Opinion

Selesai masalah domestik jika tak mahu Putrajaya jatuh

Sesungguhnya cabaran Malaysia untuk tahun mendatang begitu mencabar sama ada dalam politik, ekonomi mahu pun sosial, dan seharusnya kerajaan perlu bersedia memastikan rakyat benar-benar dapat mengharunginya.

Sebab itu, pembabitan kerajaan dalam forum serantau atau antarabangsa seperti Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang berakhir Sabtu lalu amat penting bukan sahaja untuk mencari peluang ekonomi baru atau menjalinkan rangkaian, tetapi juga mencari pendekatan terbaru daripada pakar ekonomi dunia, kaedah paling sesuai bagi memastikan Malaysia sentiasa dapat mencari jalan keluar terhadap sebarang kegawatan atau kemelut ekonomi dunia.

Walaupun Putrajaya berterusan menafikan kejatuhan harga minyak dunia dan penyusutan nilai ringgit tidak menyebabkan ekonomi negara berada dalam keadaan gawat atau meleset, namun sekurang-kurangnya perancangan awal perlu dilakukan pada masa kini dengan mengambil iktibar apa yang berlaku dalam tempoh tidak sampai 3 bulan terakhir tahun 2014.

Perlu diakui, kejatuhan harga minyak dunia ke paras terendah yang dijangka akan berterusan dalam tempoh sekurang-kurangnya 5 tahun lagi selain ditambah dengan kejatuhan teruk ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat, sesuatu yang sebenarnya di luar jangkaan pakar ekonomi Putrajaya.

Ia menyebabkan kerajaan terpaksa menstrukturkan Bajet 2015 serta merangsang pertumbuhan dan permintaan domestik dalam memastikan enjin ekonomi negara terus dapat dijana, sekaligus memberikan keyakinan pelabur asing melabur ke negara ini.

Ketika kerajaan mengharapkan perbelanjaan daripada pengguna untuk meningkatkan ekonomi domestik selepas terpaksa mengurangkan perbelanjaan pembangunan seperti pembatalan program Latihan Khidmat Negara (PLKN), tetapi kenaikan harga barang import juga akan meningkatkan kos sara hidup.

Pengguna akan lebih berhati-hati untuk berbelanja serta lebih menyimpan dan ia dibuktikan dengan pelbagai jualan murah yang dilaksanakan sebelum pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) ketika ini tidak menunjukkan peningkatan ketara, dalam kata lain pendapatan boleh belanja (disposable income) kini tidak lagi besar untuk rakyat.

Malah, hasrat kerajaan untuk membangunkan perusahaan kecil dan sederhana (SMI) juga dilihat amat bertentangan kerana ketika ini, kerajaan masih dilihat mengawal jurang antara sektor awam dan swasta melalui pembabitan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang secara praktikalnya mengawal keadaan ekonomi negara.

Selain itu, beberapa faktor domestik juga memerlukan perhatian serius daripada kerajaan kerana jika dibiarkan berterusan boleh bertukar menjadi masalah lebih serius dan rakyat sudah pasti akan meletakkan beban kesalahan itu ke Putrajaya.

Kebelakangan ini juga dapat dilihat keghairahan kerajaan berbelanja besar untuk melaksanakan agenda Bumiputera mula dipersoalkan kaum Bumiputera sendiri yang merasakan ia sebenarnya hanya menguntungkan segelintir pihak sahaja.

Ramai di kalangan Bumiputera sendiri sudah mula bersuara supaya kerajaan mula mengkaji semula agenda Bumiputera yang dilaksanakan dengan konsep beri, memberi dan terus memberi tanpa ada satu indeks petunjuk prestasi sama ada ia benar-benar mencapai pulangannya atau tidak.

Bagi mereka, pelaksanaan seperti itu boleh mengakibatkan ekonomi negara menjadi tidak stabil selain ia perlu diseimbangkan dengan keupayaan pendapatan serta hasil kerajaan itu sendiri.

Kejayaan paling besar agenda Bumiputera sudah pasti dalam bidang pendidikan dan lewat 80-an hingga sekarang menyaksikan golongan kelas menengah Bumiputera yang lebih besar dibentuk.

Tetapi perubahan perlu dilakukan dengan segera dalam memastikan agenda Bumiputera itu tidak menjadi beban kepada ekonomi negara, terutamanya dalam mengharungi globalisasi dunia dan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu.

Kewujudan golongan muda yang mempunyai pendidikan tetapi tidak mahu bekerja juga memerlukan perhatian serius kepada kerajaan kerana mereka ini boleh menyumbang kepada struktur pengangguran di negara ini.

Perlu diingatkan golongan ini akan menjadi tua dan mula menyalahkan kerajaan atas kegagalan mereka mendapat peluang pekerjaan tambahan pula sektor pekerjaan negara turut dikongsi dengan pekerja asing.

Selain itu, dominasi wanita di negara ini semakin jelas ketara sama ada di sektor korporat, awam atau politik, yang memerlukan pengiktirafan kepada golongan ini tetapi ia tetap perlu diseimbangkan dengan kehendak pasaran kerja.

Umum juga mengetahui persaingan antara tenaga kerja tempatan dan asing di Malaysia juga semakin sengit dan ia sebenarnya mengubah wajah sosial negara walaupun pada mulanya negara bergantung kepada tenaga kerja asing disebabkan kos buruh lebih murah.

Hakikatnya kini jelas berbeza apabila pendatang asing ini mula menjadi ancaman bukan sahaja dalam bentuk jenayah tetapi juga sosial dan ekonomi negara serta menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat Malaysia sendiri.

Apa yang berlaku di Sabah contoh terbaik apabila anak-anak pendatang yang tidak mempunyai kenegaraan ini, turut mendapat keistimewaan yang diperoleh rakyat Malaysia sendiri atas dasar kemanusiaan.

Seharusnya kerajaan membuat pendirian tegas dalam hal ini kerana isu ini jika tidak ditangani dengan segera boleh bertukar menjadi masalah politik yang lebih teruk hingga boleh menyebabkan BN kehilangan kuasa memerintah.

Semua faktor domestik ini sememangnya nampak remeh tetapi ia memerlukan penyelesaian dalam masa jangka panjang jika kerajaan mahu membawa Malaysia ke negara maju dalam tempoh 5 tahun akan datang.

Soal membantu golongan kurang mampu atau miskin bukan hanya terhad dilakukan melalui pemberian wang tunai semata-mata seperti BR1M yang sebenarnya penyelesaian jangka masa pendek sahaja.

Lebih penting adalah untuk memberikan pendidikan dan kemahiran kepada keluarga miskin dan kurang mampu ini melalui anak-anak mereka yang akan berpeluang mendapat gaji lebih lumayan bukan sekadar bekerja sebagai buruh sahaja.

Komitmen kerajaan untuk membantu generasi kurang berkemampuan yang berusia dalam lingkungan 45 tahun dan ke atas juga perlu diberikan perhatian kerana kerajaan perlu berterusan memberikan pekerjaan dengan menaikkan had usia persaraan kepada mereka bagi menyara keluarga masing-masing terutama dalam situasi sekarang di mana kos sara hidup semakin meningkat.

Ini juga akan menyebabkan berlaku jurang antara golongan muda yang mahu memasuki sektor pekerjaan kerana terpaksa bersaing dengan golongan berusia ini, sekaligus juga menyebabkan berlaku ketidakseimbangan pendapatan.

Berikutan itu, Putrajaya dituntut supaya lebih komited dalam menyelesaikan masalah-masalah domestik ini yang sebenarnya boleh bertukar menjadi isu politik lebih serius apabila dimanipulasikan pembangkang.

Rakyat kini terus memerhatikan sama ada mereka mendapat segala manfaat melalui pembabitan kerajaan dalam forum serantau serta antarabangsa ini, yang seharusnya menjadikan kerajaan lebih berpengalaman dalam menangani segala permasalahan terbabit.

Tidak ada gunanya, jika Malaysia dan pemimpinnya bermegah mendapat pengiktirafan antarabangsa tetapi pada masa sama terus dilihat gagal menyelesaikan masalah di halaman sendiri kerana ia akan memberikan padah apabila rakyat membuat keputusannya hanya dalam tempoh 3 tahun akan datang. – 28 Januari, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments