Opinion

Pembentukan bank mega, kepentingan negara?

Keputusan Bursa Malaysia baru-baru ini menolak permohonan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk diberikan pengecualian dan dibenarkan mengundi dalam mesyuarat agung berhubung cadangan penggabungan Malaysia Building Society Bhd (MBSB), CIMB Group Holdings Bhd dan RHB Capital Bhd, membuktikan industri perbankan dan kewangan negara masih bebas daripada pengaruh eksekutif.

Ramai pemerhati politik dan kewangan melihat penggabungan CIMB-RHB-MBSB ini, berada dalam landasan yang begitu pantas untuk dimuktamadkan disebabkan Pengerusinya, Datuk Seri Nazir Razak mempunyai “pengaruh” dalam penggabungan ketiga-tiga bank ini.

Apa tidaknya, Nazir walaupun Pengerusi CIMB, beliau masih Pengerusi kepada Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif CIMB yang dibentuk selepas melepaskan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bank berkenaan serta pemegang saham dalam CIMB dan pada masa sama, beliau juga adalah Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan KWSP selain Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional, pemilik saham utama CIMB.

Lebih penting, Nazir adalah adik kepada Datuk Seri Najib Razak, Perdana Menteri dan Presiden Umno dan sudah pasti ramai beranggapan beliau akan mudah mendapatkan “lampu hijau” daripada Putrajaya untuk meneruskan hasrat dalam proses M&A CIMB-RHB-MBSB ini.

Dan sudah pasti Nazir terbabit dalam setiap peringkat kelulusan ketiga-tiga bank berkenaan manakala Datuk Seri Najib pula sebagai Menteri Kewangan, Perdana Menteri dan Pengerusi Khazanah Nasional terbabit dalam membuat keputusan di peringkat kerajaan.

KWSP yang berkepentingan dalam ketiga-tiga bank kerana pegangan 65% eratus dalam MBSB, 14.5% dalam CIMB dan RHB (41.5%) dilihat sebagai pihak paling penting yang memegang kunci kepada pembentukan bank mega ini.

Jika penggabungan ini menjadi kenyataan, ia bakal membentuk bank mega dengan aset sejumlah RM613.7 bilion, mengatasi bank utama di Malaysia, Maybank Bhd yang memiliki aset berjumlah RM578 bilion.

Pada masa sama, ia juga dilihat sebagai pembentukan bank Islam mega dikatakan terbesar di dunia dan keempat terbesar di rantau Asia Tenggara kerana akan membentuk pasaran modal berjumlah RM88.4 bilion berdasarkan kadar pegangan dan keuntungan bersih RM7 bilion, melebihi Maybank yang berjumlah RM6.55 bilion.

Memelikkan juga mengapa CIMB yang diberikan kebenaran daripada Bank Negara untuk memulakan rundingan dengan RHB dan MBSB bagi penggabungan ini, sedangkan ramai mengetahui Maybank sudah lama berminat dengan RHB.

Dan sudah pasti timbul persoalan mengapa terburu-buru untuk menggabungkan ketiga-tiga bank ini, dengan KWSP menjadi antara pemegang saham utama yang sudah pasti memerlukan “due diligence” teliti kerana membabitkan wang daripada 14 juta pencarum yang rata-ratanya menyimpan untuk hari tua mereka.

Bagi CIMB, ia sememangnya menjalani proses evolusi yang begitu mencabar bermula seawal pertengahan tahun 70-an lagi, apabila Bank Ban Chiang ditukar nama kepada Commerce Bank selepas diambil alih sebelum mengambil alih Bank Bumiputera Malaysia Berhad dan dikenali sebagai nama CIMB seperti yang dikenali sekarang.

Ada yang berpendapat penggabungan CIMB-RHB-MBSB ini, adalah peluang terbaik kepada CIMB untuk menggantikan Maybank sebagai bank utama di Malaysia dan di rantau Asia Tenggara.

Kedudukan Maybank di rantau Asia Tenggara memang kukuh dengan kedudukan sebagai “qualifying bank” di Singapura dan anak syarikatnya, BII di Indonesia.

Namun pada masa sama, prestasi CIMB di Malaysia mendatar ditambah pula penyusutan keuntungan daripada CIMB Niaga di Indonesia selain langkah kerajaan Indonesia untuk memperketatkan pegangan asing dalam bank di republik berkenaan juga dilihat menjadi antara punca mengapa CIMB akan terus tidak mampu bersaing dengan Maybank di peringkat rantau Asia Tenggara.

Banyak juga pihak memperkatakan keputusan Bursa Malaysia untuk menolak permohonan KWSP mengundi dalam penggabungan berkenaan akan memberikan “isyarat” positif kepada pelabur asing untuk terus melabur di negara ini.

Semua sedia maklum, Aabar Investments PJSC yang kini antara pemegang saham RHB Capital Bhd dengan 21.43%, memainkan peranan lebih penting sekali gus menolak sebarang campur tangan kerajaan dan menyerahkan kepada kuasa pasaran.

Sudah pasti kerajaan Abu Dhabi sebagai antara pelabur utama dalam beberapa projek strategik kerajaan mahu nilai terbaik untuk saham mereka dan tidak terikat dengan sebarang campur tangan politik terutama sekali daripada Putrajaya.

Agaknya lawatan kerja Najib ke Abu Dhabi, kelmarin, mungkin antaranya, bertujuan menyejukkan suasana politik di negara Teluk berkenaan yang jelas beberapa kali menghantar “isyarat” kurang senang dengan tindakan yang diambil bagi merealisasikan penggabungan bank mega ini.

Sebenarnya, persepsi kerajaan mengawal ekonomi negara tidak elok untuk menarik pelabur asing melabur di negara ini, walaupun ia bukan satu rahsia kerajaan mengawal lebih 70% pegangan ekuiti syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia.

Malaysia pada masa kini, tidak mampu untuk menimbulkan kemarahan daripada pelabur asing kerana jelas bergantung kepada Pelaburan Terus Asing (FDI) dalam memastikan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terus berada dalam sasaran yang ditetapkan kerajaan.

Tindakan kerajaan untuk tidak membenarkan KWSP mengundi dalam membuat keputusan terhadap penggabungan ini, jelas menunjukkan kuasa dan pengaruh pelabur asing dalam sektor korporat negara.

Bagaimanapun, saya masih bersimpati dengan syarikat-syarikat swasta lain yang “ditelan” GLC seperti PNB mengambil alih SP Setia kerana tidak mempunyai pengaruh sebesar Aabar Investment.

Malah, hasrat kerajaan untuk membina lebih banyak rumah mampu milik seperti yang dijanjikan dalam Bajet 2015 dan manifesto Barisan Nasional (BN) ketika Pilihan Raya Umum (PRU) 13 lalu, yang berjanji membina sejuta rumah mampu milik banyak bergantung kepada keadaan ekonomi yang kukuh dan stabil.

Soal rumah mampu milik menjadi agenda utama kerajaan BN pimpinan Najib dan agensi utama yang diberikan tanggungjawab untuk melaksanakan program ini, sebenarnya berdepan dengan isu utama iaitu membantu pembeli yang tidak dapat meminjam daripada bank komersil.

Lantaran itu timbul idea untuk menubuhkan bank perumahan khusus bagi memberikan pinjaman kepada pembeli yang berdepan dengan kesulitan mendapatkan pinjaman.

Bagi saya, adalah lebih mudah kepada kerajaan untuk menggunakan MBSB yang juga anak syarikat KWSP meneruskan agenda berkenaan daripada menubuhkan bank atau institusi kewangan baru khusus untuk tujuan berkenaan.

Penubuhan bank baharu khusus bagi memberikan pinjaman kepada pembeli rumah mampu milik hanya akan menimbulkan lebih banyak pertindihan dalam fungsi selain beban kewangan kepada kerajaan untuk jangka masa panjang dan akan memberikan impak kepada generasi akan datang.

Lihat sahaja apa yang terjadi kepada syarikat-syarikat perumahan yang dikawal kerajaan secara langsung seperti UDA, SPNB dan PR1MA yang jelas antaranya sudah kehilangan hala tuju dalam membantu rakyat memiliki rumah.

Justeru, adalah lebih baik MBSB terus diberikan tanggungjawab sebagai “bank perumahan” kerana ia mempunyai akses terus dengan KWSP yang majoriti pencarumnya adalah terdiri daripada mereka yang bekerja di sektor swasta.

Sebenarnya, MBSB pada awal penubuhan adalah untuk membantu menyediakan kemudahan pinjaman kepada pencarum KWSP dan tidak terikat dengan prosedur ketat bank komersil.

Atas sebab itu, adalah penting untuk semua pihak berkepentingan mengkaji semasak-masaknya penggabungan CIMB-RHB-MBSB ini, kerana kesan rantaian penggabungan ini, bukan sahaja terhad kepada sektor kewangan negara malah boleh menjangkau dan bertukar menjadi isu politik yang bakal merugikan BN jika tidak ditangani dengan baik.

Jika penggabungan ini, bertujuan untuk kepentingan negara kerana boleh melonjakkan sektor kewangan  ke tahap baru, ok lah tetapi jika ia hanya bertujuan untuk kepentingan pihak tertentu lebih baik lupakan sahajalah.

Kerana yang bakal menerima sepak terajang akibat penggabungan ini, daripada pihak pembangkang adalah 133 Ahli Parlimen BN yang terpaksa “jenuh” bersilat mempertahankan kerajaan seperti yang sudah banyak berlaku sebelum ini.

Kepimpinan yang bertanggungjawab memaksa pemimpin waktu ini, memikirkan mengenai akibat tindakan mereka hari ini, yang mungkin menjejaskan dan membebankan generasi akan datang.

Kalau kepentingan negara dalam jangka masa panjang tidak menjadi keutamaan maka kepentingan peribadi akan menjadi panduan pemimpin masa kini. – 28 Oktober, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments