Opinion

Pengajaran berharga dalam menguruskan maklumat krisis MH370

Hari ini, pusat media MH370 yang dikendalikan kerajaan Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) ditutup secara rasmi, selepas sebulan dibuka sebaik pesawat Malaysia Airlines MH370 yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing hilang.

Sepanjang sebulan pusat media berkenaan beroperasi, yang pada mulanya dibuka di Hotel Sama Sama berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Malaysia menjadi tumpuan dunia.

Sesungguhnya, kejadian itu mengimbau semula kenangan saya pada pada tarikh 4 Disember 1977 apabila pesawat MH653 yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang, terhempas di Tanjung Kupang, Johor.

Secara kebetulan, pesawat berkenaan terhempas dalam kawasan Parlimen Pulai yang ketika itu diwakili ahli Parlimennya, Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat, ayahanda saya.

Nahas berkenaan yang mengorbankan semua 93 penumpang dan tujuh anak kapal termasuk tiga penumpang orang kenamaan iaitu Menteri Pertanian, Dato’ Ali Ahmad; Pengarah Jabatan Kerja Raya, Datuk Mahfuz Khalid dan Duta Besar Cuba ke Malaysia.

Mungkin juga secara kebetulan, Tok Mat dilantik sebagai anggota Kabinet pada tahun 1977 sebagai Menteri Penerangan apabila berlaku kekosongan dengan kematian Dato’ Ali Ahmad dalam tragedi MH653.

Kini selepas 37 tahun, MAS sekali lagi menjadi tumpuan dunia, walaupun sehingga ke hari ini, nahas MH653 terus menjadi misteri tanpa sebarang jawapan terhadap kemalangan berkenaan.

Apa yang tinggal untuk waris penumpang serta anak kapal adalah tugu peringatan mengenai nahas pesawat berkenaan yang juga disebut sebagai ‘kubur dagang’ di Jalan Kebun Teh, Johor Baru.

Ketika rakyat Malaysia seakan sudah lupa dengan tragedi MH653, kejadian yang menimpa MH370 terus menjadi misteri dan pencarian tertumpu di Selatan Lautan Hindi dengan operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini diketuai Australia.

Langkah untuk menutup pusat media MH370 di PWTC juga memberikan isyarat bahawa Malaysia tidak lagi mempunyai maklumat terkini mengenai MH370 dan seluruh organisasi media antarabangsa sudah berkampung di Perth, Australia bagi mendapatkan maklumat terkini.

Walaupun begitu, Malaysia akan terus menyalurkan maklumat kepada media menerusi e-mel dan kenyataan media, tetapi tumpuan media dunia tidak lagi seperti sebulan yang lalu.

Mengikut perkiraan saya, sepanjang pusat media MH370 yang beroperasi 24 jam, sebanyak 19 sidang media diadakan dengan lokasi pertama di Hotel Sama Sama yang bermula daripada 8 Mac sehingga 22 Mac sebelum diubah ke PWTC bermula 23 Mac hingga 5 April.

Sepanjang tempoh itu juga, sejumlah 281 agensi media dari seluruh dunia dengan 620 petugas media ‘berkampung’ di sana, membabitkan 76 agensi berita tempatan serta 205 media asing.

Ketika mata seluruh masyarakat dunia tertumpu di Malaysia melalui laporan berita yang komprehensif, nama Pemangku Menteri Pengangkutan yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut menjadi sebutan.

Datuk Seri Hishammuddin yang mewakili barisan pegawai kerajaan dan menteri Kabinet dalam memberikan sidang media setiap hari yang dijadualkan pada jam 5 petang, jelas membuktikan keupayaan untuk berhadapan dengan media asing tanpa dapat menjangkakan sebarang soalan yang akan dijawab.

Bagaimanapun, pada awal kemalangan MH370, kita dapat saksikan bagaimana berlakunya percanggahan maklumat antara pegawai kerajaan dan jabatan sehingga menimbulkan lebih banyak persoalan.

Pengurusan dan penyaluran maklumat ketika berhadapan dengan krisis jelas amat kelam-kabut dengan setiap jabatan cuba menyalurkan maklumat dan mengadakan sidang media, sekaligus menimbulkan kekeliruan.

Antara percanggahan maklumat yang jelas dapat diperhatikan adalah mengenai kedudukan penumpang dari Iran yang menggunakan pasport palsu serta penumpang MH370 yang tidak menaiki pesawat berkenaan.

Percanggahan maklumat antara Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan Polis Diraja Malaysia serta Jabatan Imigresen dalam isu itu, jelas menimbulkan pelbagai kekeliruan sehingga mengakibatkan ada pihak yang menuduh kerajaan Malaysia menyembunyikan maklumat.

Ketika itu, Datuk Seri Hishammuddin tidak mengetuai sidang media berkenaan, dan apabila terlalu banyak percanggahan maklumat antara jabatan, barulah Kabinet campur tangan dengan meletakkan beliau untuk mengetuai sidang media setiap hari.

Selain itu, portfolio Datuk Seri Hishammuddin yang memegang jawatan Menteri Pertahanan dan memangku jawatan Menteri Pengangkutan juga dipertikaikan banyak pihak kerana kegagalan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memintas pesawat MH370 ketika membuat pusingan balik memasuki ruang udara negara.

Ia sekaligus mempertikaikan kewibawaan Datuk Seri Hishammuddin untuk memegang dua jawatan penting dalam satu masa dan bersifat berkecuali jika berlaku kecuaian di peringkat pegawai serta kakitangan dua kementerian terbabit.

Pada masa sama, pelbagai pihak juga cuba untuk mempolitikkan kehadiran Datuk Seri Najib Razak yang jarang memberikan sidang media dalam nahas MH370.

Bagi saya, ia adalah tindakan yang perlu, memandangkan jika Datuk Seri Najib Razak yang memberikan sidang media setiap hari mengenai MH370, ia akan memperlihatkan seorang perdana menteri tidak mempunyai kerja lain selain memikirkan mengenai MH370.

Sebagai seorang perdana menteri, beliau sudah melantik barisan menteri Kabinetnya, yang sudah semestinya merupakan kumpulan ahli politik terbaik dalam parti Barisan Nasional (BN) untuk menerajui kementerian masing-masing.

Bagaimanapun, saya juga berpendapat bahawa sidang media Datuk Seri Najib Razak pada jam 10 malam yang mengumumkan lokasi terakhir MH370, tidak perlu diadakan pada waktu berkenaan kerana ia bukan waktu yang terbaik sehingga menyebabkan MAS terpaksa menghantar SMS kepada waris penumpang serta anak kapal bagi memaklumkan perkembangan berkenaan.

SMS itu membawa kepada kemarahan waris keluarga penumpang serta anak kapal yang berpendapat tindakan berkenaan tidak sensitif. 

Secara analoginya, pasangan berkahwin pun tidak akan memberikan berita tidak gembira ketika hendak masuk tidur kerana ia akan menimbulkan kemarahan pasangannya.

Kelemahan dalam pengurusan maklumat krisis jelas menunjukkan betapa pegawai-pegawai perkhidmatan awam tidak peka serta tidak menyedari bahawa mereka sebenarnya membawa imej Malaysia.

Timbul persepsi di kalangan masyarakat antarabangsa, jika itu kualiti yang ditunjukkan ‘kepala’ dalam satu-satu jabatan kerajaan, bagaimana pula dengan kualiti orang bawahan, dan ia adalah satu kelemahan yang perlu diakui sektor perkhidmatan awam negara.

Walaupun ada pendapat yang menyatakan ini adalah kali pertama pegawai perkhidmatan awam menguruskan maklumat krisis yang membabitkan masyarakat antarabangsa dan tidak biasa berurusan dengan media asing yang tidak boleh ‘dikawal’ berbanding media tempatan, ia bukan satu alasan yang kukuh.

Dalam zaman ‘langit terbuka’ ini, pegawai tertinggi perkhidmatan awam perlu melihat serta mempelajari bagaimana negara-negara maju mengendalikan maklumat ketika berlaku krisis atau bencana.

Kita tidak boleh selesa dengan apa yang ada dan dipraktikkan di negara ini, sedangkan adalah menjadi dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) menjadikan Malaysia negara maju dalam tempoh enam tahun lagi.

Menjadi negara maju bukan sahaja terhad kepada soal ekonomi dan mempunyai pendapatan tinggi serta infrastruktur semata-mata, tetapi ia turut merangkumi soal pemikiran serta pengurusan di kalangan pegawai serta kakitangan perkhidmatan awam.

Pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam juga bukan sahaja perlu tahu cara mentadbir tetapi perlu mahir menguruskan dasar kerajaan dengan baik serta berhemah.

Kebolehan menguasai bahasa Inggeris dengan baik serta komunikasi dua hala yang juga perkara asas dalam dunia globalisasi jelas gagal dipraktikkan pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam, sekaligus menidakkan kemahuan Dato Seri Najib Razak yang mahu sifat global diterapkan dalam sektor perkhidmatan awam.

Jelas Datuk Seri Hishammuddin berjaya menguasai kedua-dua keupayaan itu dengan baik dan ia perlu dicontohi, walaupun tidak ramai barisan menteri Kabinet mempunyai kebolehan itu.

Kini, Australia memberikan tanggungjawab operasi SAR kepada seorang bekas Jeneral, Angus Houston untuk mengetuai operasi berkenaan dan berhadapan dengan media dalam mencari jawapan MH370.

Tindakan kerajaan Australia dengan bersedia meletakkan bekas penjawat awam yang profesional serta berpengetahuan sebagai persediaan menghadapi media dunia, sekaligus memberikan perbandingan nyata adanya jurang yang lebar antara pegawai awam di Malaysia dengan Australia.

Peralihan sumber maklumat nahas MH370 dari Kuala Lumpur ke Perth menyebabkan media asing tanpa segan silu mula membandingkan sifat profesional serta efisyen yang dipamerkan Australia dalam menyalurkan maklumat dengan Malaysia untuk pencarian MH370.

Malah pada hari pertama Australia mengambil alih operasi SAR MH370, media asing sudah membandingkan personaliti Tony Abbott, Perdana Menteri Australia dengan Datuk Seri Najib Razak dalam mengendalikan sidang media.

Pelantikan seorang pesara bekas jeneral yang berwibawa menunjukkan kesungguhan Australia untuk meletakkan individu berkecuali serta tidak mempunyai sebarang kepentingan atau jawatan dalam kerajaan dalam mengetuai operasi SAR MH370 serta menguruskan penyaluran maklumat kepada ratusan media.

Selepas ini, tumpuan seluruh dunia akan tertumpu ke Perth dan Houston dalam memberikan maklumat terkini mengenai operasi SAR MH370 yang sudah genap sebulan hilang daripada ruang udara.

Sudah pasti akan ada analisis berita daripada agensi berita mengenai perbandingan keupayaan Malaysia dan Australia dalam menyalurkan serta menguruskan maklumat mengenai perkembangan operasi SAR MH370.

Saya juga secara peribadi berpendapat bahawa penubuhan tiga jawatankuasa kementerian membabitkan Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pertahanan yang diketuai tiga timbalan menteri khusus bagi memberikan sokongan kepada misi SAR MH370 tidak akan dapat menjalankan fungsinya dengan berkesan.

Adalah lebih baik sekiranya jawatankuasa ini diketuai seorang menteri, sekaligus dapat memperlihatkan keseriusan kerajaan dalam memastikan misteri nahas MH370 ini terjawab.

Mungkin sudah sampai masanya Kementerian Luar Negeri mengetuai dan mengambil alih peranan dalam menyalurkan maklumat mengenai krisis MH370 kepada dunia serta bertindak secara berkecuali bagi mengelakkan sebarang tuduhan daripada keluarga mangsa dan masyarakat antarabangsa. – 8 April, 2014. 

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments