Esok menjadi penentu sama ada Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengakhiri karier politiknya yang berliku daripada seorang aktivis pelajar menjadi pemimpin nombor 2 kerajaan sebelum bertukar menjadi pemimpin nombor 1 pembangkang apabila Mahkamah Persekutuan membuat penghakiman terhadap kes liwat 2.
Sama ada keputusan kes berkenaan akan memberi impak besar terhadap perubahan politik Malaysia atau tidak, ia hanya akan dapat diputuskan 3 tahun lagi apabila Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 diadakan.
Namun segenap lapisan rakyat Malaysia pasti bersetuju suhu politik negara sejak PRU13 sentiasa berada pada tahap mendidih dan ketika ini, tiada satu parti politik yang boleh mendabik dada mereka tiada sebarang masalah sama ada di peringkat dalaman atau dalam perkongsian kuasa bersama rakan-rakan dalam blok mereka.
Tidak kira Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi Umno dengan 13 parti komponen termasuk dari Sabah dan Sarawak atau PR yang dibentuk sebelum PRU12 6 tahun lalu berteraskan PAS-DAP-PKR dengan konsep 'setuju untuk tidak bersetuju' terhadap perjuangan mereka, semuanya berdepan dengan masalah.
Memang benar, tiada parti politik yang boleh sentiasa stabil tetapi apa yang berlaku di Malaysia pada waktu ini, amat menarik memandangkan kita sudah akan memasuki separuh masa kedua dalam perjalanan menghadapi PRU14 selewat-lewatnya pada 2018.
Keretakan dalam PR antara DAP dan PAS nampaknya tidak lagi boleh disembunyikan apabila pemimpin daripada kedua-dua parti politik berkenaan saling serang menyerang dasar parti masing-masing.
Ia menyebabkan konsep 'setuju untuk tidak bersetuju' yang menjadi ‘penghalal’ kepada tahaluf siyasi PAS dengan DAP ketika ini, menjadi konsep tidak bersetuju atas dasar yang diperjuangkan kedua-dua parti.
Dengan DAP sejak awal lagi menyatakan tidak bersetuju dengan perjuangan negara Islam PAS serta hukum hudud, PAS kemudian membalas balik dengan menyerang dasar perjuangan DAP mengenai pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Yang lebih pelik, apa yang terkandung dalam Buku Jingga ketika dilaung-laungkan ketika kempen PRU 13, langsung tidak lagi menjadi keutamaan pemerintahan negeri-negeri di bawah PR...mungkin sudah disimpan dan dikunci dalam almari.
Sememangnya, keikhlasan kedua-dua parti ini untuk duduk semeja, tidur sebantal sejak dulu lagi boleh dipertikaikan dan sejarah menceritakan segalanya apabila DAP pernah bertindak keluar Barisan Alternatif (BA) pada 2001.
Namun, PRU12 merubah segala-galanya apabila Anwar bebas daripada penjara dan dengan kehadiran 'musuh ketat' Tun Dr Mahathir Mohamad itu, beliau berjaya memberikan sinar seketika kepada gabungan blok pembangkang untuk menjadi alternatif kepada BN.
Tetapi sinar itu bagi pengundi dan penyokong PR yang memasang impian menawan Putrajaya bermula pada 2008 dan kemudian meningkat pada PRU 2013, ia kini boleh diibaratkan seperti kata pepatah Melayu 'harapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari'.
PAS yang sememangnya ditubuhkan hasil serpihan Umno apabila golongan Umno meninggalkan parti pada pertengahan 1950-an sememangnya selama ini, dikenali sebagai parti untuk masyarakat Melayu luar bandar.
Bagaimanapun, PRU12 dan 13 membuktikan melalui gabungan PAS, bersama DAP dan PKR menyebabkan golongan Melayu menengah separuh bandar serta bandar memberikan sokongan kepada PAS dan sebenarnya, ia bukanlah disebabkan pengundi ini menyokong perjuangan negara Islam atau hukum hudud tetapi lebih kepada menolak Umno yang terus dilihat sebagai parti elit.
Kelemahan Umno yang terus gagal menyediakan ruang perjuangan kepada golongan profesional Melayu dan dilihat terus tunduk kepada 'warlord'nya menyebabkan ramai golongan profesional Melayu menyertai PAS.
Ia diburukkan lagi dengan stigma serta persepsi negatif di kalangan rakyat Umno mengamalkan korupsi serta kronisme dan ia sebab utama seperti yang berlaku di Selangor pada PRU13 lalu.
Sebab itu di Selangor sebagai contoh dalam PRU13 lalu, calon PAS yang ditampilkan terdiri daripada orang muda profesional dan golongan teknokrat hingga menyebabkan parti berkenaan menang besar di 15 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Demi kelangsungan PAS dalam perubahan landskap sosial politik orang Melayu di kawasan separuh bandar serta bandar, parti ini tidak mungkin lagi dapat mengharapkan sokongan daripada golongan ulama semata-mata sebaliknya memerlukan kumpulan teknokrat untuk memimpinnya bagi terus mengekalkan sokongan pengundinya dan ia mungkin terjadi dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Sama ada gabungan pembangkang yang membentuk PR ini mampu bertahan atau tidak pada PRU14 nanti, ia menjadi kebarangkalian yang tidak mustahil dan jika BN serta Umno mengharapkan mereka akan menang disebabkan perpecahan dalam blok pembangkang ini, ia sama sekali satu strategi yang amat salah sama seperti yang berlaku dalam PRU13.
Sudah-sudahlah pimpinan parti BN dan Umno mendengar nasihat daripada 'punahsihat' yang mengelilingi Putrajaya dan PWTC tetapi langsung tidak mengetahui realiti politik di peringkat akar umbi dan hanya bercakap seperti tong kosong.
Selepas hampir dua tahun PRU13 berakhir dengan kalahnya BN kepada PR dalam undi popular, ketika ini parti pemerintah Putrajaya ini langsung tidak menunjukkan sebarang peningkatan dalam bentuk sokongan daripada rakyat, yang sering dilaungkan hanyalah peningkatan ahli khususnya dalam Umno yang langsung tidak mencerminkan jumlah undi diterima ketika PRU13.
Rakyat Malaysia kini terus menyaksikan perbalahan dan pergeseran dalaman dalam BN terus terjadi dan selepas masalah dalaman MCA, parti terbesar kaum India, MIC pula berdepan dengan masalah.
Perebutan kuasa di kalangan pemimpin MIC jelas kelihatan sehingga ada yang mengheret serta mempersoalkan keputusan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak memilih pucuk pimpinan parti yang sedia ada.
BN terus tidak belajar daripada kesilapan lalu dengan pemimpinnya terus dilihat mahu bergayut dalam koridor kekuasaan hingga menyebabkan rakyat menjadi muak seterusnya marah sekali gus melahirkan kekecewaan ketika 2 PRU sebelum ini.
Jika sebelum ini, pemimpin MIC menyalahkan Hindraf kerana mengakibatkan sokongan masyarakat India merosot ketika PRU12, nampaknya tiada lagi 'kambing hitam' yang boleh dipersalahkan atas kemelut ketika ini hingga memaksa pemilihan semula parti di semua peringkat diadakan.
Kelemahan BN ketika ini, tidak memungkinkan sokongan rakyat akan meningkat walaupun dengan pelbagai pergeseran serta pertelingkahan yang berlaku dalam gabungan parti pembangkang.
Sebenarnya ancaman terhadap BN dan Umno terutamanya datang daripada bekas pemimpinnya seperti Dr Mahathir dan Tun Daim Zainuddin yang berterusan mempertikaikan dasar serta inisiatif yang dilakukan Putrajaya.
Rasa tidak puas hati dua bekas pemimpin ini terhadap apa yang dilakukan Najib dalam pentadbiran kerajaan inilah yang akan menjadi pencetus kepada ketidakpuasan hati rakyat kepada BN dan Umno.
Faktor inilah yang perlu disedari serta ditangani Najib dan pimpinan Umno dengan segera dan tindakan berdiam diri atau menganggap 'everything goes well' serta bukan satu bentuk ancaman kepada parti hanya akan mengundang padah dalam tempoh tiga tahun ini.
Rakyat ketika ini, tidak membandingkan pentadbiran Najib dengan pentadbiran kerajaan Azmin, di Selangor; Lim Guan Eng, di Pulau Pinang dan Datuk Ahmad Yaakob, di Kelantan sebaliknya, membandingkan dengan apa yang dilakukan Dr Mahathir selama lebih dua dekad menjadi presiden Umno dan perdana menteri.
Disebabkan itu juga faktor Anwar sama ada akan disabitkan kesalahan Selasa ini, atau pergeseran PAS dan DAP tidak akan meningkatkan sebarang sokongan kepada Najib, BN dan Umno dalam tempoh 3 tahun ini.
Realitinya...hakikatnya...rakyat mahu melihat dan mahu tindakan pantas Putrajaya untuk membantu mereka mengharungi situasi ekonomi yang terus tidak menentu akibat peningkatan harga barang dan sara hidup tetapi tidak diseimbangkan dengan peningkatan pendapatan.
Semua kritikan dan serangan daripada mana-mana pihak termasuk Dr Mahathir akan menjadi sia-sia jika Najib berjaya membuktikan Putrajaya berusaha keras ke arah peningkatan pendapatan rakyat dan tidak menyalahkan keadaan ekonomi dunia yang menyebabkan kenaikan harga barangan.
Selain itu, tuntutan terhadap perbelanjaan kerajaan yang berhemah dan keputusan bijak dalam menguruskan ekonomi negara bukan sekadar membabitkan sektor awam tetapi juga sektor korporat terutama berkaitan pengurusan serta pelaburan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) perlu dilaksanakan dengan lebih berkesan dalam tempoh tiga tahun ini.
Masa semakin singkat buat BN serta Umno dan dengan mengharapkan Anwar disabitkan kesalahan serta pergeseran dalam PR tetapi 'rumah' sendiri terus berkecamuk serta kacau bilau, langsung tidak akan membantu parti bersedia memenangi PRU14.
Lebih teruk jika BN dan Umno menang dalam PRU14 tetapi terus kalah dalam undi popular selain majoriti 133 kerusi Parlimen terus merosot kerana ia membuktikan rakyat sebenarnya, langsung tidak yakin dengan kepimpinan BN atau PR.
Mungkin sehari selepas pengumuman keputusan PRU14, Malaysia akan menyaksikan perubahan dalam gabungan parti pemerintah dengan kerajaan yang hanya dibentuk selepas keputusan PRU apabila BN dan PR tidak mendapat sokongan majoriti daripada rakyat yang mengundi mengikut pilihan masing-masing bukannya atas perjuangan parti.
Saya pernah menulis mengenai kemungkinan berlaku pembentukan gabungan kerajaan selepas PRU yang disiarkan portal berita ini, bertajuk 'Gabungan Parti Pemerintah Baharu Mungkin Dibentuk Lepas PRU' pada 20 Ogos tahun lalu.
Jika itu berlaku pembentukan kerajaan mengikut kepentingan sendiri ini, sekali gus akan menghancurkan perjuangan BN yang diilhamkan arwah ayahanda Najib, allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, perdana menteri Malaysia yang kedua. – 9 Februari, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments