Raja Melayu dilihat begitu amat mustahil.
Apa yang pasti bagi mereka, Umno tidak boleh terus bersandarkan untuk menarik sokongan mereka dengan memperjuangkan isu ini, Umno perlu berubah kepada sebuah parti yang memahami kehendak setiap kelompok atau kelas orang Melayu ini sama ada golongan elit, menengah atas dan bawah atau bawahan.
Kegagalan memahami kehendak inilah yang menyebabkan orang Melayu dilihat terus menarik sokongan mereka daripada Umno dengan sokongan itu sekarang sudah terbahagi kepada empat parti iaitu Umno, PAS, PKR dan DAP.
Selain isu mengenai kenaikan kos sara hidup yang begitu kritikal kepada orang Melayu kelas menengah atas dan bawah, semua kelompok orang Melayu memahami mereka memerlukan sebuah kerajaan yang telus, berkredibiliti dan mengawal duit rakyat dengan berbelanja secara berhemah.
Orang Melayu juga menuntut supaya pemimpin Umno tidak berbelanja secara mewah dan tidak menjadikan kedudukan mereka dalam parti sebagai salah satu langkah untuk mencari kekayaan dengan cara singkat bagi meningkatkan mobiliti sosial mereka.
Umno perlu segera mengikis persepsi yang terus wujud ada golongan orang Melayu mencari jalan singkat meningkatkan mobiliti sosial mereka dengan menggunakan parti mendapatkan projek serta kekayaan sebelum melambangkan kekayaan mereka dengan membeli rumah serta kereta mewah.
Bukan satu rahsia lagi untuk pemimpin Umno memperagakan rumah serta kereta mewah masing-masing sedangkan rakyat tahu mereka pada mulanya adalah daripada golongan berpendapatan rendah.
Budaya inilah yang perlu dikikis daripada setiap peringkat Umno kerana ia sudah menular bukan saja di peringkat pemimpin atasan tetapi juga kepada pemimpin di peringkat cawangan dan sayap parti, seakan barah yang tidak mampu dirawat lagi.
Perubahan seperti inilah yang amat kritikal terhadap Umno dalam menarik sokongan semula orang Melayu pada masa depan terutama sekali dalam menghadapi PRU14 nanti.
Namun jika PAU 2014 terus membahaskan isu retorik yang dikawal segelintir pemimpin Umno daripada golongan elit, orang Melayu akan terus mempunyai persepsi Umno hanya duduk dalam dunia mereka dan tidak mempunyai pemikiran yang inklusif kepada orang Melayu keseluruhannya bukan ahli Umno semata-mata.
Perjuangan politik Umno perlu berlandaskan perubahan mobiliti sosial dalam orang Melayu dan membuang pemikiran parti mengetahui yang terbaik untuk orang Melayu dengan membangkitkan isu yang sebenarnya tidak memberikan kesan langsung dalam kehidupan seharian mereka.
Cabaran Umno adalah untuk memberikan harapan dan peluang kepada semua kelas orang Melayu yang layak bukan hanya ahli Umno semata-mata untuk naik ke peringkat lebih tinggi jika tidak saya tidak nampak apa kepentingan Umno kepada mereka.
Caranya bukan sekadar berbelanja dan mencurahkan wang rakyat semata-mata tanpa ada sebarang penilaian siapa yang layak atau tidak sebaliknya perlu menilai siapa layak walaupun mereka bukan ahli Umno kerana ketika itu barulah orang Melayu sedar semula kepentingan Umno kepada mereka.
Janganlah terus menjadikan PAU sebagai satu pesta buat Umno kerana rakyat termasuk orang Melayu yang menyaksikan pesta ini terus ketawa dalam hati mereka apabila melihat Umno terus tidak sedar dan dibuai dengan kenangan indah di masa lalu.
Jadikanlah PAU 2014 ini sebagai permulaan kepada perubahan besar yang harus dilakukan Umno seperti yang dituntut semua kelas orang Melayu di negara ini dan rakyat secara keseluruhan.
Orang Melayu dan bukan Melayu sedar jika Umno terus mempunyai pemikiran jumud akibat pemimpinnya yang tidak bijaksana memahami perubahan dalam masyarakat dan terus berpesta seperti akan memerintah Malaysia selama-lamanya, mereka akan pasti membiarkan 'luncai terjun dengan labu-labunya' tidak lama lagi. – 23 November, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments