Opinion

Perhimpunan haram tidak akan menumbangkan kerajaan sah

Ucapan tahniah saya ucapkan kepada peserta Bersih 4 serta pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya kerana walaupun perhimpunan haram tetap berlangsung seperti yang dijadualkan, tiada sebarang insiden kekerasan berlaku antara kedua-dua belah pihak.

Tidak dapat dinafikan, saya boleh menyimpulkan dengan tiada insiden seperti yang berlaku seperti dalam demonstrasi jalanan yang berlangsung di Kuala Lumpur sebelum ini, membuktikan betapa rakyat Malaysia serta PDRM dapat bertolak ansur dalam memastikan matlamat kedua-dua pihak dapat dicapai.

Sebab itu juga saya mengeluarkan kenyataan sebelum ini PDRM adalah pasukan polis yang paling bertoleransi di dunia dan ia terbukti sepanjang 2 hari, Bersih menganjurkan Bersih 4, tiada sebarang insiden besar berlaku kecuali beberapa insiden terpencil.

Sama ada penganjur Bersih 4 berjaya mencapai matlamatnya atau tidak, ia bukan perkara utama kepada saya memandangkan saya tetap berpendirian sebelum dilantik menjadi ahli pentadbiran kerajaan untuk tidak menyokong sebarang demonstrasi jalanan kerana ia tidak memberikan sebarang faedah kepada rakyat dan negara.

Walaupun, hujah ini boleh disangkal dan diperkecil mana-mana pihak kerana ia bercanggah dengan kebebasan bersuara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, hakikat yang perlu kita sentiasa sedar adalah Malaysia mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) setiap 5 tahun.

Ia medan demokrasi yang paling utama kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang akan menerajui Malaysia dalam tempoh 5 tahun dan melalui peti undi ini, tiada mana-mana pihak yang dapat menyangkal kuasa rakyat memilih kerajaan melalui proses pilihan raya umum, sebagai demokrasi sebenar.

Di pihak kerajaan, sudah pasti mandat untuk memerintah Malaysia selama 5 tahun dengan penggal ini berkemungkinan besar berakhir dalam tempoh 2 tahun lagi terus dipelihara dan tiada demonstrasi jalanan yang dapat menjatuhkan kerajaan seperti juga yang berlaku pada 1997 dan 1998 pada zaman Reformasi pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pasukan PDRM yang diberi amanah serta tanggungjawab bagi melindungi keselamatan dan menjaga ketenteraman awam terus berevolusi sesuai dengan peranan yang diamanahkan sejak lebih 200 tahun lalu.

Walaupun, kerajaan mengeluarkan arahan mana-mana individu yang didapati memakai baju kuning dengan tulisan Bersih adalah sesuatu yang dilarang, tiada mana-mana individu yang ditahan atas kesalahan berkenaan pada hari perhimpunan haram berkenaan berlangsung.

Ia membuktikan polis tidak semberono dalam menguatkuasakan undang-undang dan sudah pasti pertimbangan kemanusiaan turut diambil kira dalam memastikan perhimpunan haram dijalankan mengikut lunas undang-undang.

Kerajaan sememangnya menyedari betapa rakyat negara ini, semakin prihatin terhadap hak asasi mereka seperti hak untuk berhimpun serta bersuara dan atas sebab itu, Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 digubal dan diluluskan Parlimen.

Penggubalan APA 2012 ini bertujuan supaya hak majoriti rakyat dipelihara dan tidak dinafikan golongan minoriti yang mahu berhimpun sehingga mengganggu ketenteraman serta merosakkan harta benda.

Malah, polis pernah memberikan kebenaran supaya Stadium Merdeka digunakan sebagai tempat berhimpun untuk 'Himpunan Kebangkitan Rakyat #KL112 pada 12 Januari, 2013 serta kebenaran untuk Stadium Kelana Jaya pula digunakan sebagai tempat berhimpun untuk acara 'Blackout 505' pada 8 Mei, 2013.

Perlu difahami APA 2012 sudah menggariskan dengan sejelas-jelasnya garis panduan dan peraturan yang perlu dipatuhi mana-mana pihak untuk mengadakan perhimpunan aman.

Akta ini yang mempunyai 27 seksyen di dalamnya mengguna pakai 'template' perbandingan daripada negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia (Queensland Peaceful Act) serta mematuhi hak asasi masyarakat yang diamalkan di peringkat antarabangsa.

Namun yang menyedihkan tiada kerajaan negeri termasuk daripada negeri di bawah pimpinan Pakatan Rakyat (PR) seperti Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan yang mahu menawarkan tempat untuk digazet sebagai kawasan perhimpunan aman.

Ramai masih tidak memahami jika ada sesuatu tempat digazetkan sebagai kawasan perhimpunan aman, polis tidak perlu lagi mengeluarkan permit kepada mana-mana kumpulan jika mereka mahu mengadakan perhimpunan aman di dalam kawasan itu.

Berdasarkan rekod Kementerian Dalam Negeri (KDN), kerajaan Pulau Pinang pernah membuat permohonan untuk menggazet 76 tempat untuk diwartakan sebagai tempat berhimpun di bawah APA 2012 pada April 2014.

Tetapi sehingga ke hari ini, kerajaan Pulau Pinang masih gagal menghantar permohonan rasmi kepada KDN berserta dokumen lengkap untuk kawasan berkenaan digazet sebagai tempat berhimpun di bawah APA 2012.

Di Selangor pula, kerajaan negeri berkenaan melalui Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sudah pun membenarkan Stadium Shah Alam dijadikan sebagai tempat berhimpun di bawah APA 2012, bagaimanapun, MBSA menarik semula kebenaran berkenaan tanpa sebarang sebab. Kerajaan tidak mahu menyekat hak ini dan walaupun semua demonstrasi jalanan yang diadakan di negara ini lebih kepada agenda politik dengan parti pembangkang senantiasa menjadi penggeraknya.

Apa yang berlaku dalam Bersih 4 ini seakan ulang tayang atau 'déjà vu' kepada saya ketika menjadi exco Pemuda Umno pada 1997 dan 1998 ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim menggerakkan demonstrasi jalanan atau reformasi yang bertujuan untuk menggulingkan kerajaan ketika itu. Ia menyebabkan polis terpaksa menggunakan kekerasan berikutan peserta demonstrasi haram berkenaan merosakkan harta benda.

Ironinya, kerajaan Barisan Nasional (BN) terus kekal memerintah sehingga ke hari ini dengan dipilih secara demokrasi melalui PRU dan atas sebab itu saya sentiasa berpegang teguh kepada pendirian untuk tidak menyokong perhimpunan haram atau demonstrasi jalanan.

Sebab itu juga saya tidak menyanggah apa yang diperjuangkan Bersih 4 kerana itu hak masing-masing sebagai rakyat Malaysia tetapi kita perlu berpegang kepada undang-undang yang seharusnya menjadi garis panduan sebagai rakyat negara ini.

Jika diteliti semua kenyataan saya berhubung Bersih 4 ini, saya hanya mahu penganjurnya mematuhi undang-undang yang digariskan dalam APA 2012, itu yang paling utama kerana pada mulanya sasaran adalah seramai sehingga sejuta orang dan bayangkanlah siapa yang perlu dipertanggungjawabkan jika ada kumpulan anarki yang mengambil kesempatan.

Tetapi selepas berakhirnya Bersih 4, peserta yang hadir tidak sampai 50,000 orang di Kuala Lumpur manakala objektif penganjurnya di Sabah serta Sarawak langsung gagal mencapai matlamatnya.

Saya simpulkan Bersih 4 gagal mencapai matlamat adalah disebabkan segala tuntutannya langsung tidak mencapai hasil atau objektif, jadi selama 34 jam berhimpun, apa hasilnya? Yang dapat saya lihat kerugian kepada peniaga yang terbabit di kawasan perhimpunan haram itu.

Wang rakyat dibelanjakan bagi membolehkan pihak berkuasa mengawasi peserta Bersih 4 sesuatu yang langsung tidak perlu dilakukan.

Jika ada pihak yang menyatakan Bersih 4 bukan bermotifkan politik, ia adalah pembohongan paling besar kerana jika seseorang itu melihat serta meneliti momentum perhimpunan haram ini sejak mula ia diumumkan, segala-galanya mempunyai agenda politik bukan untuk kesejahteraan rakyat.

Penganjur Bersih 4 gagal memberikan jawapan mengapa perlu diadakan perhimpunan haram di Kuala Lumpur, mengapa perlu babitkan Sabah dan Sarawak, jika ia bukannya bermotifkan politik.

Sudah pastinya, pemilihan Kuala Lumpur adalah untuk mengambil fenomena penduduk Lembah Klang yang dilihat 'anti-establishment' serta sering menyalahkan kerajaan dan ia dimanupulasi penganjur Bersih serta ahli politik pembangkang untuk membangkitkan sentimen membenci kerajaan. Seperkara yang menarik mengenai perhimpunan haram Bersih 4 ini, adalah mengenai kurangnya penyertaan daripada kaum Melayu tidak seperti demonstrasi jalanan sebelum ini dan ia jelas membuktikan betapa pakatan pembangkang begitu 'merindui' kehadiran PAS.

Walaupun, parti serpihan PAS iaitu Gabungan Harapan Baru (GHB) cuba memberi keyakinan terhadap pakatan pembangkang tetapi semua sedar betapa parti serpihan ini terdiri daripada golongan elit progresif dalam PAS, bukan mewakili akar umbi PAS.

Di sinilah kekurangan utama yang bakal menjadi halangan kepada pakatan pembangkang untuk menumbangkan BN dan Umno dalam PRU14 kelak apabila sudah pasti berlaku pertembungan 3 atau 4 penjuru.

Bersih 4 memberikan pelbagai isyarat kepada semua pihak sama ada kerajaan, pembangkang atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO), bagaimana demonstrasi jalanan tidak akan mengubah kerajaan atau mendapat sokongan majoriti.

Sudah pasti, pilihan raya umum adalah medan terbaik untuk rakyat menentu dan memilih kerajaan yang bakal memimpin mereka apabila membuang undi di peti undi bukannya terjerit-jerit memaki kerajaan dan menyusahkan majoriti rakyat untuk hidup aman damai. – 8 September, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments