Opinion

Putrajaya perlu agresif pertahan industri sawit negara

Ketika rakyat sedang bergembira sejak 1 Disember lalu berikutan penurunan harga petrol RON97 dan RON95 selepas kerajaan membuat keputusan untuk mengapungkan harga bahan api berkenaan, masih ramai tidak menyedari kedudukan ekonomi negara berada dalam keadaan tidak menentu.

Dengan trend penurunan Bursa Malaysia sejak minggu lalu selain penurunan terbesar mata wang ringgit berbanding dolar US dan paling penting penurunan harga minyak dunia, rakyat sebenarnya perlu bersiap sedia dalam menghadapi satu lagi zaman kemelesetan ekonomi.

Selepas zaman kemelesetan akhir 90-an, satu lagi pusingan iklim ekonomi negara yang sukar akan dihadapi rakyat Malaysia dan mereka sudah pasti mengharapkan kerajaan berbuat sesuatu bagi mempersiapkan diri menghadapi masa sukar ini.

Namun, Putrajaya yang lebih fokus untuk mengurangkan defisit fiskal negara pada tahun depan dengan mensasarkan 3% berbanding 3.5% pada tahun ini dilihat terus berbelanja besar terutama sekali dalam menyediakan infrastruktur awam seperti MRT, pembinaan HSR dan Lebuh Raya Pan Borneo.

Ambil sahaja projek MRT yang boleh dikategorikan sebagai perbelanjaan awam paling besar dibuat kerajaan dengan menelan belanja lebih RM40 bilion dan ia tidak ditambah dengan pelbagai lagi belanja infrastruktur awam yang diumumkan dalam Bajet 2015 seperti pembinaan lebuh raya dan peluasan jajaran LRT sekitar Lembah Klang.

Hakikatnya perbelanjaan yang besar itu perlu diimbangi dengan hasil diterima kerajaan dan ia adalah hukum ekonomi paling mudah kerana kita tidak boleh berbelanja melebihi hasil yang diterima, jika itu berlaku padah akan menanti apabila hutang keliling pinggang.

Ketika kerajaan terus mengharapkan sektor perindustrian dan perkhidmatan menjadi penyumbang terbesar daripada hasil yang diterima sesuatu yang tidak menghairankan memandangkan menjadi hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi.

Bagaimanapun, seseorang yang mengetahui sejarah Malaysia tidak boleh langsung mengenepikan peranan sektor perladangan Malaysia yang selama ini menjadi tulang belakang kepada ekonomi negara terutama sekali pada awal penubuhan negara sekitar tahun 60-an hingga awal 80-an.

Getah dan kelapa sawit adalah dua komoditi pertanian utama negara dan tidak boleh disangkal mana-mana pihak bahawa dunia suatu ketika dulu mengenali Malaysia disebabkan dua tanaman ini.

Keseriusan kerajaan Malaysia terhadap kepentingan kedua-dua tanaman ini begitu besar dengan wujudnya sebuah kementerian khusus menjaga komoditi ini selain berpuluh jabatan dan agensi kerajaan yang mengendalikannya.

Sehingga bekas Perdana Menteri Kedua negara, Tun Abdul Razak Hussein menubuhkan Felda untuk orang Melayu pada awal 70a-an bertunjangkan industri sawit dan kebijaksanaan almarhum jelas terbukti apabila Felda menjadi antara pengeluar minyak Sawit terbesar dunia.

Malah bekas Presiden Gerakan, mendiang Tun Lim Keng Yaik dikenali sebagai seorang Menteri Perladangan dan Komoditi yang begitu cekap dalam memastikan industri sawit negara terus menjadi antara penyumbang utama kepada hasil kerajaan.

Kepakarannya berunding di peringkat antarabangsa walaupun dunia khususnya, Amerika Syarikat pada sekitar tahun 1980-an ketika itu melancarkan ‘perang’ terhadap minyak sawit kerana bimbang ia akan mengurangkan kebergantungan dunia terhadap minyak soya , jelas menjadikan Malaysia begitu disegani dalam pasaran minyak sawit dunia.

Sebagai ‘orang lama’ dalam industri minyak sawit dunia, Malaysia yang menganggotai Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit (RSPO) seharusnya menjadi peneraju dan lebih lantang dalam memperjuangkan harga minyak sawit di peringkat antarabangsa.

Tambahan pula banyak syarikat senaraian awam di Bursa Malaysia yang sememangnya bergantung kepada kestabilan harga minyak sawit dunia dan mengharapkan kerajaan memainkan peranan lebih efektif dalam terus mempromosikan minyak sawit di peringkat antarabangsa.

Suatu perkara sebagai rakyat Malaysia, kita perlu berbangga adalah negara ini ialah pengeluar kedua terbesar minyak sawit dunia selepas Indonesia dengan sebanyak 90% pengeluaran minyak sawit negara dieksport ke 140 negara seluruh dunia.

Malaysia juga adalah pengeksport minyak sawit terbesar ke Eropah dan tidak mustahil suatu hari nanti minyak sawit yang dieksport akan digunakan dalam semua penduduk 202 negara seluruh dunia pada masa hadapan.

Namun kebelakangan ini, ancaman tersembunyi terhadap industri sawit negara semakin kelihatan dan walaupun harga minyak komoditi ini jatuh di pasaran dunia, ia tidak bermakna kerajaan harus memandang ringan ancaman ini.

Baru-baru ini, Biro Hal-Ehwal Buruh Antarabangsa (Ilab) di bawah Jabatan Buruh Amerika Syarikat melaporkan berlakunya penggunaan pekerja bawah umur di sektor minyak sawit di negara kita.

Mungkin ramai tidak merasakan pentingnya laporan daripada Ilab ini dengan tidak banyak media arus perdana melaporkan perkara ini tanpa menyedari ia sebenarnya bakal memberi impak besar kepada industri sawit di Malaysia.

Sebenarnya, ia sesuatu yang amat menghairankan apabila Amerika Syarikat melalui Ilab yang dilaporkan kepada Kongres negara berkenaan dua kali setahun menyenaraikan Malaysia sebagai negara yang menggunakan buruh kanak-kanak dalam industri berkenaan di negara ini.

Mengikut hujah Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan AS (TVPRA) 2005, senarai tersebut diperlukan bagi memantau dan melaporkan pemerdagangan manusia bagi tujuan buruh paksa dan jika terbukti benar Amerika Syarikat selaku kuasa besar ekonomi dunia boleh mempengaruhi negara Kesatuan Eropah untuk mengadakan sekatan terhadap minyak sawit negara di pasaran antarabangsa.

Sedar atau tidak, jika perkara ini berlaku ia bermaina negara akan kehilangan lebih kurang RM80 bilion setahun ke atas keuntungan eksport negara dan ia sudah pasti bakal meranapkan segala apa yang dirancang Putrajaya untuk rakyat negara ini.

Saya tidak pasti sama ada Putrajaya mungkin merasakan laporan Ilab ini tidak akan memberikan impak kepada eksport sawit Malaysia memandangkan Datuk Seri Najib Razak dilaporkan mempunyai hubungan erat dengan Presiden AS, Barack Obama dan sudah pasti ia dapat digunakan bagi mengenepikan sebarang usaha untuk menjatuhkan imej Malaysia sebagai pengeluar minyak sawit dunia.

Ketidakseriusan kerajaan terhadap mempertahankan komoditi ini untuk terus menjana hasil kepada negara juga boleh dipertikaikan apabila Putrajaya hanya memperuntukkan sejumlah RM10 juta pada tahun depan untuk bajet menangani kempen anti minyak kelapa sawit berbanding RM16 juta pada tahun ini.

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sebuah badan yang bertanggungjawab dalam usaha untuk mempromosi dan membangunkan industri ini juga mendapat peruntukan yang berkurangan pada tahun depan apabila hanya diperuntukkan sejumlah RM14.5 juta berbanding RM25 juta tahun ini.

Putrajaya seharusnya sedar bahawa syarikat minyak sawit di negara ini adalah tertakluk kepada dua jenis cukai iaitu cukai korporat sebanyak 25% dan cukai durian runtuh sebanyak 15% dengan dianggarkan syarikat-syarikat ini membayar cukai berjumlah antara RM10 bilion ke RM15 bilion setahun dalam bentuk hasil kepada kerajaan.

Seseorang seharusnya dapat menilai keseriusan kerajaan terhadap industri sawit ini apabila bajet yang diperuntukkan sebanyak RM24.5 juta untuk membantu industri sawit negara setimpal dengan hasil yang diperoleh kerajaan melalui cukai.

Sesungguhnya dalam ekonomi Malaysia yang selama ini terlalu bergantung kepada hasil yang diperoleh daripada Petronas melalu royalti dan cukai yang dibayar, kerajaan tidak boleh lagi mengharapkan syarikat minyak negara itu terus memberikan sumbangan terhadap pembangunan negara.

Kebijaksanaan pemimpin amat dituntut dalam memastikan perbelanjaan seimbang dengan hasil yang diterima bagi mengelakkan negara berhadapan dengan krisis hutang seperti yang dialami beberapa negara Eropah sebelum ini.

Dan sudah pasti, kerajaan perlu kembali semula meningkatkan keseriusan terhadap dua komoditi utama negara yang sebenarnya pernah menjadi penyelamat ketika negara berhadapan dengan krisis ekonomi dunia.

Walaupun harga getah dan minyak sawit dunia terus jatuh, Putrajaya tidak boleh memberikan alasan ia sesuatu yang berada di luar jangkauan dan perlu ada satu komitmen bersepadu bagi meningkatkan semula harga komoditi ini.

Tambahan pula daripada sudut politik, lebih 80% yang mereka terbabit dalam komoditi getah dan minyak sawit ini adalah orang Melayu yang sudah pasti mengharapkan kerajaan berbuat sesuatu dengan segera dalam membantu mereka menangani kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Sememangnya, Malaysia ketika ini, memerlukan seorang lagi menteri kabinet seperti mendiang Tun Dr Lim Keng Yaik yang dalam usia muda serta tidak mempunyai latar belakang dalam industri sawit tetapi berjaya mempamerkan kepimpinan dan kredibiliti untuk menjadi jurujual dan jururunding minyak sawit terbaik Negara di peringkat antarabangsa.

Putrajaya perlu menyedari jangan sekali-kali mengabaikan peranan untuk terus mempertahankan komoditi sawit dan getah dengan menumpukan segala perbelanjaan kerajaan terhadap sektor pembinaan serta perkhidmatan kerana jika seperti kata pepatah ‘yang dikejar tidak dapat, yang dikendong pula berciciran’.

Zaman untuk berbelanja mewah dengan pelbagai projek pembangunan perlu dikaji semula dengan teliti, yang lebih penting adalah memastikan harga dua komoditi ini mampu memberikan pulangan terbaik kepada mereka yang menceburinya terutama sekali orang Melayu dengan berbelanja besar untuk terus mempromosikannya di pasaran antarabangsa. – 8 Disember, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments